Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Antara Dua Darjat

Sudah tiga hari berturut-turut kita dikejutkan dengan berita pembuangan dan penemuan mayat bayi. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah. Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini. Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.

Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju.


Ketiga-tiga peristiwa tersebut hanyalah secebis dari ratusan peristiwa yang tidak mungkin terakam oleh media. Mengapakah manusia sekejam itu? Membiarkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan nafsu durjana angkara hasutan iblis dan syaitan.

Mayat bayi yang tidak berdosa...Dimana letaknya akal dan budi??

Di penjuru kehidupan yang lain, saya memerhatikan dan kagum dengan sifat penyayang sang ‘pendatang, si hitam yang baru saja melahirkan empat ekor anak lima hari yang lalu. 

Walaupun telah kematian ‘suami’, si hitam menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih dan sayang. Tidak pernah sedetik pun ia meninggalkan anak-anaknya kecuali untuk ‘keperluan’. Pernah suatu pagi, ketika saya melangkah kaki untuk ke tempat kerja, seekor kucing jantan cuba menghampiri kotak tempat tinggal anak-anak sihitam. Ketika itu si hitam sedang berada di tepi sungai tidak jauh dari rumah. 

Melihat kelibat si jantan yang merupakan ancaman kepada anak-anaknya , sepantas kilat si hitam menyerang si jantan lantas terus melindungi anak-anaknya. 

Naluri keibuan saya begitu terusik dengan sifat keibuan si hitam. Melihat ia membesarkan anak-anak di depan mata, membuat saya terfikir dimanakah darjat manusia yang sanggup membuang anak sendiri??

Si Hitam sentiasa melindungi anak-anaknya dari sebarang gangguan.

Apakah perbezaan darjat antara manusia dan binatang jika itulah yang sanggup dilakukan, sedangkan manusia dikurniakan akal untuk dapat membezakan yang hak dan bathil.

Namun jika akal tidak digunakan untuk membentuk akhlak yg mulia, maka dibimbangi manusia akan tergolong kedalam golongan yg diibaratkan lebih hina daripada haiwan, sebagaimana firman Allah yg bermaksud:

“Dan sesengguhnya Kami(Allah) akan isikan neraka Jahanam itu sebahagian drpd golongan jin dan manusia, mereka itu mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami akan ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak mehu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyi telinga, tetapi tidak mahu mendengar (ayat-ayat dan nasihat Allah). Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah org2 yg lalai.” (Surah al-A’raf : 179)

Akal dijadikan sebagai alat untuk mencapai dan menuju kesempurnaan sebagai manusia yang mulia disisi Allah SWT. Manusia yang menggunakan akal untuk kesejahteraan diri dan masyarakatnya, akan sentiasa mencari dan menggunakan ilmu ke arah kebaikan.

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian. Tetapi kemudiannya Kami kembalikan mereka ke taraf yg serendah-rendahnya. Kecuali mereka yg beriman dan beramal soleh. Bagi mereka pahala yg tidak putus-putus.” (Surah At-Tin : 4-6)



Layu di Tasik Titiwangsa

Oleh Amirul Haswendy
Ashariam@hmetro.com.my
2010/02/23



KUALA LUMPUR: Gelagat segelintir remaja berpelukan dan memadu kasih di Taman Tasik Titiwangsa di sini merimaskan pengunjung berkeluarga yang datang beriadah.Perbuatan kurang sopan pasangan muda-mudi itu termasuk pada waktu siang dapat dilihat hampir setiap petang terutama pada hujung minggu dan sewaktu cuti persekolahan.



TAK MALU...sepasang kekasih ‘bermesra’ di tengah panas terik mentari di Taman Tasik Titiwangsa.
Seorang pengunjung berkata, kebanyakan pasangan remaja datang ke situ dengan tujuan untuk memadu kasih.
“Mata kami ‘berbulu’ apabila melihat mereka tanpa segan silu berpelukan di hadapan pengunjung. “Ada antara mereka dengan selamba bercumbuan seolah-olah bukan berada di negara sendiri yang ada adat, budaya dan pegangan agama,” katanya.
Beliau yang sering berkunjung ke taman tasik itu untuk beriadah pernah menegur beberapa pasangan yang berkelakuan sumbang berikutan tidak tahan dengan sikap mereka.
Bagaimanapun, katanya, teguran itu tidak diendahkan sebaliknya dia pula dimarahi kerana dituduh menjaga tepi kain orang lain.
Menurutnya, papan tanda larangan berkelakuan sumbang juga ibarat hiasan taman berikutan tidak dipedulikan muda-mudi berkenaan.
“Mula-mula berpeluk di taman, lepas itu tunggulah kelak ada pula kisah bayi tak bersalah dibuang,” katanya.
Beliau berharap pihak bertanggungjawab terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dapat menjalankan pemantauan lebih kerap bagi mengekang aktiviti tidak bermoral itu daripada terus menjadi parah.
Tinjauan Metroplus mendapati hampir setiap sudut taman tasik yang tidak pernah lekang dengan pengunjung itu ‘dihiasi’ pasangan muda-mudi yang ‘mabuk’ cinta.

