Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Peserta Kini

Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

Kini peserta Kempen Anda Bijak Jauhi Zina ini telah mencecah 10, 583 orang, yang melibatkan 9655 pelajar sekolah, 456 guru-guru, 230 IbuBapa dan 340 pelajar IPT.

Teruskan mengunjungi blog kami untuk perkembangan kempen, isu semasa dan tazkirah.

Jangan lupa khabarkan kepada kawan-kawan, saudara mara, guru-guru, ahli keluarga dan sahabat handai!

Terima Kasih kepada semua yang menyokong kempen kami. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Wahai Lelaki

Assalamualaikum WRT WBT

Wahai lelaki,

Janganlah hipokrit, semua lelaki perlukan wanita. Tanpa wanita hati, perasaan, dan fikiran lelaki akan rosak. Mereka masih mencari walaupun ada segalanya. Apa yang tidak ada disyurga sehingga Adam tetap rindukan Hawa..?

Pada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri, ataupun puteri. Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki.Tetapi kalau lelaki sendiri tidak lurus , mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Wahai lelaki, luruskan wanita dengan jalan yang ditunjukkan Allah. Didiklah wanita dengan panduan dari-Nya. Janganlah cuba menjinakkan mereka dengan harta kerana nantinya mereka sungguh dan semakin liar. Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan kerana nantinya mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal kerana di situlah punca bagi kekuatan dunia.

Akal wanita setipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu. Hatinya serapuh kaca, kuatkan ia dengan iman. Hiasilah ia dengan akhlak. Bisikkan ke telinga mereka kelembutan bukan satu kelemahan. Ia bukan diskriminasi Tuhan.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak mereka tidak akan melurus bahkan membengkok.

Itulah akibat andai wanita tidak kenal TuhanNya. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan, tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Ilahi, pimpinlah diri sendiri kepadaNya. Jinakkan diri pada Allah nescaya akan jinaklah segalanya di bawah pimpinanmu.

Dan… janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra andai peribadimu tidak sehebat Sayidina Ali Karramallhuwajhah…

Renugkanlah dirimu..

Sifat Malu

Assalamualaikum wrt wbt

Ape khabar adik-adik semua. KakMyra minta maaf sebab lama tak update blog kite ni. Tapi harapnya adik-adik semua masih setia bersama kami menjadi duta kempen ABJZ di negeri Johor ni InsyaAllah.

Mari kita bermuhasabah sedikit hari ni ye. Ni ade satu article yang menarik minat akak untuk letak di sini. Buat renungan kita semua.

-----------------------------------
Biasa kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga. Kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita.

Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan-jalan raya, di pasar raya,di perhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.

Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Sememangnya wanita lain daripada lelaki, terdapat banyak kelainannya.

Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu" (Hadis riwayat Baihaqi)

Wanita,apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki, kalau dia berbuat baik, dikagumi, apabila berbuat jahat diminati,apabila dia memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) dilihat menggoda, dan macam-macam lagi yang menarik perhatian.

Oleh sebab itu Allah S.W.T. mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.

Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu ? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu"

Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca akal pun sudah mengakui sebagai suatu sifat yang perlu ada pada diri manusia.

Barangkali wanita hari ini kebanyakkannya tidak malu atau kurang malu sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat.

Atau barangkali jika sifat malu yang dikurniakan Allah itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya.

Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka.

Sayang, wanita yang sepatutunya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.

Tapi percaya lah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yang menimpa kaum wanita.

Bayi ditemui atas wakaf masjid

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my


KEADAAN bayi lelaki dilahirkan tidak cukup bulan yang ditinggalkan di wakaf Masjid Telipot, di Kota Bharu, semalam.

Diselimuti dengan kain tudung buruk

KOTA BHARU: Jemaah Masjid Telipot, dekat sini, gempar, apabila seorang bayi lelaki dilahirkan tidak cukup bulan dan masih hidup yang dibungkus dalam kain tudung, ditinggalkan di atas sebuah wakaf dalam kawasan masjid berkenaan, pagi semalam.

Penjaga masjid itu, Ali Abdullah, 65, berkata beliau terkejut dengan penemuan bayi masih bertali pusat itu, kerana ketika membuka pintu pagar masjid pada jam 5 pagi dan selepas solat Subuh, beliau tidak melihat sebarang perkara aneh di kawasan masjid itu.

