Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

3 Faktor Perosak Manusia

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian. Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka mengganggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang maha kuasa.

Menghindari lebih baik daripada mencegah. Kali ini kita bermuhasabah untuk menghindari faktor perosak.

Saidina Umar berkata: “Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati dan kekaguman pada diri sendiri.

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia di bangunkan, rasa cinta kepada harta, takhta dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.



Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan.

Pada masa itu pekak telinganya, buta matanya dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan. Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pen dengaran dan hatinya.”

Ini yang dibimbangkan terhadap sebilangan remaja kita, belajar di universiti, ilmu banyak, ijazah tinggi, jawatan serta gaji lumayan tetapi menjadi ‘pak turut’ kepada hawa nafsu jahat.

Kebanyakan mereka ditangkap kerana rasuah, pecah amanah, merogol, seks bebas, buang bayi dan pelbagai kesalahan jenayah.

Tidak dinafikan juga ada jenayah dilakukan mereka yang berpelajaran. Hakikatnya, jika kita ingin menjadi insan yang baik, bukan hanya perlu kepada ilmu dan segulung ijazah tetapi lebih penting ialah bungkusan azimat iman untuk mengekang kemahuan nafsu menggila.

Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk mengendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya.

Ada sesetengah remaja menghambur duit di tempat perjudian, untuk minuman keras dan melayan teman wanita yang luar biasa idaman kebendaannya. Malangnya derma anak yatim tidak dipandang, tabung masjid yang disediakan dibiarkan.

Kedekut bukan terbatas kepada duit saja tetapi merangkumi kedekut idea, pendapat, kedekut nota kuliah, resipi dan tenaga.

Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mendapat sokongan mem berangsangkan di kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa saja untuk menikmatinya.

Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosak diri, keluarga dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu di tani orang lain.

Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan kebolehan orang lain. Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menu orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelek.





sumber:HMetroOnline2008

PAKEJ CUTI SEKOLAH IKRAM JBT

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera buat adik-adik semua.

Kami daripada Jawatankuasa Pemuda Remaja Belia IKRAM Johor Bahru Tengah, dengan sukacitanya nak ajak adik-adik join kami time cuti sekolah ni.


6 minggu yang adik-adik ada dirumah, jom lah kita penuhkan dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. Bagi adik-adik yang tinggal atau bersekolah di kawasan Perbandaran Johor Bahru Tengah, bolehlah join Pakej Cuti Sekolah bersama IKRAM!

Di antara aktiviti menarik yang akan di adakan adalah:

1. Pertandingan Minda Kreatif & Idea Kreatif.
2. Kejohanan Futsal & Netball
3. ExploRace


Semua aktiviti ni akan diadakan sepanjang bulan 11 dan bulan 12 ini. Nanti sebarang informasi terkini, adik-adik boleh dapatkan di blog http://pakejcutisekolahikram.blogspot.com. Atau boleh telefon/sms kami 017-7667784 (Kak Siti), 019-7560980 (Kak Anie), 019-7833082 (Kak Mira), 013-7564068 (Abg Ahmad) untuk maklumat lanjunt.

Pastikan adik-adik dapat kebenaran mak ayah tau! Bayaran dia sikit je, RM15 je untuk tiga-tiga aktiviti.

Semoga adik-adik bersemangat untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang lebih bermanfaat cuti sekolah ni.

Ape lagi adik-adik, JOM!! Ajak kawan-kawan sekali! HADIAH MENARIK menanti para pemenang!

Love Always,
Kak Mira

JJB@SMK Desa Jaya

Assalamualaikum WRT WBT

14hb November 2010 - Alhamdulillah, Kempen Jom Jadi Bijak (JJB) Negeri Johor telah berkesempatan meluaskan tanah jajahannya di 8 tempat pada masa serentak dengan kerjasama PPD Pasir Gudang.

JJB telah menjejakkan kakinya di SMK Desa Jaya dengan memprogramkan pelajar lelaki dan perempuan seramai 125 orang yang terdiri daripada tingkatan 2 dan 3.

