Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Usaha Kehidupan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Apa khabar semua..diharap dalam keadaan sihat selalu :)..insyaAllah..maklumlah cuaca sekarang tidak menentu, sekejap cerah sekejap hujan..tetapi igt satu perkara..sihat atau sakit itu adalah nikmat Allah kepada kita, dan tanda sayangnya Dia kepada hambanya..terima dengan hati yang terbuka..Alhamdulillah kita masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan di dunia ini..dan akak juga masih diberikan peluang untuk terus menulis..he3..lama rasanya memdiamkan diri..hari ini terpanggil untuk berkongsi sesuatu dengan adik-adik semua..dalam duk membelek-belek internet waktu rehat pada hari Jumaat nie, akak terjumpa satu cerita yang pada akak cukup simbolik dan terpanggil untuk berkongsi dengan semua..cerita tentang keldai..let go...jom kita hayati cerita keldai nie ^________^.


Suatu hari keldai milik seorang petani jatuh ke dalam sumur. Sementara si petani, sang pemiliknya, memikirkan apa yang harus dilakukannya. Akhirnya, ia memutuskan bahawa haiwan itu sudah tua dan sumur juga perlu ditimbun karena berbahaya. Petani itu berfikir, jadi tidak bergunanya menolong si keldai ini. Ia mengajak tetangganya untuk membantunya. Mereka membawa skop dan mulai menyekop tanah ke dalam sumur. Ketika si keldai menyedari apa yang sedang terjadi, ia meronta-ronta. Tetapi kemudian, ia menjadi diam.







Setelah beberapa sekop tanah dituangkan ke dalam sumur, si petani melihat ke dalam sumur dan tercengang melihatnya.Walaupun punggungnya terus ditimpa oleh bersekop-sekop tanah dan kotoran, si keldai melakukan sesuatu yang menakjubkan. Ia menggoncang-goncangkan badannya agar tanah yang menimpa punggungnya turun ke bawah, lalu menaiki tanah itu. Si petani terus menuangkan tanah kotor ke atas punggung haiwan itu, namun si keldai juga terus mengoncangkan badannya dan kemudian melangkah naik. Si keldai akhirnya bisa meloncat dari sumur dan kemudian melarikan diri.


hurmm...apa sebenarnya simbolik di sebalik cerita keldai nie?..


Ibrah : Kehidupan terus saja menuangkan tanah dan kotoran kepada kita, segala macam tanah dan kotoran. Cara untuk keluar dari “sumur” (kesedihan dan masalah) adalah dengan menguncangkan segala tanah dan kotoran dari diri kita (pikiran dan hati kita) dan melangkah naik dari “sumur” dengan menggunakan hal-hal tersebut sebagai pijakan. Setiap masalah-masalah kita merupakan satu batu pijakan untuk melangkah. Kita dapat keluar dari “sumur” yang terdalam dengan terus berjuang, jangan pernah menyerah. Goncangkanlah hal-hal negatif yang menimpa dan melangkahlah naik. Wallahu alam”

Akhir kata dr akak; jaga diri baik-baik, jaga iman dan jangan nakal2.. peace (^_*)

salam sayang
KakSiti

17,303 Anak Luar Nikah di Daftar 2009

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my2010/03/21

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara. Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.
Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa. Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes). Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah). “Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran. “Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.
Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah. “Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN. “Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod. “Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Bayi Menggigil

IPOH: Menyedihkan apabila seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menggigil kesejukan ketika hujan lebat selepas ditinggalkan dekat kawasan pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh, di sini, petang kelmarin

KASIH...Omar mencium bayi yang ditemui dibuang dalam semak semalam


Bayi perempuan seberat 2.8 kilogram cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya masih bertali pusat ditinggalkan dalam semak di belakang sebuah pasar raya besar, di sini. Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bayi itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.
“Bayi ini dipercayai baru dilahirkan dan ketika dijumpai berada dalam keadaan pucat dan menggigil kesejukan kerana ditinggalkan dalam hujan lebat.
“Bayi ini juga ditemui dalam keadaan lemah akibat ditinggalkan dalam tempoh yang agak lama sehingga tidak mampu menangis,” katanya.
Katanya, bayi malang itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan untuk rawatan sebelum tindakan lanjut diambil. Bayi itu dilihat mengalami luka dan calar di muka dan kepalanya mungkin akibat dihurung semut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah HRPB, Dr Rahimi Goon berkata, bayi itu dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 8 malam. “Pemeriksaan mendapati bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan dan kini ditempatkan di wad,” katanya selepas melawat bayi berkenaan bersama Pengerusi Lembaga Pelawat HRPB, Datuk Omar Ahmad.
harian metro online:220310

