JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Renungan Ramadhan 28



Renungan Ramadan 28

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Puasa mengandungi pelbagai hikmat dan prinsip agama yang dijangka mampu memandu manusia menghadapi hari-harinya di dunia untuk mendapatkan hasil lebih lumayan di akhirat kelak.

Puasa mempunyai waktu yang khusus untuk melakukannya. Puasa yang dilakukan tidak pada waktunya yang tepat akan terbatal. Ketepatan ini meliputi masa mengikut bulan dan hari. Puasa kita mengajar kita menepati masa, tarikh permulaan bulan Ramadan dan kedatangan Syawwal.

Puasa menyuruh kita menghormati ketepatan masa sahur dan masa berbuka.

Menepati janji dan masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset dan bernilai dalam hidup manusia.

Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa “masa itu emas”.

Kepentingan masa dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”

Kita perlu menyedari bahawa setiap detik yang dilalui adalah perjalanan hidup yang tidak akan kembali. Manusia kadang kala leka menyambut kedatangan musim baru, sedangkan di sebalik kelekaan itu ada panggilan ajal yang bakal menanti tidak lama lagi.

Demikianlah Ramadan yang kian menghilang. Kita kadang-kadang sibuk menyambut musim Raya yang kian menjelang, tetapi tanpa disedari masa yang ada bulan Ramadan untuk menimba rahmat dan keberkatan sudah tinggal sedikit untuk kita manfaatkan.

Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya diusaha dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Semoga Allah membolehkan kita mengurus masa kita dengan baik di hari akhir Ramdhan ini untuk menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik bagi kita.

No Response to "Renungan Ramadhan 28"