Secara kebetulan terdapat seorang pelajar yang bernama Zack dan beliau memakai baju berwarna oren. Hehe.. Minta maaf ye adik, kami tak berniat langsung.








Renungan Ramadhan 24



Renungan Ramadan 24

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ruang-lingkup sedekah seperti yang kita sebutkan malam tadi amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya.

Termasuk di dalam takrifan sedekah tersebut di dalam hadis yang dibaca semalam ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut." (surah al-Hujurat:9)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu
sebelum kita memastikan kesahihannya.

Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan.

Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer.

Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.

Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadan ini, marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

Renungan Ramadhan 23



Renungan Ramadan 23

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan Sedekah, seperti yang telah disebutkan dalam Siri ini (Renungan Ramadan 15). Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadan ada dinyatakan bahawa “Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahawa sedekah adalah untuk orangorang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain.

Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:

Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kami sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:
Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah.
(Hadis Riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah teruatma pada bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadan yang mulia ini.

Renungan Ramadhan 22



Renungan Ramadan 22

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadan.

Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia daripada api neraka. Peluang untuk bebas daripada api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan siksa api neraka yang disebutkan oleh Allah:
“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas daripada api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada pada bulan Ramadan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini, Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia kita di mukabumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian dalam bulanmulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda: Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tin ggal bersamanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu.

Mereka juga akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda: Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu terus menghubunginya setelah dia meninggal. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita pada bulan Ramadan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan
didiklah anakanak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita apabila amalan lain kita telah terputus. Semoga dengan itu, Allah memberi rahmah, keampunan dan seterusnya membeaskan kita dari azab api neraka.


Renungan Ramadhan 21



Renungan Ramadan 21

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Perang Badar begitu bererti bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya imuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran“ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah.

Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:
Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat:

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut".
(surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk bekorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.

Renungan Ramadhan 20



Renungan Ramadan 20

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan beberapa malam lepas, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw).

Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.

Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satusatunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta.

Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwanhaiwan kenderaan tersebut.

Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesomobongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”

Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)

Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.

Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan kepada mereka.

Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.

Renungan Ramadhan 19



Renungan Ramadan 19

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadan di Gua Hira’ merupakan titik tolak penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna yang mendalam.

Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur.

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah al-Isra’: ayat 106)

Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana ia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepad/daripada Allah melalui Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan.

Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.

Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamaddunnya yang gemilang.

Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membuat tekad dan azam untuk membaca al-Quran,Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang diberikan di dalam Renungan Ramadan 17, semoga Allah merahmati kita.

Renungan Ramadhan 18



Renungan Ramadan 18

Oleh Dr Omar Yaakob

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam pada bulan Ramadan, ketika Nabi (saw) sedang bermunajat di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang men gajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
(surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung,Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdilan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (care) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan.

Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani. Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw).

Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi.

Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.


Renungan Ramadan 17



Renungan Ramadan 17


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan; bahkan sepanjang hidup kita seharian.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.

Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa pra-syarat asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan kita hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.

Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ia adalah kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia fana ini.

Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, untuk menunjuk-nunjuk, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuk-nunjuk, maka sekadar itulah yang kita akan dapati.

Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan pengajaran yang terkandung d dalam ayatayatnya.

Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setaiap ilmu dan petunjuk yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya, maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu mengenai itu.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha memalingkan kita dari cuba mamahami dan mengahyati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca, memahami dan memperolehi hidayah darinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.

Renungan Ramadhan 16



Renungan Ramadan 16

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:
“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:
“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:
“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).”
(surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadan menjadi kian jelas. Dalam hadis yang telah di sebut di dalam semalam juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadan.

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita pada bulan Ramadan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan banyaknya ayat yang dibaca tetapi juga mutu bacaan kita. Kita perlu memnjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur. Allah berfirman:
“Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya”
(surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:
“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr:
“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejarkejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini.