Karnival Sukan & Anugerah Belia Bijak 2010

Alhamdulillah, pada 14hb Mac 2010 yang lalu, Kelab Belia JIM (KBJ) Johor telah mengadakan program Karnival Sukan & Anugerah Belia Bijak 2010 bersama Kelab Belia 4B (KB4B) Felda Taib Andak Kulaijaya. Program ini merupakan program susulan yang kedua kepada peserta Jom Jadi Bijak Felda Taib Andak. Program bermula jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengahari.




Antara aktiviti yang diadakan dalam program tersebut ialah perlawanan futsal & bola jaring antara pasukan dari KBJ Johor dengan pasukan KB4B Felda Taib Andak


Dalam perlawanan futsal KBJ Johor menghantar 2 pasukan sementara KB4B menghantar 3 pasukan. Pasukan FTA B berjaya menjadi juara & naib juara adalah pasukan FTA C.

Sementara dalam perlawanan bola jaring pula, 1 pasukan dari KBJ Johor dan 2 pasukan dari KB4B. Alhamdulillah pasukan KBJ Johor berjaya menjadi naib juara.

Selepas perlawanan futsal dan bola jaring, aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka. Kemudian peserta berehat sebentar sebelum meneruskan aktiviti seterusnya iaitu Anugerah Belia Bijak dan penyampaian hadiah.

Majlis Anugerah Belia Bijak & penyampaian hadiah diadakan di Balairaya.



Majlis penyampaian sijil dan hadiah ini telah dipengerusikan oleh Saudara Mohd Said (Setiausaha KBJ Johor) merangkap Pengarah Program Karnival Sukan & Anugerah Belia Bijak 2010. Majlis anugerah dimulakan dengan ucapan dari Penghulu Felda Taib Andak, Hj Hanafiah dan diikuti ucapan dari Pengerusi Kelab Belia 4B Kulaijaya, Cikgu Ismail . Dalam ucapan mereka, mereka sangat mengharapkan agar KBJ Johor atau JIM dapat mengadakan aktiviti dan program bersama belia Felda Taib Andak secara berterusan. Dan seterusnya ucapan dari Pengarah KBJ Johor, Hj Aminuddin. Dalam ucapannya itu, dimaklumkan jadual aktiviti susulan setiap bulan sepanjang tahun 2010 bersama Kelab Belia 4B Felda Taib Andak.





Kemuncak program ialah penyampaian sijil kepada peserta-peserta Jom Jadi Bijak yang telah diadakan di Tiram Indah Village , Ulu Tiram pada bulan Dis 2009 yang lalu . Majlis berakhir dengan acara penyampaian hadiah oleh Encik Hadzir, selaku Pengerusi Kelab Belia 4B Felda Taib Andak, kepada juara dan naib juara futsal, bola jaring serta kumpalan yang mendapat mata tertinggi dalam acara sukanneka.

Bagi pihak KBJ Johor, jazakallahu khairan kathira kepada semua warga JIM samaada negeri atau daerah yang telah banyak membantu atau turut serta bersama-sama dalam program ini. Semoga usaha yang dilakukan ini menambahkan lagi ruang untuk kita beramal kepada masyarakat dan mendapat keredhaan Allah SWT.

Salam kasih: Khalid Liman@ Pak Kay

Resolusi Pembuangan Bayi


KEMPEN Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) anjuran Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM) amat dialu-alukan ketika masyarakat digemparkan dengan insiden pembuangan bayi yang seolah-olah tiada kesudahan. Setelah lebih dua dekad isu pembuangan bayi yang disyaki dilakukan oleh remaja, kempen ABJZ JIM memang tepat pada waktunya.Mengapa?





Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah kalangan kumpulan remaja dan awal dewasa. Menurut JIM bilangan kelahiran bayi luar nikah dilakukan oleh pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) meningkat. Ini merupakan satu jumlah yang amat menggerunkan. Dalam memperkatakan ABJZ, JIM menggunakan terma zina. JIM menolak penggunaan terma seks bebas, seks rambang, hubungan luar nikah dan terlanjur. Penolakan kepada terma-terma yang menjurus kepada perspektif psikologi Barat itu adalah tindakan berani JIM.

