Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Bayi Tong Sampah


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30


SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,” katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,” katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Cekik bayi hingga mati

Oleh Junaidi Ladjana
2010/06/10

KOTA KINABALU: Bunyi tangisan bayi yang nyaring pada malam hari membongkar perbuatan seorang ibu bersifat syaitan dipercayai mencekik bayi dilahirkannya sehingga mati, sebelum mayatnya dibungkus dan ditanam di sebuah ladang di Jalan Jerecoh, Kinabatangan, di sini,semalam .



Salah seorang pekerja ladang yang enggan dikenali, berkata, pada mulanya dia mendengar suara tangisan bayi kira-kira jam 9 malam, kelmarin ketika mahu mematikan enjin bekalan air terletak bersebelahan rumahnya. Bagaimanapun, katanya dia takut melihat apa yang berlaku kerana menyangka ia suara hantu berikutan lokasi kediamannya jauh daripada penempatan penduduk.

Katanya, pada keesokkan harinya (semalam), dia tergerak hati menyiasat apa yang berlaku sebelum mengajak salah seorang rakan menemaninya.

Beliau berkata, sebaik tiba kawasan belukar tidak jauh di belakang rumahnya, dia terkejut mendapati ada longgokan tanah yang masih baru digali seperti sebuah busut kecil.

“Kira-kira satu jam memeriksa kawasan ini, rakan saya terlihat kesan tanah baru digali tetapi ditimbus pelepah kelapa sawit sebelum mengalihkan timbunan daun itu.

“Saya menggali semula busut kecil ini sebelum menemui satu bungkusan kecil dibaluti guni plastik sebelum membukanya,” katanya.

Lelaki terbabit terkejut apabila mendapati guni palstik itu mengandungi mayat bayi masih bertali pusat dan dipenuhi darah sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintenden (DSP) Jaini Abdul Kadir, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu, pihaknya menghantar beberapa anggota menyiasat dan mengesahkan menemui mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan ditanam secara sembunyi.

“Dua lelaki terbabit mendakwa menemui mayat bayi ini selepas mendengar tangisan bayi pada malam sebelum itu sebelum mencari punca bunyi berkenaan pada pagi esoknya.

“Mereka menemui longgokan tanah baru digali lalu menggali sebelum menemui bungkusan guni mengandungi mayat bayi cukup sifat dipercayai baru beberapa jam baru dilahirkan sebelum dibunuh dan ditanam,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada lelaki berkenaan, dia pernah melihat seorang wanita sarat mengandung mundar-mandir di ladang terbabit beberapa kali sebelum ini.

"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis mengesan rumah wanita terbabit dan mendapati perutnya kempis sebelum ditahan untuk siasatan.

“Polis percaya wanita berusia 33 tahun ini dipercayai melahirkan sendiri bayinya sebelum mencekik dan menanamnya untuk mengelakkan daripada diketahui masyarakat,” katanya.

Jaini berkata, wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal terhadap mayat bayi itu mendapati terdapat kesan lebam pada lehernya dipercayai dicekik.

“Bayi malang ini dipercayai masih hidup ketika dilahirkan tetapi mati akibat dicekik sebelum ditanam.

“Tangisan akhir bayi didengari pekerja ladang itu adalah tangisan terakhirnya sebelum ditanam,” katanya.

Menurut Jaini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.

16 pelajar dikesan hamil luar nikah

Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
2010/06/03


KUALA TERENGGANU: Enam belas pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Difahamkan pelajar terbabit terjebak dengan gejala sosial, berada dalam Tingkatan Tiga dan Enam, dikesan melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tahun lalu,
dan kes terbaru, seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu.

Lantaran perkara itu memalukan, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar dikatakan menyembunyikan kelahiran itu tetapi terbongkar apabila rakan pelajar berkenaan mendedahkan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu baru-baru ini.

Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi difahamkan, pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah terbabit memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas pelajar itu melahirkan anak April lalu.

Katanya, dalam usaha menyembunyikan keadaan memalukan itu, seorang daripada pelajar berkenaan sanggup membuat permohonan bertukar sekolah di Setiu, selepas mengetahui dia mengandung enam bulan.

Bagaimanapun, usahanya tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya kerana mengetahui pelajar itu mengandung anak luar nikah. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sudah meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut.

“Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya.



Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada taraf A1, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.