Dakwaan pengunjung juga berasas berikutan memang terdapat segelintir daripada mereka yang sedang asyik berpelukan, langsung tidak menghiraukan pandangan sinis pengunjung yang melihat gelagat mereka. Lebih merosakkan pandangan, kehadiran Mat dan Minah Rempit yang menjadikan kawasan tasik sebagai ‘port’ lepak sambil bersosial turut mendapat pandangan kurang senang pengunjung.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan DBKL, Muhamad Irwan Abdullah, ketika dihubungi, berkata pihaknya hanya mampu menasihati pasangan muda-mudi terbabit daripada terus berkelakuan sumbang.
“Ini berikutan pihak jabatan tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka.
“Bagaimanapun, mereka boleh dikompaun RM300 jika melanggar peraturan yang ditetapkan di taman,” katanya. Menurutnya, DBKL sentiasa melakukan rondaan berkala bagi memantau aktiviti kurang sihat yang berlaku di taman rekreasi di bawah pengurusan mereka.

Mayat bayi dibakar dalam tong

Oleh Norliza Wasilan dan Fakri Awang Lah
bminggu@bharian.com


Polis forensik Kota Bharu memeriksa anggota bayi lelaki yang dijumpai terbakar dalam tong sampah Majlis Daerah Kuala Krai di Jalan Zainal Abidin, bandar Kuala Krai, semalam.


KUALA KRAI: Tidak berperikemanusiaan! Inilah selayaknya menggambarkan perbuatan kejam berikutan penemuan mayat seorang bayi lelaki lengkap dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan, yang hampir rentung dalam sebuah tong sampah Majlis Daerah Kuala Krai (MDK), di belakang sebuah bank, di Jalan Tengku Zainal Abidin, semalam. Lebih menyayat hati, biarpun bayi berkenaan cukup sifat, namun keadaan mayatnya cukup mengerikan apabila bahagian anggota badan dan kakinya ditemui dalam keadaan terpisah dalam tong sampah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Che Ghani, berkata pihaknya menerima laporan pekerja MDKK pada jam 11.25 pagi semalam yang menemui mayat seorang bayi berada di dalam tong sampah berkenaan ketika melakukan rutin hariannya di kawasan berkenaan. Katanya, berdasarkan siasatan, dipercayai mayat bayi itu dibuang selepas 24 jam dilahirkan dan dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti. "Pekerja terbabit segera memaklumkan kepada anggota polis yang membuat rondaan bermotosikal apabila ternampak mayat bayi terbakar. Bayi itu dipercayai berusia satu hari berdasarkan uri dan tali pusat masih ada pada badan bayi itu.



"Bayi itu hangus daripada pinggang ke bawah dan berdasarkan maklumat diterima, pihak kami percaya tong berkenaan dibakar sejak pagi semalam (kelmarin) bertujuan menghapuskan bukti," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, di sini, semalam. Pada Rabu lalu, kes buang bayi dilaporkan di Kampung Permatang Duyong, Melaka manakala sehari sebelum itu, satu kes turut berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Satu lagi kes dilaporkan berlaku di Kedah, Isnin lalu. Abdul Rahim berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya, sama ada dibunuh sebelum ataupun selepas kejadian.

Sementara itu, pekerja kontrak MDKK, Abdul Rahman Husin, 29, yang mendakwa melihat mayat bayi berkenaan di dalam tong sampah ketika melakukan rutin harian memungut sampah berkata, dia bersama dua rakan sekerjanya terkejut sebaik melihat mayat bayi berkenaan bersama longgokan sampah yang dibakar di dalam tong MDKK. Menceritakan pengalamannya, beliau berkata ketika mahu mengiringkan tong sampah berkenaan dan seakan tidak percaya bahawa objek yang bergolek di dalamnya adalah seorang bayi cukup sifat. Ketika ditemui jam 11 pagi, ia hanya melecur pada bahagian kaki dan bara api masih ada.
Berita Harian : 13 Februari 2010

Komik CSI Valentines Day

Bismillahi Rahmani Rahim,

Sempena seminggu kempen CSI Valentines Day ini, kami team JOM JADI BIJAK (JJB) Negeri Johor akan berkongsi satu komik yang dihasilkan oleh dua orang sukarelawan cartoonist yang membantu dalam kempen ini.

Kami berharap adik-adik akan ambil iktibar dengan komik ini dan seterusnya menyebarkannya pada org disekeliling kita.

Esok adalah hari yang di katakan Hari Kekasih. Namun begitu, kita sebagai org Islam perlulah memperingatkan rakan-rakan dan kawan-kawan yang lain supaya tidak terjerat dalam sambutan yang bukanlah sambutan org Islam ini.

Mari kita sama-sama menjadi orang BIJAK dan kekal BIJAK hingga ke Syurga. Dlm masa yang sama, jangan lupa ajak org lain jadi BIJAK.