Terma zina lebih berat kerana ia merangkumi isu moral, sahsiah, hukum hakam, dosa dan hukuman di dunia dan di akhirat. Malah, zina turut diiringi dengan konsep taubat yang dapat membersihkan diri daripada dosa selagi perbuatan itu tidak diulangi.

Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah.


Pasca pemodenan



Ada juga yang mengatakan gejala pembuangan bayi kesan akibat pembangunan pasca pemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Setakat ini, JIM dengan Rumah Perlindungan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah di Sungai Buluh, Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang termasuk Kem Modal Insan Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja) di Gombak dan Baitul Figh di Hulu Langat, Selangor begitu proaktif dalam mengurus remaja dan gadis-gadis malang yang trauma, ketakutan dan kebimbangan akibat keterlanjuran seksual.

Ketiga-tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu bertungkus- lumus mengurus dan membimbing remaja serta gadis malang yang mengandung luar nikah bagi meneruskan kehidupan semasa, sewaktu dan selepas melahirkan anak menerusi pendekatan Islam.

NGO itu ternyata menzahirkan keprihatinan mereka dalam bentuk tindakan. Isu pembuangan bayi di kemuncaknya apabila berlaku kes bayi yang dibuang kemudian di bakar di tempat pembuangan sampah. Adakah persatuan-persatuan profesional dan kementerian terbabit masih dilihat lambat menangani situasi itu? Atau mungkinkah disebabkan dana kementerian atau jabatan terbabit makin berkurangan akibat kegawatan ekonomi global yang menghindar mereka daripada terus bertindak proaktif?

Realitinya, persatuan-persatuan dan agensi-agensi terbabit tidak mempunyai rumah-rumah perlindungan. Mereka juga tidak mempunyai pusat bantuan dengan kakitangan-kakitangan yang boleh mengurus remaja dan gadis mengandung luar nikah dalam masa terdekat.

Dalam keadaan mendesak dapatkah ahli persatuan, graduan profesional dan kakitangan kementerian terbabit menguruskan kes-kes kehamilan luar nikah sehingga saat mereka melahirkan anak?

Dalam memperkatakan tentang tindakan membuang bayi itu, kita mungkin terlupa malah mengenepikan sama sekali salah satu punca utama bencana musibah kehamilan luar nikah itu. Tumpuan lebih kepada bayi malang yang mati dibuang dan dosa kesilapan yang dilakukan oleh gadis yang terlanjur.

Kita alpa kepada lelaki durjana yang bertanggungjawab di atas bencana keterlanjuran seksual itu. Mereka perlu diburu, dipertanggungjawabk an di atas apa yang telah dan sedang berlaku. Tidak adil dengan hanya menyalahkan gadis perempuan yang menanggung beban penderitaan keterlajuran seksual ini.
Lelaki itu wajar diheret ke muka pengadilan di atas perbuatan salah laku seksual mereka. Gadis-gadis malang itu ditinggalkan menanggung trauma mengandung luar nikah dengan sokongan sosial yang lebih banyak mencemuh, mencerca daripada membantu.

Memandangkan perbuatan zina kebanyakannya dituruti dengan pembuangan bayi dalam kalangan remaja sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT), peranan kaunselor amat penting. Di Amerika Syarikat (AS), di samping kaunselor, jawatan pekerja sosial diwujudkan di sekolah bagi meluaskan lagi peranan proses bantuan. Kepekaan, kesanggupan, kerelaan berkerjasama, memberi sumbangan dalam apa juga bentuk amat diperlukan tanpa mengharapkan pengiktirafan.

Persoalannya, sanggupkah kita?



RUJUK: http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Kes Rogol Kini Menjadi-jadi

LAPORAN kes rogol bergilir-gilir kelihatannya, semakin menjadi-jadi dan membimbangkan kebelakangan ini. Selaklah akhbar-akhbar, dengarlah berita di corong radio, atau tontonlah televisyen, pasti kita akan menemukan berita 'panas' dan menyedihkan seperti ini. Kelihatannya, maruah anak gadis hari ini sangat murah harganya, lantaran begitu mudah diratah-ratah oleh golongan lelaki bernafsu binatang.


