Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Renungan Ramadhan 12



Renungan Ramadan 12

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu perpaduan umat seperti kita telah bincangkan dua malam lepas. Ramadan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai.

Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari.

Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan..

Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga."
(Hadis Riwayat Muslim dan Termizi)

Renungan Ramadhan 11



Renungan Ramadan 11


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita kini masuk ke malam ke 11 Ramadan. Ini bermakna, kita telah berada di fasa kedua Ramadan. Kita telah meninggalkan fasa “rahmat” manakala kita kini memasuki fasa “maghfirah”. Sepuluh hari yang berlalu, kita berharap rahmah, belas kasihan dari Allah. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.

Kita perlu menilai semula, review pencapaian kita. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika pada bulan Ramadan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:
“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumbalumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah (SWT).

Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah heran seheranherannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya , sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Dzat Yang Maha Pencipta, dan yang merugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan kesia-siaan.”

Setelah melalui sepertiga Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam sepuluh hari yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:
  1. Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan ramadan yang penuh berkat ini?
  2. Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita?
  3. Sudahkan kita memastikan anak-isteri-suami dan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadan ini?
  4. Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap hari? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi sepuluh juzuk.
  5. Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan?
  6. Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya ke hujung Ramadan?
  7. Sejauh manakah Ramadan kita tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lepas?
Kuatkan tekad untuk melipatganda amal dan beristighfar atas ketelanjuran kita.

Salam Merdeka!

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh, adik-adik yang dikasihi fillah!

Rasanya belum terlambat lagi untuk Kak 'Abyd ucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-52! Pasti ramai yang gembira dengan Hari Kemerdekaan Malaysia ini. Mana taknya, sekolah pun ditutup selama satu hari, kaaan.. Betul tak? *wink*

Adik-adik,

AlhamduliLlah, Allah telah kurniakan keizinan untuk kita menyambut kemerdekaan negara kita buat kali ke-52. Yang membuatkan ianya lebih bermakna ialah Hari Kemerdekaan ini disambut dengan ketibaan Ramadhan al-Kareem. Bukan sekadar Allah izinkan untuk kita meraikan Hari Kemerdekaan, tetapi juga menikmati keindahan dan ketenangan Ramadhan! Masha Allah, seronoknya!

Bersempena dengan sambutan yang istimewa ini, Kak 'Abyd harapkan, biarlah kemerdekaan kali ini direnungi maksudnya secara mendalam oleh kita semua. Di saat kita merdeka dengan hasutan Syaitan pada bulan penuh barakah ini, mari kita sama-sama berdo'a agar Allah tetapkan hati kita dalam kesucian agar Ramadhan kali ini menjadi pendorong untuk kita semua berubah ke arah kebaikan dan membentuk jiwa soleh wa musleh yang merdeka daripada kemaksiatan.

Apa yang penting, adik-adik? Jiwa merdeka! Merdeka daripada apa? Daripada sifat Mazmuumah (perbuatan negatif), insya'Allah.

Moga-moga dengan sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 2009 dan pada bulan Ramadhan ini, jiwa merdeka kita semua terasa lebih kuat dan ringan untuk beribadah. Solat terawih, tadarrus jangan lupa! Ha, lagi satu.. Masa berbuka puasa, banyakkan berdo'a dan bersyukur sebab ALlah izinkan kita berpuasa penuh pada hari ini dan Allah berikan kita rezeki untuk berbuka. Makan pun bersederhana tau!

Akhir kata daripada akak, jom sama-sama memerdekakan diri kita!

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Kita bijak untuk merdeka!

Salam Merdeka,
Kak 'Abyd

Penyesalan Budak Paling "Jahat"

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
Kosmo

AHMAD JAFRI (bukan nama sebenar) bertubuh gempal dan berkulit gelap. Namun, wajahnya manis dan pandangannya jujur. “Saya kalau boleh tak mahu ingat masa lampau,” pintanya seraya melemparkan pandangan ke lantai. Bergenang air di kelopak matanya. Tangan kanannya menggenggam tangan kirinya.