Kesimpulan Kempen CSI Valentines Day

Berdasarkan penerangan yang diberikan selama seminggu ini, adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine's Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah merupakan hari perayaan bagi orang-orang Kristian

Perlu kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar).” (al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi pula disarankan agar lebih proaktif untuk memastikan tiada acara sambutan hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Sebagai alternatif atau serangan balas kepada pihak yang mengadakan pesta besar-besaran pada hari tersebut, program-program berikut mungkin boleh dijalankan:

1. Mengadakan forum-forum bertemakan “Kekasih Awal dan Akhir” di mana isi perbincangan berkisar kepada menghidupkan kecintaan kepada Yang Maha Esa dan agamaNya.

2. Menyuburkan budaya ziarah menziarahi kedua ibu bapa atau ahli keluarga yang lain bagi menyuburkan kasih sayang yang semakin pudar disebabkan kesibukan tugas masing-masing.

3. Mengadakan sambutan hari keluarga samada di peringkat individu,organisasi atau kawasan.

Dengan adanya program alternatif yang dirancang seperti ini, diharap umat Islam khasnya golongan remaja tidak terikut-ikut dengan budaya ‘Hari Kekasih' yang dicipta oleh orang-orang Kristian, sebaliknya menggunakan masa dan waktu dengan melakukan pekara yang mendatangkan manfaat di mana matlamat akhirnya adalah menghidupkan cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.

Kasih Sayang dalam Islam

Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari.
Tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy dan salah satunya ialah golongan mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.


Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' (al-Mukmin: 39).


Islam juga menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak iaitu melalui perkahwinan, bukan melalui cara yang dilarang dan berbentuk kemaksiatan.

Program Sehari Bersama WJIM Muar (JJB dan Forum)

Salam,

Wanita Jim Muar telah menjayakan program sulungnya 'Sehari bersama Wanita JIM' yang mengandungi komponen JJB dan Forum Wanita di Era Globalisasi, Ayu, Berilmu dan 'Super' Iman khusus untuk para pelatih di Kolej Kejururawatan Hospital Pakar Sultanah Fatimah , Muar pada Sabtu 6/2/10 baru baru ini. Program bermula seawal 8 pagi dan dimulakan dengan ucapan aluan dari Ketua Wanita JIM Muar, Puan Sazira Abd Aziz dan dirasmikan oleh Wakil Pengarah Kolej Kejururawatan. Peserta yang terdiri dari seramai 120 orang jururawat pelatih tahun akhir dan tahun pertama telah dipilih oleh pihak Kolej. Program JJB (ABJZ) dikendalikan oleh Dr Noorjihan dan Dr Norlaili dari jam 9 pagi hingga 1.15 tengahari, dibantu oleh warga WJIM dan JIM Muar dan juga oleh para pelatih jururawat sendiri (terutamanya bab Chickie Dance..misi- misi cukup hebat)

Peserta khusyuk mendengar...
Dapat disimpulkan , sambutan dan kefahaman oleh para pelatih ini amat baik, dilihat dari penyertaan mereka dalam semua aktiviti. Selepas rehat tengahari, kami mengadakan Forum bersama para pelatih Jururawat dengan menjemput Timbalan Ketua Wanita JIM Melaka Dr Maimunah dan Ustaz Nahrawi dari Segamat , manakala moderatornya Dr Abd Halim Shibghatullah. Tema yang dipilih bersangkut paut juga dengan program JJB yang telah dijalankan pada paginya. Forum ini dilihat begitu memberangsangkan apa lagi dengan persembahan PP dan multimedia yang disediakan oleh Dr Maimunah yang mengupas tajuk forum dengan begitu mendalam dan menarik. Tidak kurang juga kupasan tajuk oleh Ustaz Nahrawi yang meninjau tajuk forum dari aspek berbeza seorang lelaki. Perkongsian ilmu ini dilihat sebagai pembuka mata dan menganjak paradigma semua peserta ke satu pengalaman ilmu yang baru, malah mereka masih bertahan sehingga ke jam 4.15 petang berforum. Sebagai selingan dalam majlis, persembahan nasyid diadakan oleh kumpulan RKS Puteri yang mendendangkan lagu Puteriku Sayang dan Segenggam Tabah.

Forum...

Program disusuli oleh majlis membaca ikrar ABJZ dan penyerahan banting ABJZ kepada pihak kolej dan diikuti oleh sesi bergambar bersama WJIM dan Pelatih Jururawat. Majlis berakhir jam 5.30 petang. Semasa bersalam-salaman dengan adik adik jururawat , ramai yang menunjukkan reaksi positif dari program ini, dan ada yang berharap akan dapat bersama lagi dalam program-program JIM yang lain..Insya Allah, moga bertemu lagi....


Penyerahan banting...
Sedikit perkongsian pengalaman dari;
NoorjihanMuar

Apakah Dosa Bayi Ini?