Renungan Ramadhan 15



Renungan Ramadan 15

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Sifat pemurah merupakan salah satu daripada sifat-sifat orang beriman dan lebih-lebih lagi oleh kerana bulan Ramadan merupakan bulan kebajikan, maka sifat pemurah telah menjadi lebih terserlah. Rasulullah (saw) yang menjadi ikutan kita telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Kedermawanan beliau pada bulan Ramadan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (r.a.) bahawa:
“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedermawanan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Ta’ala Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar Allah Ta’ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah niscaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan.

Membantu orang-orang yang berpuasa dan berdzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka iamemperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang.

Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi (saw) beliau bersabda:
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya.“
(Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama merupakan sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadis Ali radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi(saw) bersabda:
“Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. “ Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badui seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,?jawab beliau: “Untuk siapa saja yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan shalat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. “ (Hadis Riwayat. At-Tirmidzi)

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan daripada api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi shalat malam.

Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (saw)bersabda:
“Puasa itu perisai dan benteng kokoh yang melindungi seseorang daripada api Neraka” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, dari Mu’adz(ra) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Kita maklum bahawa adalah sukar untuk menjaga puasa yang sempurna. Biasanya tentu terdapat kesilapan atau kekurangan. Maka sedekahlah yang bakal menampung kekurangan atau ketidak-sempurnaan ini.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan keikhlasan untuk beramal.

Renungan Ramadhan 14



Renungan Ramadan 14

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Negara haram Israel ditubuhkan melalui mandat PBB pada 1947. Pada tahun 1947 juga, sebuah tanahair Islam lain turut tergadai sehingga hari ini.

Jammu dan Kashmir adalah sebuah wilayah yang terletak di sempadan utara India dan Pakistan. Ia terkenal sebagai satu kawasan mempunyai kawasan mulajadi yang amat cantik dan menarik.

Semasa kemerdekaan India pada 1947, negara Pakistan ditubuhkan untuk rakyat benua kecil tersebut yang beragama Islam. Setiap wilayah yang mempunyai kerajaan sendiri ketika itu diberikan pilihan sama ada mahu bergabung dengan India atau Pakistan. Bagi wilayah yang majoriti penduduknya menganut seagama dengan pemimpinnya, itu tidak menjadi masalah.

Tetapi bagi Kashmir, lebih 70% penduduknya beragama Islam manakala pemimpinnya ketika itu ialah Maharajah yang beragama Hindu. Beliau telah memilih untuk bergabung dengan India manakala majoriti penduduknya mahu bersama Pakistan. Gabenor British di India telah meminta pemilihan muktamad diadakan berdasarkan satu pungutan suara. Majlis Keselamatan PBB dalam Resolusi no 47 (1948) telah bersetuju dan dengan jelas mengarahkan supaya antara lain:

“The Government of India should undertake that there will be established in Jammu and Kashmir a Plebiscite Administration to hold a plebiscite as soon as possible on the question of the accession of the State to India or Pakistan”

Maksudnya:

“Kerajaan India mesti menjamin penubuhan satu pentadbiran sementara di Jammu dan Kashmir yang akan menganjurkan pungutan suara bagi menentukan samada penduduk Jammu dan Kashmir mahu bergabung dengan India atau dengan Pakistan”

Masalah terbesar ialah, sehingga kini India enggan dan menafikan hak rakyat Kashmir untuk menentukan masa depan mereka. Sehingga kini, India tetap bertegas mengaku bahawa Kashmir adalah sebahagian dari negara India.

Sehingga kini pungutan suara yang diputuskan oleh PBB lebih 54 tahun yang lalu masih belum dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, India telah mengukuhkan cengkaman kuku-besinya ke atas Kashmir. Pelbagai cara telah dibuat oleh pihak berkuasa India untuk menghapuskan gerakan pembebasan Kashmir. Pejuang dan keluarga telah ditangkap, dipenjara, dibunuh dan dicabuli. Kini, lebih 500,000 askar India kini menduduki Kashmir menjadikan wilayah tersebut seperti negara polis.

Sehingga kini PBB meletakkan status Kashmir sebagai ‘wilayah yang dipertikaikan’; yakni PBB sendiri tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada India. Namun, polisi ‘double standard’ PBB jelas kelihatan kerana berbeza dengan Iraq contohnya, PBB tidak pula menguat-kuasakan resolusinya sendiri.