Tazkirah Penghayatan Solat 1

Oleh:
Ustazah Shahidah (Guru Sek. Men. Islam Hidayah)

Assalamualaikum WRT WBT

Solat dalam Kehidupan

SOLAT adalah tiang, tunjang, rukun dan lambang Islam yang kekal abadi, umpama kepala kepada tubuh manusia. Solat jugak penyeri hidup, penenang jiwa, penghibur hati, penghubung antara hamba dan Tuhan, pelantar untuk roh kekasih naik ke tingkat tertinggi menikmati belaian Ilahi dan bergembira di taman suci.

Sembahyang menggabungkan kebahagiaan dua alam, alam ghaib dan alam nyata.

Solat seolah cahaya yang bersinar di dalam jiwa yang menghayatinya. Solat akan terasa indah bagi sesiapa yang menikmatinya.

Cara terbaik untuk membersihkan jiwa manusia adalah dengan solat-solat yang khusyuk. Solat yang menggilap hati, Solat yang membuang segala noda dosa dan membersihkan segala kotoran hati. Solat yang mengurniakan cahaya Iman melegakan dada dengan kedinginan taqwa.

Majoriti dari umat Islam menunaikan solat secara teknikal yang diwarisi dari org tua. Mereka membaca sesuatu, melakukan pergerakan tertentu dan merasa yakin telah menunaikan kewajipan walaupun tanpa mengetahui rahsia dan merasai kesannya.

Sebenarnya segala bacaan dan perbuatan dalam sembahyang hanyalah ibarat jasad, rohnya adalah kefahaman, tunjangnya adalah khusyuk dan tiangnya ialah kesan.

Oleh itu, kita dapat lihat kenapa kebykkan manusia tidak memperolehi apa-apa manfaat daripada sembahyang mereka. Walaupun solat, namun mereka masih tidak berhenti melakukan jenayah. Sedangkan solat yang betul pasti membersihkan jiwa dan hati serta mampu menghalang pelakunya dari dosa dan perkara yang diharamkan.

Oleh itu, perlulah kita memberi perhatian yang utama dalam menghadirkan hati ketika solat dan menjaga kekhusyukkan ketika beribadat. Agar kita dapat merasai nilai ketaatan, menuruti cahaya Allah yang akan terpancar pada diri kita dan merasai agungnya mengenali Allah.

"Orang yang sembahyang pada waktunya, dia menjaga wudu'nya serta melakukan dengan sempurna dalam ruku', sujud dan khusyuknya, sembahyang ini akan naik ke langkit dalam bentuk cahaya putih, yang terang menderang dan ia akan berkata: 'Semoga Allah memeliharamu sepertimana engkau memeliharaku'. 

Orang yang sembahyang diluar waktunya dan tidak menjaga wudu'nya serta tidak melakukan dengan sempurna dalam ruku', sujud dan khusyuknya, sembahyang itu akan naik dalam bentuk cahaya yang hitam pekat dan berkata: 'Semoga Allah mengabaikanmu sebagaimana engkau mengabaikanku.' Apabila ia berada ditempat yang dikehendaki Allah, sembahyang itu akan dilipat seperti baju kusam lalu ia digunakan utk memukul pelakunya."
(Hadith Anas diriwayatkan oleh al-Tabarani)

"Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah) dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang.." (Al-Baqarah: 153)


Remaja tanam bayi

ARKIB : 18/05/2010

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

pengarang@utusan.com.my

MELAKA 17 Mei – Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya. Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah. Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir. Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya. Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun. Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu.

“Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi.

“Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama,” katanya.

Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.

Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.

“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.




Berfirman Allah Taala yang bermaksud :

"Wahai anak Adam, tidak Aku jadikan kamu sia-sia dan terdinding. Aku tidak lupa dan aku sangat mengetahui terhadap hal-halmu. Tidak sekali-kali kamu peroleh darjat di sisi-Ku melainkan dengan sabar atas perkara yang kamu tidak sukai semata-mata kerana menuntut keredhaan-Ku. Bersabar untuk mentaati-Ku itu lebih mudah daripada bersabar melakukan maksiat.

Meninggalkan dosa itu lebih mudah bagimu daripada merasai kepanasan azab neraka. Azab dunia itu lebih ringan bagimu daripada azab akhirat. Wahai anak Adam, setiap kamu itu sesat kecuali mereka yang mendapat petunjuk-Ku. Setiap kamu bersalah melainkan Aku memeliharanya.

Bertaubatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan mengasihimu. Janganlah kamu menyembunyikan sebarang rahsia daripada Tuhan yang tidak tersembunyi bagi-Nya sebarang rahsia"


(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali:al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)