Katanya, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas kembali semula ke masjid dari menghadiri satu majlis bercukur bayi di Desa Telipot, berhampiran masjid itu, kira-kira jam 8 pagi, apabila melihat ramai jemaah masih belum pulang, berkumpul di wakaf berkenaan.

"Ketika memulakan tugas pada jam 5 pagi dan selesai solat Subuh, saya tidak melihat benda aneh di wakaf berkenaan. Namun, apabila pulang dari majlis bercukur bayi, saya terkejut apabila diberitahu ada bayi ditinggalkan di atas wakaf masjid.

"Saya membuat pemeriksaan terhadap tandas di masjid ini, tetapi tiada kesan darah dan percaya perbuatan ini dilakukan penduduk luar dari kawasan ini.

"Polis yang dihubungi kemudian membawa bayi berkenaan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut. Saya berharap manusia kejam tergamak melakukan perbuatan meninggalkan bayi ini, diberi petunjuk sewajarnya tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, seorang pencuci masjid itu, Khatijah Yazid, 51, berkata sepasang suami isteri berusia lingkungan 50-an, yang menunggu seorang rakan berhampiran wakaf masjid itu menemui bayi berkenaan.

Beliau berkata, kerana terlalu lama menunggu, wanita berkenaan berasa letih dan mahu berehat di atas wakaf berkenaan. Bagaimanapun, beliau terkejut selepas melihat ada bungkusan di situ.

"Wanita itu membuka bungkusan berkenaan dan terkejut apabila mendapati ada bayi di dalamnya yang hanya diselimuti selendang buruk," katanya.

Ketua Polis Daerah, Asistan Komisioner, Zahruddin Abdullah, berkata bayi itu dijumpai jam 7.30 pagi oleh seorang pesara kerajaan yang ketika itu menunggu kawannya di wakaf berkenaan.

Sementara itu, sumber HRPZ II ketika dihubungi berkata, bayi berkenaan dimasukkan ke hospital itu jam 9 pagi dan kini ditempatkan di wad 2 untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Bayi berkenaan dilahirkan tidak cukup bulan dengan beratnya hanya satu kilogram. Bayi itu kini ditempatkan dalam inkubator dan dilaporkan stabil," katanya. Beliau kemudian mendengar tangisan bayi dan melihat bayi yang diselimuti selendang buruk.

"Bayi berkenaan dipercayai dilahirkan tiga jam sebelum ditemui dan kini dirawat di HRPZ II," katanya.

Sementara itu, sumber HRPZ II ketika dihubungi, berkata bayi berkenaan dimasukkan ke hospital itu jam 9 pagi dan kini ditempatkan di wad 2 untuk rawatan lanjut dilaporkan stabil.

6 Hari di Bulan Syawal

Assalamualaikum WRT WBT adik2 dan kawan2 sekalian.

Sudahkah anda menunaikan puasa 6?

Tinggal brape hari je lagi bulan Syawal. Baik cepat, sebelum peluang untuk lengkapkannya hilang begitu sahaja.

Sesunggahnya Rasulullah telah mengajar kita bahawa dengan melengkapkan puasa di bulan Ramadhan dan menambah lagi 6 hari puasa di bulan Syawal, ganjarannya adalah sama seperti kita berpuasa sepanjang tahun.

Takkan kita nak lepaskan peluang keemasan ni mcm tu je?

Ayuh kawan2 yang belum settle puasa 6 Syawal. Jangan lalai dan jadikan alasan open house sebagai sebab tak "sempat" nak puasa.

Tepuk dada tanya Iman -- Mana lagi penting, amalan bekalan akhirat atau kepuasan nafsu perut.

Mayat bayi lelaki ditemui depan masjid


ANNGOTA polis memeriksa mayat bayi lelaki yang ditinggalkan di depan pintu Masjid Musollah Al-Abrar, Taman Keladi, Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI: Seorang petugas Masjid Taman Keladi, di sini, yang ke masjid berkenaan pagi semalam untuk memeriksa struktur bumbung bangunan itu yang bocor, terkejut apabila menemui bungkusan berisi mayat bayi lelaki.

