Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Perkembangan Kempen di Johor

Assalamualaikum WRT WBT dan Salam Sejahtera.

Hi adik adik! Kini KakMyra kembali bersama dalam blog Kempen ABJZ Negeri Johor ini. Ape khabar adik2? Akak doakan kita sama2 sentiasa dalam keadaan sihat dan sentiasa berada dalam jalan siratulmustaqim.

Akak minta maaf kerana dah lama tak menulis kat blog ni. Kemungkinan ada adik2 yang setia membuka blog ABJZ ni tiap-tiap hari. Sekali lagi akak nak minta maaf bagi pihak Team ABJZ Negeri Johor. Sejak dua menjak ni, kami agak sibuk dengan memenuhi permintaan yang semakin banyak di seluruh negeri Johor. Dalam masa yang sama, kami semua sedang dalam process memperbaiki dan melakukan penambahbaikan kepada bahan-bahan kempen.

Jadi, walaupun blog ni jarang di update, kami semua masih mendoakan adik2 semua masih bersemangat dan masih setia bersama-sama kami dalam perjuangan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar.

Selepas bulan Ramadhan dan bulan Syawal, sudah semakin ramai adik2 yang terlibat sama dalam kempen ini. Ahlan wa Sahlan kepada adik-adik yang baru sahaja menyertai kami, termasuklah adik-adik dari SMK Sultan Ibrahim, SMK Kulai Besar, SMKA Johor Bahru, SMKA Segamat, SMKA Bandar Penawar, SMKA Muar dan dari pelbagai lagi sekolah diseluruh negeri Johor. Tak lupa juga pada adik-adik Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang, Tangkak yang berpeluang mengikuti modul Jom Jadi Bijak 29 jam.

Alhamdulillah Allah memberikan peluang pada adik-adik bersama kami dan memberi peluang kita sama-sama berubah kepada menjadi insan yang lebih baik, InsyaAllah.

Di sini akak sertakan sedikit gambar-gambaran daripada SMK Kulai Besar.

Akhir kata, Salam AidilAdha buat semua adik-adik yang akak sayangi. Selamat berkorban semua! :D

KakMyra

Anak Cekup Ibu Khalwat

Oleh Norfaisal


MELAKA: Tidak sanggup melihat insan disayangi terus bergelumang dosa, seorang anak membulatkan tekad menahan ibu kandungnya selepas mengetahui wanita terbabit berkhalwat dengan seorang lelaki di rumahnya di pinggir bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, anak lelaki wanita terbabit yang berusia awal 20-an ke rumah sewa ibunya di bandar raya ini selepas mengesyaki ada lelaki datang ke rumah itu.

Difahamkan, selepas menunggu beberapa jam di luar rumah, teman lelaki ibunya masih tidak keluar menyebabkan anak wanita berkenaan curiga lalu menghubungi polis dan pegawai penguat kuasa agama di kawasan berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.Bagaimanapun, tanpa diduga beberapa minit selepas laporan dibuat, lelaki terbabit keluar dari rumah dan menyedari dia mahu beredar, anak wanita itu bersama beberapa rakannya menahannya.

Selepas menunggu beberapa minit, pegawai syarak yang diiringi anggota polis tiba di rumah berkenaan dan dimaklumkan mengenai penahanan lelaki berusia 39 tahun itu.

Pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemui seorang wanita berusia 40-an.Berdasarkan soal siasat, wanita dan lelaki terbabit mengakui berkurung dalam rumah itu. Berikutan itu, mereka ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Harian Metro difahamkan, lelaki terbabit sudah berumah tangga manakala wanita itu kini dalam proses perceraian dengan suaminya. Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap rumah tempat pasangan terbabit ditahan ialah rumah sewa wanita berkenaan yang turut dikongsi bersama beberapa rakan lain.“Ketika kejadian, wanita berkenaan yang juga pekerja industri hanya berseorangan di rumah, manakala rakannya keluar bekerja,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.“Sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya,” katanya.

