Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

01.06.2009: Geram berbadan dua

Berita Harian
Oleh Mohd jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KAJANG: Berang kerana ditinggalkan kekasih selepas dihamilkan, seorang wanita mengamuk dengan menikam dan membelasah bekas kekasih yang didakwa pernah menidurinya sehingga parah.

Difahamkan, wanita berusia 20-an itu yang hamil tiga bulan, mempamerkan kegagahan luar biasa, bukan setakat menggunakan pisau menikam bekas kekasihnya itu, malah turut bersenjatakan kayu dan besi yang biasa digunakan ketika menukar tayar lori untuk menyerang mangsa.

Sumber polis berkata, wanita itu sebelum ini berang selepas menyedari bekas kekasihnya itu muncul di rumahnya berhampiran Bandar Teknologi Kajang di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.

Menurutnya, wanita itu yang tidak dapat menahan dendam dan marah berikutan apa yang berlaku terhadap dirinya kemudian mencapai pisau di dapur sebelum menerkam bekas kekasihnya yang bekerja sebagai tukang kayu.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera di beberapa bahagian tubuhnya kerana ditikam dan dihiris dengan pisau.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu cuba menghubungi seorang rakan lelakinya bagi mendapatkan pertolongan,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang dihubungi bagaimanapun enggan membantu kerana beranggapan ia masalah peribadi yang perlu diselesaikan lelaki itu sendiri.

“Berikutan itu, mangsa terpaksa menggagahkan diri bergelut dengan bekas teman wanitanya bagi mengelak dia terus bertindak ganas.

“Selepas bergelut hampir 10 minit, mangsa akhirnya berjaya merampas pisau berkenaan sebelum melarikan diri ke arah lori miliknya yang diletakkan tidak jauh dari pekarangan rumah bekas teman wanitanya itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba menghidupkan enjin lori untuk menyelamatkan diri bagaimanapun terkejut apabila wanita itu meloncat dan memanjat belakang lori dipandu lelaki berkenaan.

“Wanita terbabit yang tidak putus asa mencapai batang besi yang digunakan untuk menukar tayar lori sebelum memukul mangsa.

“Mangsa yang terhoyong-hayang mempertahankan diri bagaimanapun dipukul berulang kali,” katanya.

Katanya, tidak puas hati dengan tindakan itu, wanita berkenaan mencapai sebatang kayu dan memukul mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya berjaya menolak wanita itu keluar dari lori sebelum memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

“Mungkin akibat keletihan ‘dikerjakan’ wanita berkenaan, mangsa tertidur dalam lori berhampiran Taman Jasmin di sini,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi terkejut apabila dimaklumkan rakan Perodua Kancil miliknya dirosakkan termasuk semua cermin tingkap dipecahkan.

“Berikutan itu, mangsa mengesyaki wanita itu yang masih tidak puas hati menghentam keretanya kerana gagal membunuhnya.

“Berikutan itu, lelaki berusia 30-an berkenaan yang bimbang terus diburu bekas teman wanitanya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini,” katanya.

Berdasarkan soal siasat, mangsa mendakwa bekas teman wanitanya seorang penipu dan materialistik serta didakwa pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata sebelum ini.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pengunjung Kini

Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah

Kini pelawat yang datang ke Blog rasmi ABJZ Johor telah mencapai 200.

Teruskan mengunjungi blog kami untuk perkembangan kempen, isu semasa dan tazkirah.

Jangan lupa khabarkan kepada kawan-kawan, saudara mara, guru-guru, ahli keluarga dan sahabat handai!

Terima Kasih kepada semua yang menyokong kempen kami. Semoga Allah memberkati usaha kalian.

Aurat Lelaki Sering Diremehkan

Aurat Lelaki Sering Diremehkan
Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya mengambil mudahmemakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.

Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?

Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.

Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.

Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.

Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?

Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.

Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.

Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.

Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.

Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas. Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.

Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?

Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.

Dalam hal ini, alangkah baiknya jika kita yang mulakan usaha menutup aurat ketika bersukan.

Training Para Fasilitator

Assalamualaikum WRT WBT

Alhamdulillah, kempen ABJZ telah pun masuk bulan yang ke-4 semenjak dilancarkan pada bulan Feb yang lalu.

Permintaan semakin meningkat dari pelbagai pihak utk kita mengadakan kempen, majlis penerangan dan program yg berkaitan. Ini membuktikan bahawa masyarakat semakin risau dan perihatin terhadap masalah sosial yg dihadapi oleh remaja masa kini.

Justeru itu, team ABJZ JIMJ menyahut cabaran ini utk membantu masyarakat dengan kemampuan yang ada.

