Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Ucapan AidilFitri

Assalamualaikum WRT WBT


Dikesempatan ini, Team ABJZ Negeri Johor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya; Eid Mubarak buat semua adik2 dan kawan2.

Semoga selamat pergi dan balik kampung masing2.

Jaga diri, jaga maruah, jaga solat.

Salam Sayang,
Team ABJZ Johor

Renungan Ramadhan 29



Renungan Ramadan 28

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Esok, lusa, kita dijangka menyambut 1 Syawwal, di mana kita merayakan Aidilfitri.

Aidilfitri adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.

Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan (Aidilfitri).” (Hadis Riwayat Muslim).

Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga, mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.

Orang yang hanya sekadar “puasa-puasaan” atau tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai sebarang erti dan nilai.

Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan seseorang itu.

Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid.

Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari raya mengandungi dua makna.

Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.

Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah persaudaraan Islam sejati.

Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan hiburan yang melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan tasbih memuji dan menyucikan Allah.

Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (Hadis Riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.

Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita.

Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara berterusan sepanjang tahun; biarpun sedikit sebagaimana di dalam hadis Aisyah (ra) yang berkata yang maksudnya "Ditanya Nabi (saw) tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit." (Hadis Riwayat Bukhari)

SELAMAT HARI RAYA.. Maaf Zahir Batin

Wabillahi taufik wal Hidayah.

Renungan Ramadhan 28



Renungan Ramadan 28

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Puasa mengandungi pelbagai hikmat dan prinsip agama yang dijangka mampu memandu manusia menghadapi hari-harinya di dunia untuk mendapatkan hasil lebih lumayan di akhirat kelak.

Puasa mempunyai waktu yang khusus untuk melakukannya. Puasa yang dilakukan tidak pada waktunya yang tepat akan terbatal. Ketepatan ini meliputi masa mengikut bulan dan hari. Puasa kita mengajar kita menepati masa, tarikh permulaan bulan Ramadan dan kedatangan Syawwal.

Puasa menyuruh kita menghormati ketepatan masa sahur dan masa berbuka.

Menepati janji dan masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset dan bernilai dalam hidup manusia.

Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa “masa itu emas”.

Kepentingan masa dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”

Kita perlu menyedari bahawa setiap detik yang dilalui adalah perjalanan hidup yang tidak akan kembali. Manusia kadang kala leka menyambut kedatangan musim baru, sedangkan di sebalik kelekaan itu ada panggilan ajal yang bakal menanti tidak lama lagi.

Demikianlah Ramadan yang kian menghilang. Kita kadang-kadang sibuk menyambut musim Raya yang kian menjelang, tetapi tanpa disedari masa yang ada bulan Ramadan untuk menimba rahmat dan keberkatan sudah tinggal sedikit untuk kita manfaatkan.

Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya diusaha dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Semoga Allah membolehkan kita mengurus masa kita dengan baik di hari akhir Ramdhan ini untuk menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik bagi kita.

Renungan Ramadhan 27



Renungan Ramadan 27

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita digalakkan membanyakkan do’a pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya nikmat yang Allah karuniakan kepada kita sebenarnya jauh lebih besar daripada nikmat yang kita minta.

Ketika kita meminta rezeki, ketika itu rezeki yang Allah curahkan jauh lebih melimpah.

Ketika kita meminta kebaikan, ketika itu kebaikan yang Allah berikan jauh lebih banyak dari yang kita duga. Hanya saja, keterbatasan ilmu dan ketertutupan mata hati, membuat kita jarang menyedari besarnya kurniaan Allah tersebut. Doa yang kita mohonkan kepada Allah terbagi ke dalam empat tingkat.

Tingkat pertama adalah doa meminta dunia. Inilah doa dengan tingkatan "terendah". Dalam doa ini, tidak ada yang kita minta selain dunia, termasuk minta harta berlimpah, minta kedudukan, minta berhasil dalam perniagaan atau pekerjaan, minta jodoh, dan sebagainya. Tidak salah kita berdoa seperti ini, bahkan dianjurkan dan bernilai pahala.

