Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

CSI-Valentine's Day





Di Sebalik Tabir Valentines Day

Di Sebalik Tabir Valentines Day

Oleh: Ummu Nad (Sumilah Marto –Pengerusi Raudhatus Sakinah IKRAM Johor )



Tanggal 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu saban tahun oleh para remaja khususnya yang sedang dilamun cinta. Pada tanggal ini si jejaka akan sibuk mencari hadiah untuk si gadis bagi membuktikan rasa kasih dah sayang, manakala si gadis pula sibuk berhias untuk si jejaka. Sungguh indah dan bahagianya hari itu, bagaikan dunia dan segala isinya menjadi milik mereka.

Perayaan Valentine’s Day atau Hari Kekasih mula menjalar di kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan muda-mudi menjelang akhir tahun 1980-an seiring dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan dan juga filem-filem bertemakan perayaan tersebut.


Valentine’s Day diraikan melalui pelbagai acara yang tidak bermoral di mana pasangan muda mudi menghabiskan malam perayaan tersebut dengan bergaul bebas dan akhirnya terlibat dengan pesta seks. Tetapi adakah disedari, dari mana asal-usulnya sambutan Valentine’s Day ini?



SEJARAH VALENTINE’S DAY

Salah satu versi terkuat menyatakan asal usul sejarah Valentine’s Day bermula di sekitar tahun 270M, di zaman pemerintahan Maharaja Rom iaitu Maharaja Claudius II yang zalim. Rom ketika itu terlibat di dalam beberapa peperangan yang berdarah dalam usaha untuk meluaskan empayarnya.


Claudius menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tentera. Pada pandangan beliau sebab utama pemuda-pemuda Rom tidak berminat menjadi tentera ialah kerana mereka sukar meninggalkan kekasih dan keluarga mereka. Untuk mengatasi masalah ini, Claudius telah mengharamkan semua perkahwinan dan pertunangan di kalangan masyarakat Rom.

Saint Valentine merupakan salah seorang paderi Rom ketika itu. Beliau bersama seorang paderi lain bernama Saint Marius secara rahsia telah membantu mengahwinkan pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Akibatnya beliau telah tangkap, dipenjara, dan dijatuhkan hukuman bunuh pada tanggal 14 Februari tahun 270 M. Beliau dianggap ‘syahid’ oleh para penganut Kristian ketika itu.

Sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, ramai golongan muda menziarahi Saint Valentine semasa beliau di dalam penjara sebagai tanda sokongan dan simpati. Salah seorang yang kerap mengunjungi beliau ialah anak gadis kepada seorang pengawal penjara yang akhirnya membibitkan perasaan kasih sayang di antara mereka.

Pada hari Saint Valentine dijatuhkan hukuman bunuh, beliau telah meninggalkan sekeping nota kepada gadis tersebut dengan menulis ucapan terima kasih dan diakhiri dengan perkataan “Love from your Valentine”. Menurut sejarah, nota inilah yang memulakan budaya Valentine’s Day.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Valentines_Day

ISLAM DAN VALENTINES DAY

Rakaman sejarah di atas membuktikan bahawa perayaan Valentine’s day langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. Rasulullah SAW melarang umat Islam meniru budaya orang bukan Islam kerana dibimbangi akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.

Sabda baginda bermaksud:
”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (Riwayat Abu Dawud).

Mengenai hukum menyambut Hari Valentine, seorang ulamak Arab Sheikh al-‘Utsaimin berkata:

“Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.


Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:

“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.


Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih serta menghindari perilaku yang menjurus ke arah meraikannya. Perilaku berikut wajar dielakkan:


1. Keluar berpoya-poya bersama kekasih dan menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2. Menghantar kad-kad ucapan Valentine Day di mana pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.


3. Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4. Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Sesungguhnya perbuatan di atas juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya akan menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina.

Firman-Nya: “ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” (Surah Al-Isra’ ;32)

Kasih Sayang Dalam Islam

Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari. Tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy dan salah satunya ialah golongan mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.'(al-Mukmin: 39).

Islam juga menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak iaitu melalui perkahwinan, bukan melalui cara yang dilarang dan berbentuk kemaksiatan


KESIMPULAN


Berdasarkan penerangan yang diberikan, adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine's Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah merupakan hari perayaan bagi orang-orang Kristian


Perlu kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar).” (al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi pula disarankan agar lebih proaktif untuk memastikan tiada acara sambutan hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Sebagai alternatif atau serangan balas kepada pihak yang mengadakan pesta besar-besaran pada hari tersebut, program-program berikut mungkin boleh dijalankan:

1. Mengadakan forum-forum bertemakan “Kekasih Awal dan Akhir” di mana isi perbincangan berkisar kepada menghidupkan kecintaan kepada Yang Maha Esa dan agamaNya.

2. Menyuburkan budaya ziarah menziarahi kedua ibu bapa atau ahli keluarga yang lain bagi menyuburkan kasih sayang yang semakin pudar disebabkan kesibukan tugas masing-masing.

3. Mengadakan sambutan hari keluarga samada di peringkat individu,organisasi atau kawasan.

Dengan adanya program alternatif yang dirancang seperti ini, diharap umat Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya ‘Hari Kekasih' yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya menggunakan masa dan waktu dengan melakukan perkara yang mendatangkan manfaat di mana matlamat akhirnya adalah menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.