Penulis rasa begitu tersentuh hati dan sedih membaca laporan Utusan Malaysia semalam bahawa seorang pelajar perempuan yang masih menuntut dalam tingkatan tiga mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh sekumpulan 15 lelaki di Felda Sungai Klah dekat Sungkai, kelmarin.
Nauzubillah! Penulis yakin bukan sahaja penulis, bahkan semua orang akan berdoa agar tidak berlaku perkara yang sama terhadap zuriat dan keluarga sendiri.


Jika diamati kronologi kebanyakan kes sebegini, terdapat banyak punca yang perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak. Antaranya faktor kepercayaan dan kebebasan tanpa batasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Kononnya generasi zaman sekarang tidak boleh dikongkong dan perlu diberi ruang memilih jalan hidup sendiri. Maka, anak-anak diberikan 'lampu hijau' untuk bercampur-gaul dengan golongan rakan yang disenangi mereka. Akibatnya, anak-anak ini tersalah memilih rakan-rakan.


Sikap ingin mencuba perkara negatif di kalangan anak remaja selalunya membawa padah. Mereka terdorong untuk mencuba sesuatu yang nampak menyeronokkan sambil bergaul bersama rakan-rakan tanpa memikirkan kesan buruk hasil sikap suka mencuba itu. Dalam kes rogol beramai-ramai ini, remaja lelaki kelihatan lebih 'berani' melakukan perkara negatif dan jenayah apabila berada dalam kumpulan rakan-rakan yang ramai.


Selain itu, wujud juga faktor 'kerelaan' anak gadis dalam perlakuan seks bebas dengan rakan-rakan. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Bermula dengan aksi ringan yang kemudian mengundang kepada aktiviti seks yang lebih menyeronokkan pada mata kepala mereka. Akhirnya, mereka tumpas menjadi 'lauk' mangsa rogol teman lelaki sendiri dan rakan-rakannya.


Pengaruh gaya hidup bersosial yang terlalu terbuka seperti yang dipaparkan di Internet dan media massa banyak mempengaruhi keperibadian dan pemikiran anak remaja kini. Berpeleseran, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan, gaya hidup mewah dan menunjuk-nunjuk, kesemua ini adalah paparan gaya hidup yang kononnya menepati trend kehidupan yang didahagai remaja masa kini.


Begitu juga sumber bahan lucah terlalu mengujakan buat anak remaja yang begitu mudah diperoleh di Internet atau di sesetengah kedai telekomunikasi. Semua ini berupaya menjadi perangsang nafsu dan mendorong mereka mencari teman dan mangsa untuk melampiaskan nafsu seksual yang membuak-buak hasil dorongan bahan lucah tersebut.


Usia remaja belasan tahun adalah peringkat remaja melalui transformasi fizikal, tahap kematangan fikiran dan bertingkah laku ke arah kedewasaan. Namun dalam masa yang sama, mentaliti dan gaya 'kanak-kanak' itu masih juga wujud dalam diri mereka. Dalam hal ini, mereka sentiasa bereksperimen dan berkonflik dengan diri sendiri untuk memilih dan menentukan jenis dan cara gaya hidup yang ingin dibentuk. Ada kalanya langkah mereka tepat, tetapi selalu juga ia tersasar daripada batasan yang digariskan oleh agama dan budaya.


Andai anak-anak ini pernah tersilap langkah, maka sebagai ibu bapa dan keluarga, sokongan moral yang padu perlulah diberikan supaya mereka tidak rasa tersisih dengan kesilapan yang dibuat. Jangan mudah menghukum mereka tanpa kompromi dan terburu-buru.


Sebagai ibu bapa, anak remaja sememangnya perlu diberikan kebebasan, tetapi toleransi yang diberi perlu mempunyai batasan yang jelas dan tegas berasaskan prinsip keagamaan, moral dan kebudayaan. Tidak salah untuk anak-anak bersahabat, tetapi kita sebagai ibu bapa berperanan besar dalam membimbing anak-anak untuk memilih sahabat mereka yang tepat.


Masyarakat sekeliling juga berperanan sebagai ejen pelengkap dalam mencegah berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Tegur dan cegah jika mampu andai kita terlihat perilaku anak remaja yang kelihatannya menyimpang. Atau sekiranya tidak mampu melakukannya sendiri, laporkanlah kepada pihak yang sewajarnya seperti polis.


