Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Bayi Tong Sampah


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30


SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,” katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,” katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Cekik bayi hingga mati

Oleh Junaidi Ladjana
2010/06/10

KOTA KINABALU: Bunyi tangisan bayi yang nyaring pada malam hari membongkar perbuatan seorang ibu bersifat syaitan dipercayai mencekik bayi dilahirkannya sehingga mati, sebelum mayatnya dibungkus dan ditanam di sebuah ladang di Jalan Jerecoh, Kinabatangan, di sini,semalam .



Salah seorang pekerja ladang yang enggan dikenali, berkata, pada mulanya dia mendengar suara tangisan bayi kira-kira jam 9 malam, kelmarin ketika mahu mematikan enjin bekalan air terletak bersebelahan rumahnya. Bagaimanapun, katanya dia takut melihat apa yang berlaku kerana menyangka ia suara hantu berikutan lokasi kediamannya jauh daripada penempatan penduduk.

Katanya, pada keesokkan harinya (semalam), dia tergerak hati menyiasat apa yang berlaku sebelum mengajak salah seorang rakan menemaninya.

Beliau berkata, sebaik tiba kawasan belukar tidak jauh di belakang rumahnya, dia terkejut mendapati ada longgokan tanah yang masih baru digali seperti sebuah busut kecil.

“Kira-kira satu jam memeriksa kawasan ini, rakan saya terlihat kesan tanah baru digali tetapi ditimbus pelepah kelapa sawit sebelum mengalihkan timbunan daun itu.

“Saya menggali semula busut kecil ini sebelum menemui satu bungkusan kecil dibaluti guni plastik sebelum membukanya,” katanya.

Lelaki terbabit terkejut apabila mendapati guni palstik itu mengandungi mayat bayi masih bertali pusat dan dipenuhi darah sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintenden (DSP) Jaini Abdul Kadir, ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Katanya, sebaik menerima panggilan itu, pihaknya menghantar beberapa anggota menyiasat dan mengesahkan menemui mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan ditanam secara sembunyi.

“Dua lelaki terbabit mendakwa menemui mayat bayi ini selepas mendengar tangisan bayi pada malam sebelum itu sebelum mencari punca bunyi berkenaan pada pagi esoknya.

“Mereka menemui longgokan tanah baru digali lalu menggali sebelum menemui bungkusan guni mengandungi mayat bayi cukup sifat dipercayai baru beberapa jam baru dilahirkan sebelum dibunuh dan ditanam,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada lelaki berkenaan, dia pernah melihat seorang wanita sarat mengandung mundar-mandir di ladang terbabit beberapa kali sebelum ini.

"Bertindak atas maklumat itu, pihak polis mengesan rumah wanita terbabit dan mendapati perutnya kempis sebelum ditahan untuk siasatan.

“Polis percaya wanita berusia 33 tahun ini dipercayai melahirkan sendiri bayinya sebelum mencekik dan menanamnya untuk mengelakkan daripada diketahui masyarakat,” katanya.

Jaini berkata, wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal terhadap mayat bayi itu mendapati terdapat kesan lebam pada lehernya dipercayai dicekik.

“Bayi malang ini dipercayai masih hidup ketika dilahirkan tetapi mati akibat dicekik sebelum ditanam.

“Tangisan akhir bayi didengari pekerja ladang itu adalah tangisan terakhirnya sebelum ditanam,” katanya.

Menurut Jaini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.

16 pelajar dikesan hamil luar nikah

Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
2010/06/03


KUALA TERENGGANU: Enam belas pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Difahamkan pelajar terbabit terjebak dengan gejala sosial, berada dalam Tingkatan Tiga dan Enam, dikesan melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tahun lalu,
dan kes terbaru, seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu.

Lantaran perkara itu memalukan, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar dikatakan menyembunyikan kelahiran itu tetapi terbongkar apabila rakan pelajar berkenaan mendedahkan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu baru-baru ini.

Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi difahamkan, pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah terbabit memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas pelajar itu melahirkan anak April lalu.

Katanya, dalam usaha menyembunyikan keadaan memalukan itu, seorang daripada pelajar berkenaan sanggup membuat permohonan bertukar sekolah di Setiu, selepas mengetahui dia mengandung enam bulan.

Bagaimanapun, usahanya tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya kerana mengetahui pelajar itu mengandung anak luar nikah. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sudah meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut.

“Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya.



Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada taraf A1, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.