Khilaf yang dilakukan ketika berumur 11 tahun itu ternyata belum menjadi parut dalam hidupnya. Sebaliknya ia umpama luka yang sedang bernanah.

Biarpun sudah hampir 10 tahun menerima hukuman, Jafri masih hidup dalam lingkungan pagar kerawat penjara. Selagi dia berada di dalam tahanan, selagi itu jugalah dia akan ‘diingatkan’ tentang kesalahannya.

“Saya tidak ada tempoh hukuman. Semuanya bergantung kepada persetujuan Sultan untuk memberi pengampunan.

“Tahun ini saya masih menunggu jawapan untuk permohonan pengampunan kali kedua,” kongsi Jafri yang merupakan Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka.

Selepas setahun ditahan reman di Penjara Kajang atas kesalahan rogol dan bunuh pada 1998, dia dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, Kuala Lumpur untuk menjalani pemulihan. Apabila usianya mencecah 14 tahun, Jafri menghuni Sekolah Henry Gurney pula sehingga sekarang.

“Kalau saya tidak masuk ke sini, tak tahulah apa akan jadi dengan hidup saya. Sebelum masuk ke sini, hidup saya terumbang-ambing. Mak dan ayah bercerai. Masing-masing kahwin lain. Mak tinggal di Kuala Lumpur, ayah di Kedah. Saya tinggal dengan nenek di Perak.

“Tetapi adik-beradik mak saya tidak suka saya tinggal dengan nenek. Walaupun sayalah yang mencari nafkah untuk menanggung kami berdua,” luahnya yang mengambil upah menebas rumput dan melakukan kerja-kerja kampung pada waktu itu.

--Sorok mayat--

Meninggalkan nenek di kampung untuk tinggal dengan ibunya di Kuala Lumpur, Jafri yang baru berumur lapan tahun ketika itu bagaimanapun dihambat kehampaan apabila bapa tirinya pula tidak merestui kehadirannya di rumah mereka.

“Saya bawa diri dan menyewa di sebuah rumah bujang. Rata-rata teman serumah berumur di antara 19 hingga 24 tahun."

“Untuk menanggung sewa rumah, saya bekerja sebagai kelindan lori dan melakukan kerja seperti mengangkat barang,” kata Jafri yang sudah tidak bersekolah, tidak tahu membaca, menulis, apa lagi mengira pada usia itu.

Dalam keadaan tidak menentu dan keseorangan itulah, Jafri terlibat dalam jenayah berat - merogol, membunuh dan menyembunyikan mayat kenalan perempuannya.

“Mula-mula selepas menyorokkan mayatnya, saya buat tidak tahu saja. Tetapi pada keesokan harinya saya berasa tidak betul. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan lalu menyerah diri saja kepada polis,” dedahnya.

Jafri tidak terus berkongsi. Baginya, cukuplah kenangan hitam itu terkambus tanpa diulang tayang.


--Harap diampun Sultan Selangor--

Namun, di bumi Sekolah Henry Gurney yang seluas 13 hektar itu kata Jafri, dia menemukan ketenangan.

“Kehidupan di sini membuatkan saya berasa seperti mempunyai keluarga. Apa yang saya makan, itulah yang penghuni lain makan.

“Daripada tidak tahu membaca, menulis dan mengira, sekarang saya dapat menyertai teman-teman yang lain menulis surat kepada ibu bapa kami setiap minggu.

“Di sini, saya diberi peluang untuk belajar menjahit. Sekarang, dalam masa 45 minit saya dapat menyiapkan sepasang baju uniform polis. Kerja-kerja bengkel inilah yang dapat membuatkan saya lupa kepada kesalahan saya yang dulu,” ujarnya.

Benar-benar mengharapkan pengampunan daripada Sultan Selangor, penghuni paling lama Sekolah Henry Gurney dengan kesalahan paling berat, yang kehilangan bapanya pada bulan puasa tahun lalu kini mengharapkan peluang untuk menjaga dan menyara ibunya melalui wang upah menjahit yang direncana akan dilakukan sebaik saja dibebaskan.

Pada hari ini, Kapten untuk sekolah pemulihan itu sudah dijadualkan untuk menyambung tempoh hukumannya di Penjara Kajang pada ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada 27 Oktober nanti.