Secara spesifik, langkah perawatan sewajarnya perlu bagi golongan remaja yang telah menjadi mangsa dalam kes rogol beramai-ramai ini. Remaja seperti ini wajar diberikan rawatan pemulihan, bimbingan kerohanian dan kaunseling supaya mereka dapat mengatasi trauma dan tekanan jangka panjang yang dilaluinya. Ia menunjukkan bahawa masih ada sokongan padu diberikan oleh keluarga dan institusi kemasyarakatan di sekeliling mereka walaupun mereka pernah tersilap langkah atau menjadi mangsa tanpa kerelaan.


Bagi mereka yang bersalah seperti perogol beramai-ramai yang tidak berperikemanusiaan ini perlu dihukum melalui saluran perundangan sebagai balasan setimpal atas sifat dan nafsu kebinatangan mereka. Seterusnya, menjadi pengajaran berguna kepada mereka dan pihak-pihak lain agar tidak sewenang-wenangnya melakukan kejahatan dan merosakkan kehidupan orang lain yang tidak berdosa.


Sebagai peringatan kepada perogol yang masih tidak sedarkan diri dan semua remaja, ingatlah setiap sesuatu yang kita lakukan pasti akan mendapat balasannya kelak. Andai baik amalan yang kita lakukan maka baiklah balasan yang akan kita terima, begitu juga sebaliknya. Itulah janji Allah SWT kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (surah al-Zalzalah, ayat 7-8).


KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM
ARKIB Utusan Malaysia : 04032010



Permulaan 2010 yang Mengerikan

Bismillahi Rahmani Rahim,

Assalamualaikum WRT WBT dan salam sejahtera semua.

Alhamdulillah, hari ini KakMyra diberi kesempatan untuk menulis dalam blog ni setelah lama menyepi. Hari ni KakMyra rasa terpanggil tuk menulis.

Akak terbaca satu article yang dikeluarkan oleh space.com tentang kesan gempa bumi di negara Chile baru-baru ini. Gempabumi sekuat 8.8 skala rektor itu sebenarnya, mengikut kajian saintifik, telah memendekkan tempoh hayat bumi kita ni.

Adik-adik dan para pembaca yang disayangi, sekarang ni, setiap hari kita dengar berita tentang gempa bumi yang mengorbankan beribu-ribu nyawa di merata tempat. Dalam minggu ni sahaja dah lebih 3, tak termasuk 'aftershock' gempa dan amaran tsunami.

Kita dengar cerita ttg gempa di Haiti pada bulan Januari dengan skala rektor 7.0 yang mengorbankan lebih dari 230,000 orang dan menyebabkan 1,000,000 orang tanpa tempat berlindung. Ini tak termasuk 52 kali aftershock gempa tersebut. Subahanallah.. begitu dahsyat sekali.

Kesan gempa bumi ini dirasai bukan sahaja di Haiti, malah di negara-negara sekeliling termasuklah Venezuela, Cuba, Jamaica, Puerto Rico dan Dominican Republic.

Bangunan yang ranap, jatuh bagaikan mainan sahaja. Jatuh menimpa mereka yang berlindung di dalam.

Allahu Akbar, begitu dahsyat azab Allah Taala, begitu hebat kuasa Allah.

Pada bulan Februari pula, kita dengar tentang gempa bumi di Chile sekuat 8.8 skala rektor. Di antara gempa paling kuat dalam sejarah sehinggakan amaran tsunami dikeluarkan pada 53 buah negara.

YaAllah. Para pembaca sekalian, kita dah makin dekat dengan qiamat.

Kalau akak listkan jumlah gempa bumi dalam tahun 2010 sahaja dah ada 6:
1. January 3 - Gempa bumi Solomon Island (skala rektor 7.1)
2. January 9 - Gempa bumi Eureka (skala rektor 6.5)
3. Janurary 12 hingga 24 - Gempa bumi Haiti (skala rektor 7.0)
4. Janurary 15 - Gempa bumi Venezuela (skala rektor 5.6)
5. February - Gempa bumi Chile (skala rektor 8.8)
6. March - Gempa bumi Taiwan (skala rektor (6.4)

Tahun 2010 ni baru mula adik-adik. Tapi dah 6 kali gempa bumi yang berlaku.

Kalau kita lihat, makin lama gempa ini makin dekat dengan kita. Jangan kita ingat bila negara kita ni berada di atas pentas sunda kita akan selamat.