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
pengarang@utusan.com.my


MELAKA 10 Feb. – Mungkin kehadirannya ke dunia ini tidak diingini. Namun perlukah bayi yang tidak berdosa ini diperlakukan sedemikian rupa? Tidak dapat dibayangkan ada orang yang tergamak meninggalkan bayi yang masih bertali pusat di atas lantai di tepi pintu pagar sebuah masjid di sini. Tidak diketahui sama ada ada bayi itu masih bernyawa ketika ditinggalkan di situ. Apa yang pasti, badannya dihurungi semut sewaktu ditemui. Dan bayi itu tidak lagi bernyawa. Tidak ada manusia waras tergamak memperlakukan sedemikian. Namun itulah yang berlaku terhadap bayi perempuan ini.Siri kekejaman terhadap bayi yang kelahirannya tidak dikehendaki nampaknya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tiada penamatnya. Sudah tiga hari berturut-turut kes yang hampir sama berlaku. Kelmarin, mayat bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan semalam, seorang bayi ditinggalkan di hadapan rumah seorang pegawai polis di Kedah. Penemuan terbaru awal pagi ini, cukup mengejutkan seluruh penduduk Kampung Permatang Duyong di sini. Ketika ditemui, bayi yang cukup sifat itu hanya dibalut dengan sehelai kain putih.Bilal masjid yang datang menunaikan solat Subuh merupakan orang pertama menjumpai mayat bayi itu yang pada mulanya disangka gumpalan baju. Mohamad Abu, 60, berkata, dia ternampak gumpalan kain putih di atas lantai berhampiran pintu pagar kira-kira pukul 5.30 pagi.

“Saya tidak berapa perasan kerana keadaan ketika itu gelap. Saya ingat ia hanya baju putih yang mungkin dibawa angin dan terjatuh di situ.

“Ketika itu, saya tidak mempedulikan kain putih tersebut kerana hendak menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Permatang Duyong, hari ini. Sebaik sahaja selesai solat, dia dikejutkan oleh jeritan seorang rakannya yang memberitahu ada mayat bayi perempuan di atas lantai berhampiran pagar masjid. Mohamad yang bergegas keluar, terkejut apabila melihat mayat bayi yang dibaluti kain putih itu dihurungi semut.

“Saya betul-betul tidak sangka kain putih yang saya lihat tadi rupa-rupanya digunakan untuk membalut bayi,” katanya.

Dia kemudiannya segera menghubungi polis dan memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi perempuan di masjid berkenaan. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu, polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

“Mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Sehingga kini, belum ada tangkapan dilakukan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan ibu bapanya termasuk mendapatkan rekod kelahiran daripada hospital dan klinik-klinik kerajaan serta swasta,” katanya. Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

KEJAM... Mayat bayi perempuan dihurungi semut dijumpai di hadapan Masjid Permatang Duyong, Melaka, semalam. – Utusan/GAIE UCHEL

CSI Valentines Day: Islam dan Valentines Day

Oleh: Ummu Nad (Sumilah Marto)

Rakaman sejarah di atas membuktikan bahawa perayaan Valentine’s day langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. Rasulullah SAW melarang umat Islam meniru budaya orang bukan Islam kerana dibimbangi akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. 

Sabda baginda bermaksud: 

”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (Riwayat Abu Dawud).

Mengenai hukum menyambut Hari Valentine, seorang ulamak Arab Sheikh al-‘Utsaimin berkata: 

“Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar”.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:

“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.


Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih serta menghindari perilaku yang menjurus ke arah meraikannya. Perilaku berikut wajar dielakkan:

1. Keluar berpoya-poya bersama kekasih dan menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2. Menghantar kad-kad ucapan Valentine Day di mana pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian. 

3. Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4. Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Sesungguhnya perbuatan di atas juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya akan menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina. 

Firman-Nya:
“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” (Surah Al-Isra’ ;32)

Mayat Dibekal Ubat Semut

Oleh Fuad Hadinata Yaaco
2010/02/09

BUKIT MERTAJAM: Tindakan mencurigakan dua lelaki yang membawa cangkul dan memecut laju motosikal melalui jalan tanah merah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di Lorong Perusahaan Maju Lapan, berdekatan Juru Autocity, di sini, semalam. Lebih memeranjatkan, penjenayah berkenaan boleh dikatakan ‘baik hati’ apabila meletakkan ubat anti semut, gunting selain membungkus bayi berkenaan menggunakan kain lampin.


Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum ditanam di belakang sebuah kilang.

Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari orang ramai selepas mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis MZ 125 dalam keadaan mencurigakan melalui jalan tanah merah itu.


Beliau berkata, kedua-dua lelaki tidak diketahui bangsa itu didakwa membawa cangkul dan menunggang motosikal dalam keadaan laju. “Apabila orang ramai ke tempat dua lelaki terbabit dipercayai menanam sesuatu, mereka menemui mayat seorang bayi lelaki dengan separuh badannya dari paras leher ke bawah tertanam.


“Berdasarkan fizikalnya, bayi ini cukup sifat dan berambut nipis, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, bayi itu sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.


Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 atau balai polis berhampiran.