Team ABJZ mempunyai 2 pakej utk ditawarkan, pakej 4 jam dan pakej 29 jam, dan bermula Jun ini kami telah menerima banyak permintaan terutamanya utk pakej 29 jam. Utk pakej 1 1/2 hari, team ABJZ memerlukan bantuan tenaga dari anak-anak muda utk membantu mengendalikan program ini sebagai fasilitator. Inilah merupakan salah satu medan utk mereka berada ditengah-tengah masyarakat dan berdakwah kepada mereka yg berkenaan dengan penuh hikmah.

Sehubungan dgn itu, kami sekretariat ABJZ Johor telah mengadakan satu sesi training pada 25 Mei 2009 bagi bakal-bakal pengendali dan fasilitator program ABJZ yang terdiri daripada sukarelawan pelajar-pelajar IPT.

Kami telah berkongsi pengalaman dalam pengendalian program seumapama ini, agar kita dapat memberikan yg terbaik dan seterusnya mereka dpt membantu kami semasa musim cuti semester ini dalam mengendalikan program kempen ABJZ ini.

Kehadiran semalam seramai 16 orang amatlah dihargai dan semuga usaha yang kerdil seumpamanya ini dan pengorbanan serta usaha kita diberkati Allah hendaknya. Jazakumullahu Khairan Kathira diatas kerjasama semua.

PakLong
Pengarah Team ABJZ JIM Johor

Gallery ABJZ SMK Batu Anam

Kempen ABJZ Johor telah diteruskan di SMK Batu Anam Segamat.

Tarikh: 23 Mei 2009
Bil Peserta: 200++ (Tingkatan 1-5)
Team ABJZ:
Paklong (Tn Hj Aminuddin)
Abg Acid
KakFida
KakMyra

Akan Datang

Menutup Aurat

Di antara kewajipan seorang Muslimah adalah menutup auratnya. Akan tetapi, ramai di antara kita yang tidak mengetahui bagaimana cara menutup aurat yang sebenarnya.

Mari kita lihat apa kesalahan-kesalahan yang banyak berlaku dalam usaha kita menjaga aurat kita. Kemungkinan selama ini kita tidak tahu bahawa ia salah. Mari sama-sama kita ambil iktibar. Sila click pada image untuk melihatnya dengan lebih jelas.


Gallery ABJZ Masjid BBU

Kempen ABJZ Johor telah diteruskan di Masjid Bandar Baru Uda yang melibatkan sekolah seperti Sek Men Teknik JB, Sek Men Teknik Azizah, Sek Men Teknik Perdagangan dan Sek Tun Fatimah. Peserta pada kempen kali ini terdiri daripada 140 orang.

Tarikh: 28 Mac 2009
Bil Peserta: 140 (Tingkatan 4 & 5)
Penceramah: Tn Hj Mokri

21.05.2009: Pasangan remaja khalwat dihukum penjara 7 hari

Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Hukuman tambahan 20 bulan jika gagal bayar denda RM3,000

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih remaja yang ditangkap sedang memadu kasih masing-masing dipenjara tujuh hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di sini, tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Radzi Abd Latif menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Ridhwan Tokiri, 19, seorang pembantu kedai dan pasangannya, Iffa Islah Ab Rashid, 21, pelajar kolej, jika mereka gagal membayar denda itu hukuman tambahan penjara 20 bulan dikenakan ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya bertaubat dan menginsafi perbuatan mereka yang bercanggah hukum syarak.

Pegawai Pendakwa Syarie, Abdul Halim Abdulah pula memohon kepada mahkamah supaya memenjarakan kedua-dua pasangan itu kerana melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada zina.

"Kedua-dua tertuduh masih muda tetapi nafsu mereka perlu dikawal apatah lagi perlakuan mereka itu mendorong kepada zina. Muda-mudi Islam kita punah disebabkan maksiat.

"Mereka seronok melayan naluri seks melampau sehingga sanggup melakukan adegan termasuk cium-mencium, peluk-memeluk serta raba-meraba.

"Kejadian ini (khalwat) dirancang mereka kerana sebagai warga kota, tiada alasan untuk berada dalam penginapan terbabit. Hotel mahupun tempat penginapan adalah tempat musafir bermalam ataupun persidangan bukannya tempat melakukan maksiat," katanya.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu supaya hukuman diringankan tetapi dibantah oleh Abdul Halim yang menyatakan mereka seharusnya dipenjarakan serta dikenakan hukuman setimpal.

Muhammad Ridhwan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, manakala Iffah Islah mengikut Seksyen 27(b) akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang melakukan operasi cegah maksiat di Bilik C8, Welf West International Youth Hotel, Jalan Merpati off Jalan Raja Laut di sini, kira-kira 1.15 pagi pada 25 Oktober 2008.