Zulkifli Said, 56, yang juga Pengerusi Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Musolla Al-Abrar, di sini, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi sebaik dia membuka pintu pagar masjid itu yang dijadikan kelas Kafa yang tidak berkunci.

Katanya, sebaik melangkah masuk ke kawasan masjid dia terpandang satu bungkusan kain lampin dan tuala selain pelapik yang diletakkan di depan pintu masuk.

“Disebabkan mengesyaki ia bayi, saya segera menghubungi polis yang tiba beberapa minit kemudian dan mendapati ia adalah mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat,” katanya di sini, semalam.

Berdasarkan keadaannya, bayi itu dipercayai mati sebelum mayatnya diletakkan di masjid itu.

Zulkifli berkata, ketika ditemui ada tompokan darah pada kain lampin berkenaan selain mayatnya seperti sudah dimandikan, manakala kedua-dua tangannya diletakkan di perut seperti orang bersolat.

Mayat bayi itu dipercayai ditinggalkan beberapa jam sebelum ditemui kerana masjid itu sunyi disebabkan ia tidak lagi digunakan.

Bangunan masjid itu hanya digunakan oleh murid Kafa yang bermula jam 2.30 petang tiga kali seminggu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Hashim Ali ketika dihubungi berkata, mayat bayi lelaki itu dihantar ke Hos pital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk proses bedah siasat.

Katanya, polis akan menjalakan siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita yang baru bersalin tetapi bayinya tiada supaya tampil membantu siasatan.

ABJZ di Kampung Parit Lapis Bangas

Program "Anda Bijak Jauhi Zina"

Di Kg Parit Lapis Bangas

Sri Medan


4 Oktober 2009

Program ABJZ modul 4 jam ini dianjurkan bersama oleh JIM dan JKKK, dengan penglibatan ~70 orang remaja lelaki dan perempuan. Selain daripada program untuk remaja yang dikendalikan di Dewan Kg Parit Lapis Bangas oleh Pengarah ABJZ Johor, sdr Aminuddin Alias (Pak Long), satu program selari juga diatur untuk para ibubapa di Masjid Jami', yang dipimpin oleh Cikgu Sumilah Marto


Penghulu Mukim Sri Medan, Tn Hj Mohd Yassin Hassan telah merasmikan program di sebelah pagi, sementara Yang Dipertua JIM Negeri Johor, Prof Madya Ainullotfi Abdul Latif, telah menyampaikan ucapan penutup program sejurus sebelum masuk waktu Zohor. Turut hadir bersama sepanjang program ialah Ketua Kampung berkenaan, Tn Hj Omar, dan Timbalan Yang Dipertua JIM Daerah Batu Pahat, Dr Jiwa.



Lebih banyak foto dipaparkan di Portal Web JIM Media Johor di pautan:


http://jimjohor.multiply.com/photos/album/234


IMT_8729e.jpg
YDP JIM Johor bersama (dari kanan) Tok Penghulu Mohd Yassin, Tok Ketua Kampung Hj Omar, dan Wak Sahlan.

IMT_8737e.jpg
Cikgu Sumilah Marto menyampaikan pengisian untuk ibubapa

IMT_8755e.jpg
Antara para bapa yang hadir

IMT_8767e.jpg
Pak Im mengendalikan program dengan remaja

IMT_8776e.jpg
Luahan hati seorang ibu

IMT_8786e.jpg
Remaja lelaki - termasuk kanak-kanak - memberikan ikrar

IMT_8787e.jpg
Remaja perempuan membacakan ikrar ABJZ

IMT_8789e.jpg
YDP JIM Johor menyampaikan banting ANJZ kepada Tok Penghulu Mohd Yassin

IMT_8816e.jpg
Bersama menjamah jamuan setelah selesai solat

IMT_8832e.jpg
Bergambar ramai di hujung program

Taman maksiat

Oleh Rabi'Atul Ada'wiyah Ismail
bhnews@bharian.com.my


ANTARA aksi pasangan kekasih yang dapat dilihat di Hutan Lipur Lenggeng.

LENGGENG: Hutan lipur dan taman rekreasi dimajukan pihak berkuasa bagi memudahkan orang ramai bersantai serta berkelah, terutama bersama keluarga sambil menikmati keindahan flora dan faunanya.