Sejarah Bermulanya Valentines Day

Oleh:
Ummu Nad (Sumilah Marto)

Assalamualaikum WRT WBT

Salah satu versi terkuat menyatakan asal usul sejarah Valentine’s Day bermula di sekitar tahun 270M, di zaman pemerintahan Maharaja Rom iaitu Maharaja Claudius II yang zalim. Rom ketika itu terlibat di dalam beberapa peperangan yang berdarah dalam usaha untuk meluaskan empayarnya. 

Claudius menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tentera. Pada pandangan beliau sebab utama pemuda-pemuda Rom tidak berminat menjadi tentera ialah kerana mereka sukar meninggalkan kekasih dan keluarga mereka. Untuk mengatasi masalah ini, Claudius telah mengharamkan semua perkahwinan dan pertunangan di kalangan masyarakat Rom.

Saint Valentine merupakan salah seorang paderi Rom ketika itu. Beliau bersama seorang paderi lain bernama Saint Marius secara rahsia telah membantu mengahwinkan pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Akibatnya beliau telah tangkap, dipenjara, dan dijatuhkan hukuman bunuh pada tanggal 14 Februari tahun 270 M. Beliau dianggap ‘syahid’ oleh para penganut Kristian ketika itu.

Sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, ramai golongan muda menziarahi Saint Valentine semasa beliau di dalam penjara sebagai tanda sokongan dan simpati. Salah seorang yang kerap mengunjungi beliau ialah anak gadis kepada seorang pengawal penjara yang akhirnya membibitkan perasaan kasih sayang di antara mereka.

Pada hari Saint Valentine dijatuhkan hukuman bunuh, beliau telah meninggalkan sekeping nota kepada gadis tersebut dengan menulis ucapan terima kasih dan diakhiri dengan perkataan “Love from your Valentine”. Menurut sejarah, nota inilah yang memulakan budaya Valentine’s Day. 

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Valentines_Day

CSI Valentines Day

Assalammualaikum semua.

Tanggal 14 Februari 2010 genaplah setahun usia Kempen Jom Jadi Bijak dulu dikenali dengan Anda Bijak Jauhi Zina. Pelancaran ABJZ pada 14 Feb 2009 di Batu Pahat .Terima kasih kepada semua yang telah sama-sama menjayakan kempen ini selama ini. Muga Allah memberikan kita keikhlasan dalam menjayakan kempen ini,InsyaAllah.

Sekuntum BUNGA, sekeping kad dan sebungkus coklat. Sesiapa sahaja dengan mudah terbayangkan ritual-ritual ini dengan Hari Valentine. Masyarakat kita dewasa ini terutamanya golongan muda bersama dengan masyarakat seluruh dunia meraikan Mari Memperingati Kekasih atau nama universalnya ’Valentines Day’. Mereka brseronok dengan sambutan tersebut.

Ada apa dengan Valentine? Tanpa mengetahui sejarah asal, dengan sikap ’good follower’ begitu mudah dan bangga sama-sama meraikan Hari Valentine ini.

Sehubungan dengan itu sempena sambutan 1 tahun JJB , Sekretariat Kempen JJB melancarkan Kempen ‘CSI VALENTINES DAY’. JOM JADI BIJAK sama-sama kita kenal ’DI SEBALIK TABIR VALENTINES DAY’ yang sangat menyimpang dengan prinsip Islam di mana perayaan anjuran Islam berupaya meniup ruh yang akan mendekatkan kita kepada Allah dan meneguhkan saf barisan umat Islam dalam era dan arus moden ini. Perayaan Islam tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas kerana penghayatannya menyeluruh dan bertepatan dengan fitrah manusia yang snetiasa inginkan ketenangan, keselamatan dan kasih sayang.

Ikuti Kempen ’CSI VALENTINES DAY’ yang bermula hari ini di blog kami
http://jomjadibijak.blogspot.com dan Facebook Jom Jadi Bijak..

Muga ada manafaatnya.

Jom bersama-sama dengan kami....

Paklong
JJB JIM Johor

Di Sebalik Tabir Valentines Day

Oleh:
Ummu Nad (Sumilah Marto)

Tanggal 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu saban tahun oleh para remaja khususnya yang sedang dilamun cinta. Pada tanggal ini si jejaka akan sibuk mencari hadiah untuk si gadis bagi membuktikan rasa kasih dah sayang, manakala si gadis pula sibuk berhias untuk si jejaka. Sungguh indah dan bahagianya hari itu, bagaikan dunia dan segala isinya menjadi milik mereka.

Perayaan Valentine’s Day atau Hari Kekasih mula menjalar di kalangan masyarakat Malaysia khususnya golongan muda-mudi menjelang akhir tahun 1980-an seiring dengan munculnya siaran-siaran televisyen yang banyak mengupas dan menayangkan iklan dan juga filem-filem bertemakan perayaan tersebut.

Valentine’s Day diraikan melalui pelbagai acara yang tidak bermoral di mana pasangan muda mudi menghabiskan malam perayaan tersebut dengan bergaul bebas dan akhirnya terlibat dengan pesta seks. Tetapi adakah disedari, dari mana asal-usulnya sambutan Valentine’s Day ini?