“Saya tak takut. Sebelum masuk ke sini, saya terlebih dulu merasa tinggal di Penjara Kajang. Saya sudah tahu rasanya tinggal di penjara yang sebenar,” ujarnya tentang persediaan masuk ke penjara yang dihuni golongan dewasa.

Sekolah Henry Gurney ialah sebuah institusi pemulihan untuk juvana berumur di antara 14 hingga 21 tahun di bawah Jabatan Penjara Malaysia. Ia pertama kali ditubuhkan pada 1949 dengan nama Sekolah Akhlak Tertinggi.

Nama Sekolah Henry Gurney diguna pakai pada tahun 1950 sempena pembukaan rasminya oleh mendiang Sir Henry Gurney.

Tidak terhad kepada ilmu akademik, sekolah itu turut menawarkan peluang kepada pelajar untuk aktif dalam sukan dan belajar kemahiran.

“Ada antara pelajar kami yang memenangi pingat emas di peringkat kebangsaan dan menjadi olahragawan MSSM 2009. Pasukan tinju kami contohnya, bakal mewakili Melaka untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang akan datang,” ujar Pengarah Sekolah Henry Gurney, Penguasa Penjara (PP) Samihan Misdi.

--Tulis surat kepada ibu setiap minggu--

Dalam bidang kemahiran, Ahmad Jafri menunjukkan potensi yang tinggi untuk menguasai bidang jahitan dan fesyen.

“Dia pernah mendapat anugerah Pelajar Cemerlang daripada Kolej Yayasan Mara pada tahun 2004 untuk kemahiran menjahit.

“Pelajar ini, yang berhenti sekolah sejak darjah dua juga asalnya tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Tetapi sekarang dia sudah dapat menulis sendiri surat kepada ibunya,” kongsi Samihan.

Tahun 2008 membuka lembaran baru buat Sekolah Henry Gurney apabila mereka mencatatkan 100 peratus lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih menarik, mereka turut berjaya melahirkan beberapa pelajar cemerlang.

Antara mereka ialah pelajar yang masuk ke situ dengan pendidikan sehingga darjah enam saja tetapi berjaya meraih enam A - satu pencapaian yang tidak disangkakan terutama dari sekolah berstatus ‘sekolah budak jahat’ itu.

“Pencapaian akademik pelajar mula menunjukkan perubahan apabila kami menerima 10 guru berkelulusan ijazah sarjana muda dan tujuh lagi dengan kelulusan diploma.

“Kehadiran mereka membuatkan pelajar menjadi lebih bermotivasi untuk belajar,” ujar Samihan.

Tidak meletakkan pencapaian akademik sebagai sasaran utama, sekolah yang berpegang kepada moto Resurgam yang bermaksud ‘Saya akan bangkit kembali’ itu sebenarnya, kata Samihan, berazam untuk melahirkan ‘graduan’ yang mampu berjaya dalam hidup apabila mereka keluar dari sekolah itu kelak.

Salah satu cara yang diamalkan sekolah berasrama penuh itu untuk membangunkan semula sahsiah pelajar ialah dengan mewajibkan setiap pelajar menulis surat kepada keluarga mereka setiap minggu.

Apabila aktiviti seperti itu diwajibkan, pelajar yang masuk dengan status buta huruf juga mendapat kebaikannya.

“Kami ada kira-kira lima peratus pelajar yang masuk dengan status buta huruf. Di sini mereka diajar membaca, menulis dan mengira.

“Jadi semua ‘graduan’ sekolah ini akan keluar dengan sekurang-kurangnya kebolehan membaca, mengira, menulis dan memiliki satu sijil kemahiran atau akademik,” katanya.

Terima kasih bahagian pentadbiran Sekolah Henry Gurney dan Jabatan Penjara Malaysia.

Renungan Ramadhan 10



Renungan Ramadan 10

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

Anas bin Malik berkata:

"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa."
(Hadis Riwayat Bukhari and Muslim)

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkaraperkara khilafiyah sebegini.

Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan)
(Surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.

Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!