Kempen " CSI Valentine Day"



Assalammualaikum wbr semua.

Tanggal 14 Februari 2011, maka genaplah dua tahun usia Kempen Jom Jadi Bijak yang sebelum ini dikenali dengan nama Kempen Anda Bijak Jauhi Zina, bermula dengan pelancaran Kempen ABJZ pada 14 Feb 2009 di Batu Pahat . 14hb Februari adalah tarikh yang kami pilih untuk majlis perasmian kempen ini di Negeri Johor pada 2009, adalah kerana bagi memberi peluang untuk kita semua ‘refresh’ balik tujuan dan matlamat utama Kempen Jom Jadi Bijak ini dilaksanakan. Terima kasih kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan kempen ini selama ini. Muga Allah memberikan kita keikhlasan dalam menjayakan kempen ini,. Alhamdulillah lebih 80 program yang berkaitan telah dapat dilaksanakan dapat tempoh tersebut dengan hampir 12,000 orang peserta yang kebanyakkan para remaja dan belia telah dapat diteladani

InsyaAllah, muga Allah berkati usaha yang hanya sekelumitnya ini

Sekuntum BUNGA, sekeping kad dan sebungkus coklat. Sesiapa sahaja dengan mudah terbayangkan ritual-ritual ini dengan Hari Valentine. Masyarakat kita dewasa ini terutamanya golongan muda bersama dengan masyarakat seluruh dunia meraikan Mari Memperingati Kekasih atau nama universalnya ’Valentines Day’. Mereka berseronok dengan sambutan tersebut.

Ada apa dengan Valentine? Tanpa mengetahui sejarah asal, dengan sikap ’good follower’ begitu mudah dan bangga sama-sama meraikan Hari Valentine ini.

JK Pemuda Remaja Belia IKRAM Johor melancarkan Kempen ‘CSI VALENTINES DAY’. JOM JADI BIJAK sama-sama kita kenal ’DI SEBALIK TABIR VALENTINES DAY’ yang sangat menyimpang dengan prinsip Islam di mana perayaan anjuran Islam sebenarnya berupaya meniup ruh yang akan mendekatkan kita kepada Allah dan meneguhkan saf barisan umat Islam dalam era arus moden ini. Perayaan Islam tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas kerana penghayatannya menyeluruh dan bertepatan dengan fitrah manusia yang snetiasa inginkan ketenangan, keselamatan dan kasih sayang. Ayuh ! Aktivis Remaja Belia IKRAM dan semua PEMUDA, mari sama-sama kita meyebarluaskan kempen ini.

.

Semoga artikel dan tazkirah DI SEBALIK TABIR ‘VALENTINES DAY’ dapat membantu kita semua mengenal apa sebenarnya sambutan Valentines Day itu dan seterusnya berfikir serta mengambil langkah bijak pada 14 Februari, terutama dalam usaha kita mengingatkan anak-anak muda ini.

InsyaAllah artikel yang berkaitan akan dibawa turun sebentar lagi selepas ini didalam FB JJB dan ikram-youth-johor dan serta dalam beberapa mailing list yang berkaitan

Kami berharap agar 14 Februari kali ini (dan tahun-tahun seterusnya) bukanlah di gunakan untuk menyambut Valentines Day, tetapi adalah bagi mengingatkan diri untuk menjadi seorang yang BIJAK, serta mengajak org lain dikeliling kita untuk sama-sama BIJAK.

Muga Allah Rahmati kita semua.

PakLong

Pengerusi

JKPRB IKRAM Neg Johor

Tinggal bayi bawah pokok

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia enam hari ditemui masih bernyawa dalam sebuah beg galas berwarna hitam ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa di sini, semalam.

Difahamkan, bayi malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan lebih sejam sebelum ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bayi lelaki terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan hampir lemas kerana ditinggalkan dalam beg galas yang tertutup, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata ketika kejadian, dia dan rakannya, Nizul Ahmad, 21, baru pulang dari tempat kerja apabila ternampak sebuah beg galas ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sekolah berkenaan.


“Curiga dengan keadaan beg itu, saya kemudian meminta Nizul melakukan pemeriksaan. Sebaik membuka beg galas itu, kami mendapati kandungannya adalah tuala putih sebelum segera meletakkannya semula.


“Sebaik meletakkan beg itu, kami terdengar suara bayi menangis membuatkan kami terkejut dan berpandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.


DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.


Katanya, dia dan Nizul kemudian membuka semula beg galas itu sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki bayi cukup sifat berada dalam beg berkenaan.

“Keadaan bayi itu agak lemah menyebabkan kami segera menahan beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal.

“Kami bernasib baik apabila sebuah kenderaan polis kebetulan melalui kawasan itu.

“Sebaik menahan kenderaan itu, kami segera memaklumkan penemuan berkenaan dan anggota polis terbabit segera menghubungi pihak berkaitan,” katanya.

Sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum bayi lelaki itu dihantar ke HKL untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya berbangga dengan keberanian dan keprihatinan kedua-dua saksi kejadian yang bertindak pantas memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Tindakan mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa. Saya berharap tindakan mereka akan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Oleh itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Shamsul Munir Safini

myMetro (05 Januari 2011)