Nantikan sambungannya esok.. :D

Sambutan 14 Februari

Bismillahi Rahmani Rahim,

Assalamualaikum WRT WBT

Hai adik-adik semua. Rasa mcm dah lama KakMyra tak tulis dlm blog ni. Alhamdulillah akak masih diberi kesempatan untuk menulis, dah adik-adik semua masih berkesempatan utk membaca.

Bermula hari ini, Kempen Jom Jadi Bijak akan mengadakan sedikit sambutan selama seminggu, sehinggalah tarikh keramat ulangtahun perasmian kempen ini, iaitu pada 14hb Februari 2009.

14hb Februari ini mmg sengajalah kami pilih untuk perasmian kempen di negeri Johor, bagi memberi peluang semua untuk refresh balik tujuan dan goal utama Kempen Jom Jadi Bijak ini. 

Kami berharap agar 14 Februari kali ini (dah tahun-tahun seterusnya) bukanlah di gunakan untuk menyambut Valentines Day, tetapi adalah bagi mengingatkan diri untuk menjadi seorang yang BIJAK, serta mengajak org lain dikeliling kita untuk sama-sama BIJAK.

Selama seminggu ini, Team JJB akan memaparkan article dan tazkirah hasil penulisan Ummu Nad bagi membantu kita semua mengenal apa sebenarnya disebalik sambutan Valentines Day itu.

KakMyra harap adik-adik semua setia membaca dan bersedia untuk menjadi lebih BIJAK di masa akan datang. Mari sama-sama kita menyambut ulangtahun PERTAMA Kempen Jom Jadi Bijak dengan jayanya! Jangan lupa ajak kawan-kawan, ahli keluarga dan semua member2 yang lain! Yok, kite jadi BIJAK dan KEKAL BIJAK hingga ke SYURGA!

Salam Sayang,
KakMyra

STATISTIK ANAK LUAR NIKAH DI MALAYSIA

Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.

Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak mengetahui ayah kandungnya.

STATISTIK
Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Pecahan mengikut negeri:
Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

Siapakah yg harus dipersalahkan?
Apakah langkah kita seterusnya?


Rasulullah SAW sangat MENCINTAI kanak-kanak..
KITA BAGAIMANA?

Bahana Bertuhankan Nafsu

KEBANYAKAN remaja perempuan bermasalah mengakui mereka lari dari rumah kerana bosan dengan leteran ibu bapa dan inginkan kebebasan maksimum. Paling ramai disebabkan termakan pujuk rayu teman lelaki yang berjanji akan memberikan perlindungan sekiranya mereka tiada tempat tinggal. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Terdapat banyak kes remaja yang dirogol teman lelaki kemudian hamil dan melahirkan anak luar nikah. Begitu juga dengan gadis yang melarikan diri ke Lombok, Indonesia gara-gara termakan dengan pujukan teman lelaki. Ikuti pengakuan dua wanita yang kini tinggal di Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang akhirnya menyesal kerana lari dari rumah. Begitu juga wanita tiga anak yang baru saja pulang ke pangkuan keluarga di Terengganu selepas melarikan diri bersama teman lelaki ke Lombok, Indonesia, seperti diceritakan kepada wartawan Oleh Siti Zarinah Sahib (sitizarinah@hmetro.com.my).


Cerita 1 NORIZA, 16, (bukan nama sebenar) sudah enam bulan memasuki Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah (RS). Anak kedua daripada lima beradik ini dibawa keluarga ke RS selepas mengandung enam bulan. Selepas mengetahuinya, Noriza tekad mahu menggugurkan kandungan dengan mengambil ubat di klinik. Tetapi rancangan itu tidak berjaya dan dari sehari ke sehari kandungannya semakin membesar.

"Selepas tiga bulan, saya beritahu ibu yang saya mengandung. Ibu hampir pengsan mendengarnya. "Namun dia tidak marah kerana tahu saya seorang yang nakal dan tidak mendengar kata," katanya. Menurut Noriza, kenakalannya bermula ketika di tingkatan dua. Dia pernah lari dari rumah dan tinggal di rumah kawan selama dua hari. Puncanya ibu selalu membebel dan bising apabila Noriza pulang lewat ke rumah.

"Saya tidak tahan mendengar bebelan ibu setiap kali balik lambat. Selepas pulang ke rumah, saya lari lagi kali kedua dan tinggal di rumah kawan yang sama. Kemudian kakak datang memujuk saya supaya pulang ke rumah," katanya. Menurut Noriza, ketika ponteng sekolah dia keluar bersama teman lelaki, melepak di pusat beli-belah, bermain snuker serta merayau sehingga ke malam baru pulang ke rumah. 

Malah, dia pernah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya. Keseronokan yang dikecapinya serta tiada halangan ibu bapa menyebabkan dia tidak pernah teringat untuk kembali ke pangkuan keluarga. Sebab itu dia cuma bertahan tinggal di rumah beberapa minggu saja, kemudian lari semula. "Bukan ibu tidak mencari, tetapi saya matikan talian telefon selepas mendengar suaranya. Akhirnya kakak memujuk saya pulang. Kasihan melihat kakak, akhirnya saya akur untuk kembali ke pangkuan keluarga, " ujarnya.