Tingkat kedua adalah doa minta pahala. Pada tingkatan kedua ini kita meminta agar Allah SWT membalas semua kebaikan kita dengan balasan berlipat.

Puncaknya, kita meminta dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari neraka. Doa tingkatan kedua ini lebih bernuansa akhirat, dan nilainya lebih tinggi dari sekadar meminta dunia.

Tingkat tertinggi dari doa adalah meminta rahmat dan keredhaan Allah. Inilah cita-cita tertinggi yang harus dimiliki seorang Muslim. Tentang hal ini, Imam Ibnu Athaillah dalam kitab Hikam mengungkapkan bahawa "sebaik-baik doa yang harus engkau panjatkan kepada Allah, adalah apa-apa yang Allah perintahkan kepadamu".

Jadi, doa terbaik yang harus kita panjatkan kepada Allah adalah doa minta dikuatkan iman, doa minta diberi ketaatan pada semua perintah dan larangan, serta istiqamah dalam pengabdian. Rasulullah SAW. mencontohkan sebaik-baik doa, yaitu: Allahumma inni as'aluka ridhaaka wal jannah wa 'audzubika min sakhaathika wannaar. Artinya, "Ya Allah aku memohon kepada-Mu, keredhaan-Mu dan syurga; dan aku berlindung kepada-Mu dari murka-Mu dan api neraka".

Saat kita meminta keredhaan Allah, maka saat itu kita telah meminta hal paling berharga dalam hidup. Sebab, tidak ada gunanya harta, pangkat, jabatan, ketampanan, atau apa pun, bila Allah tidak redha kepada kita.

Tetapi bila Allah sudah redha, maka semuanya akan jadi mudah. Dunia insya Allah akan kita dapatkan, dan akhirat pun akan kita rangkul.

Karena itu, di samping berdoa minta kecukupan, kita mintajuga tawakal; di samping minta nikmat, kita minta supaya kita dibantu untuk bersyukur; di samping berdoa minta terlepas dari musibah, kita pohonlah agar kita sabar, dsb.

Sementara kita masih berada pada bulan Ramadan, berdoalah sebanyak mungkin kepada Allah. Sebab Allah tidak akan menolak doa orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Dan sebaik-baik doa adalah meminta redha dan kasih sayang Allah.

Renungan Ramadhan 26



Renungan Ramadan 26

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya bulan Ramadan itu bulan yang berganda kerana segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang berganda-ganda.

Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan Ramadan itu juga, nafsu kita berganda.

Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk berbuka, berganda dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan berganda dengan sifat membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri. Dari sifat buruk dan tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti sebenarnya KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100 markah puasanya?

Bulan Ramadan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad saw. yang bakal kita tinggalkan lagi beberapa hari lagi, hanya datang sekali dalam setahun. Tanya diri kita sendiri sahabat, di dalam 30 hari Ramadan itu tidak semuanya benar-benar menghayati Ramadan. Orang awam seperti kita adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi 23 hari Ramadan sahaja.

Kerana pada waktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum Ramadan lagi. Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadan tetapi kita sibuk di gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya.

Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih, biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita.

Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya. Kita sibuk meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan tetapi hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya. Memang secara teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar.

Allah swt. mengharamkan jasad umat-Nya yang gembira dan senang dengan ketibaan Ramadan daripada api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadan. Kerana itu, kalau kita dapat lihat siaran langsung solat di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Bagi mereka, tidak ada bulan lain yang menyamai bulan Ramadan. Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan dukacita meninggalkan Ramadan atau sebaliknya?

Sementara masih ada sisa Ramadan ini, sama-samalah kita cuba mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita menikmati kerberkatan dan hikmah berpuasa dan cuba menghidupkan malam Lailatul Qadar, jika mampu.

Biarlah Ramadan yang cuma sekali dalam setahun itu benar-benar memberi kesan yang keinsafan dan ketakwaan terhadap diri kita.