Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

3 Faktor Perosak Manusia

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian. Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka mengganggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang maha kuasa.

Menghindari lebih baik daripada mencegah. Kali ini kita bermuhasabah untuk menghindari faktor perosak.

Saidina Umar berkata: “Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati dan kekaguman pada diri sendiri.”

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia di bangunkan, rasa cinta kepada harta, takhta dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.



Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan.

Pada masa itu pekak telinganya, buta matanya dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pen dengaran dan hatinya.”

Ini yang dibimbangkan terhadap sebilangan remaja kita, belajar di universiti, ilmu banyak, ijazah tinggi, jawatan serta gaji lumayan tetapi menjadi ‘pak turut’ kepada hawa nafsu jahat.

Kebanyakan mereka ditangkap kerana rasuah, pecah amanah, merogol, seks bebas, buang bayi dan pelbagai kesalahan jenayah.

Tidak dinafikan juga ada jenayah dilakukan mereka yang berpelajaran. Hakikatnya, jika kita ingin menjadi insan yang baik, bukan hanya perlu kepada ilmu dan segulung ijazah tetapi lebih penting ialah bungkusan azimat iman untuk mengekang kemahuan nafsu menggila.

Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk mengendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya.

Ada sesetengah remaja menghambur duit di tempat perjudian, untuk minuman keras dan melayan teman wanita yang luar biasa idaman kebendaannya. Malangnya derma anak yatim tidak dipandang, tabung masjid yang disediakan dibiarkan.

Kedekut bukan terbatas kepada duit saja tetapi merangkumi kedekut idea, pendapat, kedekut nota kuliah, resipi dan tenaga.

Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mendapat sokongan mem berangsangkan di kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa saja untuk menikmatinya.

Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosak diri, keluarga dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu di tani orang lain.

Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan kebolehan orang lain. Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menu orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelek.





sumber:HMetroOnline2008

PAKEJ CUTI SEKOLAH IKRAM JBT

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera buat adik-adik semua.

Kami daripada Jawatankuasa Pemuda Remaja Belia IKRAM Johor Bahru Tengah, dengan sukacitanya nak ajak adik-adik join kami time cuti sekolah ni.


6 minggu yang adik-adik ada dirumah, jom lah kita penuhkan dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. Bagi adik-adik yang tinggal atau bersekolah di kawasan Perbandaran Johor Bahru Tengah, bolehlah join Pakej Cuti Sekolah bersama IKRAM!

Di antara aktiviti menarik yang akan di adakan adalah:

1. Pertandingan Minda Kreatif & Idea Kreatif.
2. Kejohanan Futsal & Netball
3. ExploRace


Semua aktiviti ni akan diadakan sepanjang bulan 11 dan bulan 12 ini. Nanti sebarang informasi terkini, adik-adik boleh dapatkan di blog http://pakejcutisekolahikram.blogspot.com. Atau boleh telefon/sms kami 017-7667784 (Kak Siti), 019-7560980 (Kak Anie), 019-7833082 (Kak Mira), 013-7564068 (Abg Ahmad) untuk maklumat lanjunt.

Pastikan adik-adik dapat kebenaran mak ayah tau! Bayaran dia sikit je, RM15 je untuk tiga-tiga aktiviti.

Semoga adik-adik bersemangat untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat cuti sekolah ni.

Ape lagi adik-adik, JOM!! Ajak kawan-kawan sekali! HADIAH MENARIK menanti para pemenang!

Love Always,
Kak Mira

JJB@SMK Desa Jaya

Assalamualaikum WRT WBT

14hb November 2010 - Alhamdulillah, Kempen Jom Jadi Bijak (JJB) Negeri Johor telah berkesempatan meluaskan tanah jajahannya di 8 tempat pada masa serentak dengan kerjasama PPD Pasir Gudang.

JJB telah menjejakkan kakinya di SMK Desa Jaya dengan memprogramkan pelajar lelaki dan perempuan seramai 125 orang yang terdiri daripada tingkatan 2 dan 3.

Secara kebetulan terdapat seorang pelajar yang bernama Zack dan beliau memakai baju berwarna oren. Hehe.. Minta maaf ye adik, kami tak berniat langsung.








Renungan Ramadhan 24



Renungan Ramadan 24

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ruang-lingkup sedekah seperti yang kita sebutkan malam tadi amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya.

Termasuk di dalam takrifan sedekah tersebut di dalam hadis yang dibaca semalam ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut." (surah al-Hujurat:9)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu
sebelum kita memastikan kesahihannya.

Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan.

Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer.

Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.

Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadan ini, marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

Renungan Ramadhan 23



Renungan Ramadan 23

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan Sedekah, seperti yang telah disebutkan dalam Siri ini (Renungan Ramadan 15). Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadan ada dinyatakan bahawa “Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahawa sedekah adalah untuk orangorang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain.

Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:

Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kami sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:
Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah.
(Hadis Riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah teruatma pada bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadan yang mulia ini.