Selepas tiga bulan, alangkah terkejutnya Noriza kerana mendapati dia mengandung kerana sebelum ini dia amat berjaga-jaga. Tidak sangka selepas kali keempat melakukan hubungan seks, apa yang ditakuti terjadi juga. Sepanjang sembilan bulan Noriza tidak mengalami sebarang alahan, malah masih boleh aktif seperti remaja lain.

Pada November 2009, Noriza selamat melahirkan bayi perempuan. Namun anak itu diserahkan kepada keluarga angkat untuk dijaga. "Memandangkan saya masih bawah umur, ibu berhasrat menghantar saya ke RS dengan harapan saya akan berubah menjadi anak yang baik. "Pada mulanya memang saya menentang. Saya tidak mahu dikongkong dan inginkan kebebasan. Namun ibu tetap berkeras, ini menyebabkan saya akur dengan keputusan ibu," katanya.

Sebulan di RS, Noriza tidak dapat menyesuaikan diri dengan aktiviti yang terlalu padat dan memenatkan. Hidup dirasakan seperti dalam penjara, tidak dapat keluar berfoya-foya dengan kawan. Aktiviti harian semuanya berbentuk keagamaan. Tambah pula sebelum ini dia tidak pernah sembahyang atau membaca al-Quran. "Saya mengambil masa empat bulan menyesuaikan diri. Selepas itu barulah saya muhasabah diri kemudian mengenang kembali apa yang sudah saya lakukan. Apabila mengenangkannya, saya menangis semahu-mahunya. Dulu saya melakukan tindakan bodoh. Kini saya insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.


"Saya menasihati rakan yang ingin lari dari rumah supaya tidak melakukan tindakan bodoh seperti saya kerana akhirnya akan merosakkan diri sendiri. Dengar nasihat ibu bapa kerana apa yang mereka katakan adalah untuk kebaikan diri sendiri," katanya. Bukan ibu tidak mencari, tetapi saya matikan talian telefon selepas mendengar suaranya. Akhirnya kakak memujuk saya pulang. Kasihan melihat kakak, akhirnya saya akur untuk kembali ke pangkuan keluarga"


Cerita 2 MIMI, 23 (bukan nama sebenar) sudah tujuh bulan tinggal di RS. Dia yang dihantar keluarga baru saja melahirkan anak luar nikah Februari tahun lalu. Mimi mengakui dia berubah selepas mengenali rakan sekelas yang baru saja berpindah dari Kuala Lumpur ke Pahang. Melihat penampilan rakan yang ranggi, moden dan sosial, Mimi teringin menjadi sepertinya. "Saya teruja melihat dia berpakaian. Dia juga merokok dan minum arak, kali pertama mencuba saya rasa sangat seronok kerana bebas daripada segalanya. Dunia seperti saya yang punya," kata Mimi yang ketika itu berusia 15 tahun.

Satu demi satu aktiviti mereka lakukan bersama. Daripada tiada teman lelaki, Mimi mulai berkawan dengan mat motor yang ada di kawasan sekitar rumahnya. Tanpa pengetahuan ibu bapa, dia mulai ponteng sekolah dan melepak di pusat beli-belah bersama rakan bermotosikal. Pernah dua hari dia tidak pulang ke rumah dan bermalam di rumah teman lelakinya. "Apabila pulang ke rumah puas saya dimarahi ibu namun saya pekakkan telinga kerana keseronokan mengatasi segala-galanya. Saya tidak kisah asalkan dapat berjumpa dengan teman lelaki. "Kalau ikutkan hati saya mahu tinggal bersama teman lelaki dan tidak mahu ke sekolah," katanya yang melakukan seks kali pertama ketika berusia 15 tahun.


Menurut Mimi, ketika tinggal di rumah teman lelaki setiap hari dia keluar ke pusat beli-belah tanpa arah tujuan. Merokok dan minum arak menjadi perkara biasa. Malah, ketika di tingkatan dua, dia sudah menghisap ganja dan dadah.

"Beritahu apa saja, semuanya saya pernah lakukan. Saya langsung tidak bimbang sekiranya ditangkap atau mengandung. Jika tiada duit membeli rokok dan ganja saya mencuri duit ibu. Semua yang saya lakukan untuk keseronokan semata-mata," katanya.

Selepas tamat belajar Mimi terus mengikut teman lelakinya bekerja di Pulau Pinang. Keluarga tidak membantah kerana sudah faham dengan perangai Mimi. Di sana dia lebih bebas kerana berjauhan dengan keluarga. Malah, empat tahun dia tidak pulang ke kampung.

Dalam pada itu, tanpa Mimi sedari benih teman lelaki membesar dalam rahimnya. Panik dengan apa yang berlaku, teman lelaki menasihati Mimi supaya menggugurkan kandungan namun Mimi menolak kerana takut.