ABJZ di SMKA Bandar Penawar

Assalamualaikum WBT..

Alhamdulillah..
Segala puji-pujiaan hanya kembali kpd Allah SWT…
Selawat dan salam utk Rasulullah SAW..
Syukur…pada 14.11.09…..buat kali keduanya dengan izin Allah SWT program
Aku Bijak Jauhi Zina (ABJZ) telah berjaya dilaksanakan di daerah Kota Tinggi.
Abu Nuha, Dr Mazlan (Ajk JIM KT) dan Ukhti Gee KRJ telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengendalikan Program ABJZ di SMKA Bandar Penawar, Kota Tinggi dengan kehadiran kira2 100 orang pelajar tingkatan 2 & 4...
JZKK kepada semua yang terlibat
Apa2 pun…DOA dulu..
Finalis pertandingan tinggi…rendah…panjang…pendek…

Abu Nuha : “Antum adalah pemimpin & pengawal kepada kaum wanita”

Dr Mazlan sedang menyampaikan ceramahnya….


Sesi melafazkan ikrar “Aku Bijak Jauhi Zina”…..

Dr Mazlan menyampaikan banting ABJZ kepada pihak sekolah.



Pelajar Agama Berkhalwat

MELAKA: Seorang pelajar yang menuntut dalam bidang keagamaan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim) kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel bajet di bandar ini.Pelajar berusia 20 tahun itu ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jaim bersama pasangannya berusia 16 tahun di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi kelmarin.Ketika ditahan, pelajar terbabit hanya bertuala, manakala teman wanitanya berada dalam bilik air serta hanya berpakaian dalam.Kedua-dua pasangan terbabit yang berasal dari Negeri Sembilan menyewa bilik itu sejak awal malam hari berkenaan sebelum dicekup.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya melakukan operasi di hotel berkenaan selepas menerima aduan.
Metro 18/Nov/2009

Usah Sembunyi Kes Suami Perkosa Anak

KUALA LUMPUR: Ibu perlu memainkan peranan penting untuk memberi sokongan dan dorongan kepada remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol atau pencabulan oleh ahli keluarga sendiri. Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa (Malaysia), Dr Robiah Kulop Hamzah berkata, terdapat ibu yang cuba menyembunyikan kes rogol dan cabul anak sendiri kerana takut menderhaka kepada suami dan ingin menjaga nama baik keluarga masing-masing. “Ibu seharusnya menjadi pelindung anak apabila bapa tidak menjalankan tanggungjawab, malah ibu mempunyai kuasa untuk melaporkan perbuatan sumbang suami kepada pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi semalam. Katanya, ibu yang gagal bertindak dan menafikan hak itu akan menyebabkan anak menjadi murung, mengalami tekanan perasaan, pendiam ataupun bertindak agresif sebagai cara meluahkan tekanan dihadapi mereka.

Robiah mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai bapa dan abang kandung yang mencabul darah daging sendiri berusia 13 tahun sejak setahun lalu. Menurutnya, hampir 300 peratus kes rogol dan pencabulan dikendalinya tahun ini dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.Kebanyakkan mangsa sukar untuk meluahkan masalah dihadapi diugut oleh pelaku seks yang juga ahli keluarga sendiri seperti mencederakan mangsa, memberhentikan persekolahan atau akan menceraikan ibu jika menyuarakan hal itu.
Metro (Selasa 17 November 2009)

Kecuaian Ibu Bapa

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kejadian seorang adik sanggup memperkosa kakak sendiri sehingga hamil membuktikan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan gagal mengesan dan memperbetulkan ciri-ciri kerosakan akhlak yang mula ditunjukkan anak mereka. Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata pada usia 14 hingga 16 tahun, seseorang anak itu sudah menunjukkan pemikiran mereka sama ada ke arah kebaikan atau keburukan dan ibu bapa perlu mengambil pendekatan menasihat serta mendampingi mereka bagi mengelak perkara tidak diingini.“Apabila perkara sebegini berlaku, saya lihat anak bukan saja hilang kewarasan disebabkan ‘miskin’ ilmu mengenai apa yang baik dan buruk, malah ibu bapanya juga ‘miskin’ ilmu dalam mendidik anak menjadi orang baik,” katanya, semalam. Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun yang sanggup memperkosa kakaknya setahun lebih tua sehingga hamil.