Tetapi bagi pasangan kekasih yang tengah hangat bercinta, kawasan yang tersorok dan sunyi, terutama pada hari bekerja itu adalah ‘pangkalan’ atau ‘port’ terbaik untuk memadu kasih serta bercumbu bagi melepaskan kerinduan masing-masing.


Keadaan itu dapat disaksikan di Hutan Lipur Lenggeng, di sini, yang dijadikan sarang maksiat oleh pasangan kekasih kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar dan tersorok tanpa pengawasan serta ‘mata’ pihak berkuasa agama.

Tinjauan mendapati beberapa pasangan ‘Laila dan Majnun’ tanpa segan silu memadu kasih, termasuk baring di atas riba pasangan, berpelukan dan tidak kurang juga melakukan aksi ‘berani’ berkucupan mesra.

Seorang pengunjung, Mohd Adam Mohd Yaacob, 33, mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan maksiat di kawasan itu.

HUTAN Lipur Lenggeng yang sunyi menjadi pilihan pasangan memadu asmara.

“Ia bukan saja berlaku pada hari bekerja tetapi juga pada Ramadan lalu. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas menanganinya.

“Saya juga meminta pihak berkuasa, terutama jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan pelbagai kegiatan berfaedah, terutama untuk golongan remaja dan belia, di sini supaya kawasan ini menjadi tumpuan ramai dan tidak lagi sunyi,” katanya.

Mohd Fairuz Rosli, 23, berkata beliau jarang berkunjung ke kawasan rekreasi dan mengaku terkejut apabila kunjungannya di hutan lipur berkenaan ‘disajikan’ dengan ‘lakonan percuma’ oleh pasangan kekasih.

“Memang lokasi hutan lipur ini terpencil tetapi ia tidak harus dijadikan alasan kepada pihak berkuasa untuk tidak mengawasinya. Sesekali mereka perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap pasangan yang merosakkan imej hutan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, mengingatkan orang ramai, terutama golongan muda supaya tidak menyalahgunakan hutan lipur dan rekreasi dengan menjadikannya sebagai tempat melakukan maksiat.

“Perbuatan tidak bermoral yang dilakukan itu adalah menyimpang daripada matlamat asal kemudahan itu disediakan untuk membolehkan orang ramai beriadah dan bersantai bersama keluarga.

“Saya kecewa kerana perbuatan itu bukan saja akan menjejaskan imej kawasan berkenaan sebagai lokasi pelancongan tetapi juga meningkatkan masalah sosial di kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi menangani kegiatan tidak bermoral itu, termasuk melakukan pemantauan dan pengawasan lebih kerap.

“Kita juga berharap orang ramai bekerjasama dengan memainkan peranan, termasuk menegur dan memberi nasihat kepada pasangan yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Padah mudah terperdaya

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
bhnews@bharian.com.my


REMAJA (kiri) dan rakannya disoal-siasat penguat kuasa pejabat agama di Tanjung Dawai, dekat Sungai Petani.

Remaja akui gugur anak luar nikah tiga kali

SUNGAI PETANI: Dia baru berumur 14 tahun, namun sudah tercicir daripada sekolah dan dalam usia semuda itu dia sudah tiga kali gugur dan kini hamil tiga bulan.

Bagi remaja seusianya, waktu malam mereka seharusnya dihabiskan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran, tetapi remaja perempuan ini ditemui di sebuah kedai makan pada awal pagi bersama dua rakannya oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Unit Gejala Sosial Negeri Kedah (Unggas) yang mengadakan operasi sekitar Tanjung Dawai dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika ditemui, dia juga tidak menunjukkan sebarang tindakan untuk melarikan diri ketika dihampiri pihak berkuasa.

Ketika disoal, dia yang bersekolah hanya setakat Tahun Enam, mengaku sedang hamil tiga bulan.

Ketua operasi pejabat agama daerah itu, Zaiferi Zainol Abidin, berkata operasi di kawasan itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat yang tidak tahan melihat kegiatan maksiat dilakukan penduduk luar di kampung mereka.

“Kedudukan Tanjung Dawai di pinggiran pantai menyebabkan ia menerima kehadiran pengunjung luar setiap malam.