Demikian sepintas lalu berkenaan dengan sebuah wilayah umat Islam yang dijajah, sehinggakan umatnya menjadi pelarian di tanahair sendiri. Semoga kita lebih prihatin dengan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di tempat lain.

Marilah sama-sama kita mendo’akan Allah memberi jalan keluar terbaik bagi mereka.

MADRASAH RAMADAN bersama IKRAM

Assalamualaikum WRT WBT semua

Nak kumpul pahala lebih di bulan Ramadhan? JOM!

Firman Allah Taala:

"Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahwa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji." (Al-Baqarah : 268)

Mari bersama bersedekah dibulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Sumbanglah apa yang termampu. Dalam bentuk wang ringgit, dan bahan makanan (beras, gula, tepung, susu, etc). Segala bentuk sumbangan kami terima dengan hati terbuka.


Firman Allah lagi:
"Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 271)


Dapatkan maklumat anda dari poster di bawah! Sebarang pertanyaan, boleh diajukan kepada nama-nama di bawah.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhTuBdVjJVUWcc1dQ0fgIhlBgbK-tfyr-xfrVMXj8D4Lbir5iYNb7pz7u1LrJIecl7FJaIish_UxjKy7ZEL5yiS5Kv4_Tj5HbZTX-Wh6dEVEbHmlxXFbw-RwmlG7iw1JA-jW1ywGY23JSk/s1600/poster+copy.jpg

Mari berinfaq di jalan Allah! Ayuh semua!

Renungan Ramadhan 13



Renungan Ramadan 13

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka. Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.

Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as), kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah milik umat Islam.

Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan surat pendek oleh Lord Balfour pada 1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit Zionis telah ditubuhkan. Pada 1922, Yahudi merupakan 11 % daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah Palestin. Regim haram kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa menjadi pelarian.

Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949 atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun 1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita. Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri, berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.

Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh.

Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita menjayakan program boikot barangan Amerika.

Jika terdapat alternatif, maka tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; sama ada yang diimport terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbucks Coffee yang jelas memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain juga mempunyai saham dengan membayar cuka kepada kerajaan Amerika. Jika kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah ia pilihan terakhir; buy American last.

Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di Palestin.

Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat.
Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka!

Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu,
hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka!

Renungan Ramadhan 12



Renungan Ramadan 12

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu perpaduan umat seperti kita telah bincangkan dua malam lepas. Ramadan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai.

Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari.

Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan..

Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga."
(Hadis Riwayat Muslim dan Termizi)

Renungan Ramadhan 11



Renungan Ramadan 11


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita kini masuk ke malam ke 11 Ramadan. Ini bermakna, kita telah berada di fasa kedua Ramadan. Kita telah meninggalkan fasa “rahmat” manakala kita kini memasuki fasa “maghfirah”. Sepuluh hari yang berlalu, kita berharap rahmah, belas kasihan dari Allah. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.

Kita perlu menilai semula, review pencapaian kita. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika pada bulan Ramadan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:
“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumbalumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah (SWT).

Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah heran seheranherannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya , sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Dzat Yang Maha Pencipta, dan yang merugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan kesia-siaan.”

Setelah melalui sepertiga Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam sepuluh hari yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:
  1. Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan ramadan yang penuh berkat ini?
  2. Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita?
  3. Sudahkan kita memastikan anak-isteri-suami dan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadan ini?
  4. Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap hari? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi sepuluh juzuk.
  5. Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan?
  6. Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya ke hujung Ramadan?
  7. Sejauh manakah Ramadan kita tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lepas?
Kuatkan tekad untuk melipatganda amal dan beristighfar atas ketelanjuran kita.

Renungan Ramadhan 10



Renungan Ramadan 10

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.
(Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

Anas bin Malik berkata:

"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa."
(Hadis Riwayat Bukhari and Muslim)

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkaraperkara khilafiyah sebegini.

Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan)
(Surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain.

Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!