Dengan keadaan masyarakat Islam kita kini yang majoritinya tidak malu melakukan maksiat, tidak takut melakukan dosa di khalayak ramai sehinggakan menjadi suatu kebiasaan, bangga dengan couple dan bercinta, bergaul terlalu bebas melebihi suami isteri. YaAllah adik-adik, kita sepatutnya takut dengan keadaan akhir zaman ini.


"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah) tetapi bila mereka melakukan kederhakaan di dalam negeri itu,maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman kami) kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu)" 
 [Al-Israa' : 16]

Kalau kita tak ambil peduli, kita buat tak endah, kita fikir bahawa kubur kita masing-masing, jangan terkejut bilamana Allah perintahkan bala ke atas negara kita. Bila Allah turunkan azab itu, Allah tidak memilih siapa yang kena, semua akan kena. Apa yang kita perlu fikirkan sekarang ialah adakah kita termasuk didalam orang-orang yang dilindungi Allah kerana mengerjakan Amar Ma'ruf Nahi Mungkar atau tidak.

"Dan tidak ada suatu negeri punc(yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami siksa (penduduknya) dengan siksa yang sangat keras. yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab Luh Mahfuz" 
(Al-Israa': 58)

Bangunlah wahai adik-adik lelaki dan perempuan. Bangkitlah wahai pemuda pemudi seperjuangan saya. Sampai bila kita nak butakan mata dengan kekuasaan Allah dan kebenaran yang sudah jelas terpampang di depan mata.

Semua pilihan ditangan kita sendiri.

Salam Sayang,
KakMyra

Pameran Sempena Maulidur Rasul

Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah, satu lagi aktiviti penglibatan KBJ di dalam masyarakat telah pun selesai dilaksanakan. Pada 27hb Feb, KBJ telah berganding bahu dengan Wanita JIM Daerah Johor Bahru di dalam karnival bersempena Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Taman Universiti.

Penjaga gerai KBJ/JJB

Lanjutan daripada penyertaan KBJ dlm Karnival Sukan Masjid Tmn U pada 20hb, KBJ telah mengambil peluang ini bagi meluaskan sayap dan mempamerkan kewujudan KBJ itu sendiri dalam masa yang sama, mengadakan pameran mengenai Kempen Jom Jadi Bijak.

Pameran dan gerai mula beroperasi seawal jam 8.30pg dengan pengagihan flyers KBJ, flyers JIM, WJIM,  komik Anda Bijak Jauhi Zina dan flyers Valentines Day yang lepas. Kami juga berkesempatan mempromosikan kempen JJB dan blog pada mereka yang bertanya ttg bagaimana untuk melibatkan diri bersama KBJ.

Pelapis dari Kelab Kanak-Kanak Islah yang hebat

Disamping mengagihkan flyers JIM, mereka yang bertugas juga telah membantu menjaga gerai WJIMJB yang menjual berbagai barangan berunsur Islami, termasuklah buku-buku dakwah, tafsir Quran, tudung, baju labuh dan sebagainya. Di sinilah kami boleh lihat betapa dahaganya masyarakat skrg akan pakaian yang berunsur menutup aurat, terutamanya baju sukan labuh.

Alhamdulillah, sebagai penghibur kami yang menjaga gerai, kami berkesempatan mendengar persembahan nasyid oleh dua kumpulan pelajar sekolah iaitu Najahan dan kumpulan gabungan SMK Tmn Universiti. Di antara solo kumpulan SMK Tmn Universiti merupakan peserta Kempen Jom Jadi Bijak beberapa minggu yang lepas.

Alhamdulillah ramai pelanggan dan pengunjung gerai terutama Alumni peserta JJB /KBJ dan juga fans FB dan pelawat blog. Terima kasih buat mereka yang terlibat,  Hari yang panas terik itu byk menguji kesabaran dan keimanan kami yang bertugas.

Tak lupa juga pada mereka yang membantu menjadi urusetia explorace dan sukaneka, termasuklah Safwan, Yunus, Afifah KB, Nabihah H, Izzah Norkhair, adik-adik usrah Insyirah dan yang lain-lain. Semoga pengorbanan kita ikhlas dah diterima Allah sebagai ibadah InsyaAllah.

Terima Kasih juga pada Pak K dan Paklong yang datang singgah sebentar ke tempat kami. Tak lupa juga pada mereka yang berdoa dari jauh.


Yang melaporkan,
KakMyra
KBJ/JJB
Johor