“Operasi bersama Unggas dilakukan bagi membendung dan mencegah aktiviti maksiat sekitar kawasan ini agar mereka yang datang ke sini menghormati perasaan penduduk kampung,” katanya kepada Berita Harian.

Zaiferi berkata, remaja perempuan itu mendakwa dia menjadi mangsa keadaan sosial di kawasan itu dan mengaku pernah keguguran sebanyak tiga kali sebelum ini.

Katanya, selain diperdaya lelaki yang mengambil kesempatan ke atas remaja perempuan itu, latar belakang keluarganya turut menyumbang kepada cara hidupnya.

“Ibu bapanya didakwa kerap bergaduh akibat masalah kewangan menyebabkan dia hilang arah dan tiada tempat untuk mengadu masalah.

“Sebab itu dia mudah terpedaya dengan nasihat salah daripada lelaki yang sengaja ingin mengambil kesempatan ke atasnya,” katanya.

Katanya, remaja perempuan itu juga memberitahu dia gugurkan anak kali pertama ketika berusia 12 tahun selepas didakwa dirogol dan kali ketiga pada April tahun ini.

Zaiferi berkata, remaja perempuan itu diminta hadir ke pejabat agama bagi diberi kaunseling sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Penyelaras Unggas, Kamaruddin Kassim, berkata semua pihak terutama masyarakat sekeliling mesti berperanan dalam usaha membantu pihaknya membendung gejala tidak bermoral generasi muda.

“Unggas yang banyak terbabit dengan aktiviti pencegahan perlakuan tidak sopan di sesuatu komuniti akan berusaha mencegah perlakuan berkenaan, sekali gus mengekalkan suasana selesa penempatan tertentu,” katanya.

'Cari makan' usia senja

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my


PELACUR kelas murahan dikenali Mimi dari Pontianak cuba menawarkan khidmat seks dengan harga antara RM20 hingga RM100.

Bayaran antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada jenis perkhidmatan

KUCHING: Ketika usia beranjak senja, masih ada lagi golongan wanita tua, malah ada yang sudah layak bergelar nenek, sanggup menjaja tubuh dengan bayaran serendah RM20, di bandar raya ini.

Mereka ini terjebak atas pelbagai alasan untuk 'cari makan', sama ada kerana himpitan hidup, terdesak untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak atau ada yang sukar untuk kembali ke pangkal jalan selepas sekian lama hidup mewah hasil menjaja tubuh.


Bayaran dikenakan kepada setiap pelanggan bermula dari RM20 hingga RM100, bergantung kepada jenis perkhidmatan diberi termasuk tempahan satu malam, tidak termasuk bayaran hotel yang ditentukan serta ditanggung sendiri oleh pelanggan.

Pelacur tua berkenaan boleh mencadangkan beberapa hotel murah di sekitar bandar raya ini yang boleh disewa mengikut jam tertentu atau serendah RM40 semalam, bergantung kepada kemahuan pelanggan.

Tinjauan Berita Harian di satu lokasi pelacur tua terkenal di sini, mendapati ada lima wanita dianggar berusia antara 30 hingga 45 tahun menunggu pelanggan di kaki lima bangunan yang tidak dipasang dengan lampu luar oleh pemiliknya.

SONIA cuba berunding dengan pelanggan mengenai tawaran serendah mungkin bagi setiap khidmat diberikan.

Golongan pelacur selalunya dikategorikan sebagai muda apabila berusia antara belasan tahun hingga awal 20-an, pertengahan apabila usia sudah mencecah lewat 20-an ke atas akan dikategorikan sebagai pelacur tua.

Mereka yang kebanyakannya berpakaian seksi, masih mampu menarik pelanggan daripada lelaki tua dengan operasi di kawasan berkenaan dikatakan bermula seawal jam 7.30 malam hingga jam 2 pagi bergantung kepada sambutan dan cuaca.

Pelacur tua yang dikenali sebagai Sonia, 37, berkata dia menjalankan kegiatan menjual tubuh sejak berusia 25 tahun dan kini mempunyai seorang anak luar nikah yang kini dijaga keluarganya di kampung.

Katanya, dia sudah cuba mencari pekerjaan lain namun kebanyakannya tidak sesuai selain gaji ditawarkan adalah kecil menyebabkan dia kembali ke lorong berkenaan menyertai beberapa rakan lama.