Muhammad Ridhwan yang berpakaian baju-T pendek dan seluar jeans manakala Iffah berbaju sejuk serta jeans berada dalam bilik gelap ketika serbuan dibuat.

20.05.2009: Ibu, Anak dan Pembantu Rumah di Bunuh Kejam

Utusan Malaysia
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


IPOH 20 Mei - Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang sanggup menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, di sini hari ini.

Penjenayah kejam itu bagaimanapun tidak sempat melarikan sebuah komputer riba yang diambilnya dari rumah mangsa kerana berjaya ditangkap oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian dan menyedari rompakan tersebut.

Mayat mangsa, Mah Yah Matzi, 42, ditemui berlumuran darah di ruang tamu manakala mayat anaknya, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai Dani, 20-an, ditemui dalam bilik mandi pada pukul 2.45 petang oleh suami Mah Yah, Jafri Tajol Aripin, 47.

Difahamkan, Mah Yah telah diekori oleh perompak terbabit selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Gunung Rapat dekat sini sehingga ke rumahnya.

Sebelum dibunuh, mangsa dikatakan sedang berbual melalui telefon dengan Jafri yang bekerja sebagai pegawai kutipan di sebuah bank di Medan Gopeng yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Suami mangsa kemudian bergegas pulang ke rumah apabila tiba-tiba mendengar isterinya menjerit ketakutan kerana terserempak dengan perompak tersebut.

Pada masa sama, dua rakan Jafri yang kebetulan melalui kawasan rumahnya dan menyedari kejadian itu segera menangkap suspek lalu mengikatnya dengan getah paip sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 2.45 petang pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan di rumah tersebut.

''Polis mulanya ingatkan berlaku kejadian pergaduhan di tempat kejadian tetapi apabila sampai, mendapati ia adalah kes rompakan dan pembunuhan.

''Siasatan menemui satu mayat di ruang tamu dan dua mayat di bilik air dalam rumah berkenaan,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan dalam pergelutan ketika ditangkap.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu merupakan penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek telah mengambil sebuah komputer riba tetapi tidak sempat melarikannya.

''Kita menemui sebuah beg hitam mengandungi komputer riba dari mangsa dan sebilah pisau serta motosikal milik suspek,'' katanya sambil memberitahu lelaki itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Gallery ABJZ SMK Permas Jaya 3

Alhamdulilllah selepas Pelancaran ABJZ di peringkat Daerah Batu Pahat pada 14 Februari 2009 dan peringkat Negeri Johor pada 28 Februari 2009, kempen ABJZ pertama telah bermula di Sek Men Kebangsaan Permas Jaya 3, Pasir Gudang. Pelancaran tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Tarikh: 27 Mac 2009
Bil Peserta: 132 (Tingkatan 1-5)
Penceramah: Pn Fauziah Sahar


15.05.2009: Bungkus Bayi Sampai Mati

[Harian Metro]
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
SUNGAI PETANI: Cukup kejam apabila seorang wanita berusia 27 tahun sanggup membungkus dan menyorokkan bayi yang dilahirkannya Isnin lalu di bawah katil selama beberapa hari sehingga bayi itu meninggal dunia dan mayatnya membusuk.

Lebih malang, kejadian itu berlaku sehari selepas seluruh dunia menyambut Hari Ibu pada 10 Mei lalu dengan tembelang wanita dari Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau dekat sini, itu hanya terbongkar selepas dia mengalami pendarahan dan kesakitan di perut yang kuat tengah hari kelmarin.

Difahamkan, ibu bapa wanita terbabit kemudian menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Sik (HS).

Sumber berkata, sebaik menjalani pemeriksaan di HS, doktor mendapati terdapat kesan gadis itu melahirkan anak tetapi cuba disangkal ibu bapanya yang tidak pernah mengetahui anak mereka mengandung sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, polis yang dimaklumkan HS mengenai kes itu kemudian menyoal wanita terbabit yang akhirnya mengaku melahirkan anak Isnin lalu.

“Pada mulanya, wanita terbabit yang malu dan ketakutan cuba merahsiakan di mana bayi itu dengan mendakwa sudah ditanam di belakang rumahnya. Namun, selepas didesak barulah dia memberitahu bayi dilahirkan itu disembunyikan di bawah katilnya.

Ekoran laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Selambau kemudian membuat pemeriksaan di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam (kelmarin) dan menemui satu bungkusan plastik hitam tersorok di bawah katilnya,” katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan kemudian mendapati bungkusan plastik itu mengandungi mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan sudah berbau dibalut dengan sehelai kain.