"Pelbagai persoalan bermain di fikiran. Takut, terkejut, marah dan sedih. Selepas dua bulan baru saya berani beritahu ibu. Namun ibu tenang menerima berita itu dan meminta saya kembali ke pangkuan keluarga," kata Mimi. Selepas melahirkan anak perempuan pada Februari lalu, keluarga Mimi terus menghantar Mimi ke RS dengan harapan dia akan berubah. "Mulanya saya tidak mahu dan menentang hasrat ibu. Berkali-kali ibu memujuk, tetapi saya tetap berkeras sehinggalah suatu hari mereka membawa saya bercuti ke Port Dickson.

Selepas bergembira bersama keluarga dalam perjalanan pulang, saya tidak sedar sudah dibawa ke RS," katanya. Menurut Mimi, pada mulanya dia kekok dengan segala peraturan di RS. Jadual terlalu ketat, malah dia juga tidak dibenarkan keluar. Dia pernah berazam untuk melarikan diri, tetapi memandangkan tidak tahu jalan keluar hasrat itu dipendamkan saja. Selepas empat bulan barulah dia boleh menyesuaikan diri.

Jika sebelum ini tidak pernah melakukan solat dan membaca al-Quran, kini solat lima waktu tidak pernah ditinggalkan, begitu juga membaca al-Quran. "Saya semakin tenang selepas solat dan membaca al-Quran. Apabila mengenangkan apa yang sudah saya lakukan saya menangis semahu-mahunya. Terasa diri ini begitu kotor dan kerdil. Setiap hari saya berdoa semoga Tuhan mengampunkan semua dosa yang sudah saya lakukan," katanya.

Mimi menasihati rakan-rakan supaya tidak terus hanyut dengan keseronokan sehingga mengabaikan pelajaran. Selain itu jangan cepat terpengaruh dengan ajakan rakan kepada perkara tidak berfaedah. Paling penting sentiasa mengikut nasihat ibu bapa kerana semuanya untuk kebaikan diri sendiri.

80 peratus kes babit hamil luar nikah

MENURUT Pengarah Raudatus Sakinah (RS), Rosmawati Zainal, kebanyakan masalah sosial membabitkan remaja berpunca daripada lari dari rumah. Mereka menghadapi masalah dengan keluarga misalnya bosan dengan leteran ibu serta perceraian ibu bapa menyebabkan remaja mencari kebahagiaan di tempat lain.

"Masalahnya mereka merujuk kepada rakan yang mempunyai masalah yang sama. Akhirnya tanpa sedar mereka terikut dengan perangai rakan," katanya. Menurut Rosmawati, hampir 80 peratus kes membabitkan remaja adalah hamil luar nikah. Mereka ini kebanyakannya penuntut sekolah, universiti dan kolej. Paling muda berusia 12 sehingga 25 tahun.

"Namun, jangan terus membuang mereka kerana mereka sendiri tidak meminta untuk ke sini. "Walaupun mereka pernah buat salah dalam kehidupan, itu bukan alasan untuk memandang hina dan jijik. Tanyalah kepada penghuni rumah ini, ada pelbagai cerita yang menyebabkan mereka ke sini."

"Ada yang bergelar bohsia, hamil luar nikah, ketagihan arak dan pelbagai kisah yang kita sendiri tidak mahu dengar. Ada yang mengaku tidak mahu jadi begini, ada juga yang menyesal selepas melakukannya. Jadi walau apa juga yang mereka lakukan, kita seharusnya menerima mereka kembali. Mereka pernah tersasar dan harus diberi bimbingan rohani bagi mengisi kekosongan hati," katanya.

Rosmawati yang berada di RS sejak 2002 memberitahu, rata-rata remaja perempuan Melayu yang masuk dan keluar dari sini kebanyakannya kosong daripada segi rohani. "Tugas kami di RS adalah untuk membekalkan mereka dengan benteng menghadapi cabaran di luar. Cabaran mereka sangat besar terutama berhadapan dengan keluarga dan masyarakat yang belum tentu boleh berubah," katanya. Rosmawati banyak mengendalikan kelas kaunseling selain sesekali turut mengajar asas kemahiran hidup, memasak dan menjahit.

Apa yang pasti, katanya, walaupun tidak pernah terfikir akan terbabit dengan pusat pemulihan akhlak, dia sangat gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat. Menurut Pengerusi RS Selangor, Yusnani Abdul Hamid, tempat itu bukan setakat pusat perlindungan semata-mata, tetapi pusat bimbingan untuk membentuk peribadi remaja menjadi lebih baik. Sebab itu tempoh untuk mereka mendapatkan bimbingan selama 13 bulan.

"Ada keluarga berkata tempoh ini terlalu panjang, namun untuk memperbaiki sikap menjadi lebih baik memerlukan satu tempoh yang lama supaya mereka mendapat didikan daripada segi rohani dan jasmani," katanya. RS melatih remaja untuk lebih berdikari mereka diajar melakukan kerja rumah serta kemahiran lain seperti menjahit, berkebun, melakukan kraftangan dan memasak. Selepas keluar daripada RS, mereka diharapkan dapat melakukan kerja yang lebih berfaedah untuk agama, bangsa dan negara.
Metro 05 Februari 2010