"Ketika muda saya boleh hidup mewah termasuk mendapat pendapatan hingga RM10,000 sebulan dan mempunyai kenderaan sendiri, namun lama kelamaan akibat sikap boros saya terpaksa beralih ke sini.

"Saya pernah cuba membuka kedai runcit di kampung namun kerana pertikaian dengan keluarga, saya lebih rela hidup bersendirian di bandar dan hanya sesekali pulang menjenguk ibu bapa," katanya.

Ditanya mengenai jumlah sebenar pelacur tua di kawasan berkenaan, Sonia berkata, setiap malam tidak kurang 20 wanita menawarkan khidmat seks dan selalunya mereka dijemput pelanggan sebelum jam 9 malam lagi.

Dia berkata, kadangkala ada pelanggan bermurah hati membayar lebih dari yang dijanjikan, namun ada ketika mereka ditipu pelanggan yang tidak berduit tetapi masih mahu melanggan mereka.

"Dalam sehari saya melayan antara empat hingga lima pelanggan dengan pendapatan sekitar RM300 dan perlu membayar 'kangtau' kepada beberapa 'kaki' yang menjaga kawasan ini.

"Saya nekad akan berhenti melakukan kerja ini dalam tempoh tiga tahun lagi dan pulang ke kampung untuk membesarkan anak yang kini sudah berusia sembilan tahun," katanya.

Bagi Mimi, 42, yang berasal dari kawasan Utara Sarawak berkata, sikap sesetengah pondan yang masuk ke kawasan mereka menjejaskan pendapatan mereka kerana pelanggan lebih mudah tertarik kepada golongan itu yang lebih muda sehingga boleh mengalahkan wanita tulen.

Katanya, pernah berlaku kumpulan pelacur tua menyerang kumpulan pondan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka turut sama menunggu pelanggan di kawasan berkenaan.

"Pelanggan ketika ini sudah pandai memilih hanya mahu perempuan cantik tetapi dengan harga murah dan akhirnya mereka memilih pondan sedangkan kami yang lebih dulu mencari pelanggan di lokasi ini.

"Saya diberitahu rakan ada pondan sanggup melakukan pembedahan semata-mata mahu menjadi seperti kami tetapi mereka tidak perlu berada di sini kerana ia mengganggu pelanggan kami," katanya.

Ditanya mengenai operasi pihak berkuasa, Mimi berkata, dia sudah beberapa kali ditahan polis namun akibat tidak mempunyai bukti lengkap, dia dibebaskan sebelum kembali menjalani kerja berkenaan seperti biasa.

"Apa boleh buat, kami cuma cari makan saja," katanya sebelum berlalu pergi sebaik jurugambar Berita Harian meminta kerjasama untuk merakamkan gambarnya.

Remaja ditikam teman lelaki bekas kekasih

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my

Kejadian di bilik hotel dipercayai bermotif cemburu

KUANTAN: Akibat kemaruk cinta, seorang remaja parah ditikam teman lelaki bekas kekasihnya ketika bergelut di dalam sebuah bilik hotel bajet, di Jalan Haji Junid di sini, malam kelmarin.

Remaja lelaki berusia 19 tahun terbabit dikatakan cemburu apabila mendapati bekas kekasihnya berdua-duaan dengan teman lelaki barunya di dalam sebuah bilik hotel pada kira-kira jam 7 malam.

Sebaik melihat bekas kekasihnya yang berusia 20 tahun bersama seorang lelaki di dalam bilik hotel, remaja terbabit bertindak memukulnya menggunakan cota selepas berlaku pertengkaran.

Dalam pergelutan itu, teman lelaki bekas kekasihnya berusia 26 tahun itu mencapai pisau pemotong sayur lalu menikam dada dan belakang mangsa.

Pasangan itu kemudian melarikan diri, manakala mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan bermotifkan cemburu dan perselisihan faham.

Beliau berkata, selepas mendapatkan rawatan di HTAA, remaja terbabit yang tidak berpuas hati ke kawasan bandar mencari pasangan berkenaan dengan bantuan beberapa rakannya.

Katanya, mangsa terlihat pasangan berkenaan tidak jauh dari kawasan hotel lalu berlaku lagi pertengkaran tetapi dapat dileraikan orang ramai di situ.