Menurutnya, mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini kira-kira jam 10 malam kelmarin untuk dibedah siasat.

“Wanita cacat sebelah matanya itu tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Kuala Sin dekat Bukit Selambau berjaya mengelak daripada ibu bapanya mengetahui yang dia mengandung. Malah, ketika melahirkan anaknya itu ibu bapanya tiada di rumah,” katanya.

“Jika tidak kerana mengalami sakit perut dan dimasukkan ke hospital, pasti keluarganya dan pihak berkuasa sendiri itu tidak mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Sementara itu, bapa dan abang gadis itu yang datang menuntut mayat bayi berkenaan di Jabatan Forensik HSAH pagi semalam enggan untuk ditemu bual mengenai kejadian itu.

Bapanya hanya mengaku begitu terkejut kerana tidak pernah mengetahui anaknya itu mengandung atau melahirkan bayi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan berkata polis sedang menyiasat kejadian itu.

Surah Ali-Imran ayat 110

'Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)'.

Isu Pembuangan Bayi

Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta anak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu.

Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini.

Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah.

Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis.

Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin.

Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga tahun lalu, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes). Tahun lalu sahaja, daripada 83 kes di seluruh negara, Selangor mencatatkan 24 kes, Johor (21 kes), Sarawak (12 kes), Sabah (11 kes), Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing tiga kes), Perak dan Melaka (dua kes) serta Kelantan dan Terengganu (satu kes).

Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Untuk janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang.

Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

Sumber 1 :- Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor : Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia : Seminar Kaunseling Keluarga 2008

Sumber 2: http://www.kpwkm.gov.my. Statistik.
----------------------------------------------------------------
Jika anda berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Anda Bijak Jauhi Zina sila hubungi :

Tn Hj Aminuddin Alias - 019 7309065
Email: aminjb1401@yahoo.com

Saudari Rafidah Mahat - 013 7097052
Email : rafidahmahat_jb@yahoo.com.my

Mukadimah/Pengenalan

Keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda pada hari ini akan memberikan kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Mereka merupakan aset utama negara pada masa akan datang dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara.

Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya generasi muda pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Akhlak merupakan peribadi dan cermin diri bagi seseorang individu.

Kiranya individu itu mempunyai akhlak yang buruk, maka secara automatiknya peribadi individu itu juga akan menjadi buruk. Generasi muda yang mempunyai akhlak yang buruk boleh memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Saban hari isu-isu gejala sosial hangat diperkatakan, secara tidak langsung, isu ini turut menggambarkan bahawa generasi muda kini semakin agresif, berani, dan liar. Masalah ini mempunyai hubung kait yang luas dengan masyarakat, keluarga, pengetahuan agama, tahap pendidikan, suasana rumah, pengaruh luar, media, hiburan, jati diri, perasaan ingin tahu, ingin mencuba dan pengaruh rakan-rakan.

Apabila masalah keruntuhan remaja dibincangkan soalan yang biasa ditanya ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku? Ibu bapa dan orang dewasa pula merasa kekok, tidak selesa ataupun tidak relevan dalam membincangkan secara terbuka mengenai aspek tanggungjawab kesihatan reproduksi dan seksual dengan anak remaja mereka sendiri. Kejahilan inilah yang menyebabkan golongan muda lebih banyak terjebak tanpa pendedahan awal mengenai seks.

Statistik-statistik dan fakta yang dinyatakan mempunyai kaitan yang jelas dengan larangan Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 32:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Intipati ayat Allah tersebut sangat menekankan aspek pencegahan dan pendidikan menjauhi zina.

Atas dasar itu, Jamaah Islah Malaysia Negeri Johor (JIM Johor ) berasa terpanggil untuk mendidik generasi remaja dan belia tentang pentingnya menjauhi zina melalui kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Selepas ini akan di tulis ABJZ.

Usaha kempen ini telah dimulai dengan Majlis Pelancaran pada 14 Julai 2007 yang telah mendapat perkenan Tuanku Permaisuri Agong D.Y.M.M Sultanah Nur Zahirah dan disusuli di peringkat Daerah Batu Pahat pada 14 Februari 2009 dan diikuti oleh peringkat Negeri Johor pada 28 Februari 2009 dengan kerjasama Jabatan Agama Johor dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor.
----------------------------------------------------------------
Jika anda berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Anda Bijak Jauhi Zina sila hubungi :

Tn Hj Aminuddin Alias - 019 7309065
Email: aminjb1401@yahoo.com

Saudari Rafidah Mahat - 013 7097052
Email : rafidahmahat_jb@yahoo.com.my

Takwim Kempen Anda Bijak Jauhi Zina