Disebabkan perbuatan terkutuk adiknya, mangsa yang dikenali sebagai Yanti, 15, tertekan dan terpaksa ditempatkan di sebuah rumah perlindungan sehingga bayi dikandung dilahirkan.

Ghafar berkata, ada banyak punca menyebabkan seorang kanak-kanak mendapat maklumat salah mengenai seks sama ada menerusi rakan dan bahan lucah yang semakin mudah diperoleh.“Dia terangsang selepas dipengaruhi bahan lucah yang mudah diperoleh sama ada di Internet, telefon bimbit atau video cakera padat.“Saya lihat ibu bapa cuai mengesan perubahan anak sama ada penampilan, percakapan dan gaya hidup sehingga menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara terkutuk,” katanya. Menurutnya, pada usia sedemikian, kebiasaannya golongan itu sudah boleh berfikir tetapi ia perlu ‘diperkayakan’ lagi dengan nilai mulia yang perlu diterapkan ibu bapa.“Di peringkat awal lagi ibu bapa perlu melindungi pemikiran anak mereka dan tanamkan rasa kotor terhadap perbuatan maksiat,” katanya. Beliau berkata, kejadian itu amat menyedihkan kerana Islam sepatutnya menjadi modul terbaik untuk mendidik anak.“Ibu bapa perlu bertindak bukan saja memperkayakan anak dengan material tetapi ilmu kerana ia adalah aset terpenting mereka di masa depan,” katanya.

Punah Angkara Adik

KUALA LUMPUR: Baru berusia 14 tahun tetapi selayaknya dia digelar ‘adik setan’ kerana tergamak merogol kakak kandungnya yang hanya setahun lebih tua. Lebih memilukan, perbuatan jijik sumbang mahram itu bukan hanya menimbulkan perasaan trauma dan tekanan kepada mangsa tetapi pada usia yang masih mentah, dia terpaksa mengusung ‘benih’ adiknya. Itu yang berlaku kepada Yanti, berusia 15 tahun, yang kini sarat mengandung dan hanya menanti masa untuk melahirkan anak. Gara-gara perbuatan adik setan itu, Yanti terpaksa berjauhan daripada keluarga, malah meninggalkan alam persekolahan buat seketika.

“Sepatutnya saya menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan lalu tetapi terpaksa melupakannya. Saya meninggalkan buat seketika alam persekolahan sehingga anak dikandung ini lahir.

“Saya benar-benar tertekan kerana pada usia muda terpaksa berdepan situasi yang tidak sepatutnya saya lalui,” kata Yanti ketika ditemui wartawan Metro Ahad baru-baru ini. Menurut Yanti, tragedi hitam itu berlaku tahun lalu dan ia berulang sehingga empat kali sebelum dia disahkan mengandung.“Tragedi hitam itu berlaku di rumah. Ketika semua ahli keluarga tidur, adik menyusup masuk ke dalam bilik ketika saya tidur.“Adik menekup mulut saya dan mengugut mahu mencederakan saya jika saya buat bising. Selepas itu, bagaikan dirasuk setan, saya dirogol,” katanya. Yanti berkata, walaupun dia kakak, dia tidak mampu melawan, apatah lagi diugut akan dicederakan jika melawan.“Kudrat saya memang tidak mampu melawan kekuatan adik ketika itu. Selepas merogol saya dia sekali lagi mengugut akan mencederakan saya, malah sanggup melakukan lebih daripada itu jika mendedahkan perbuatan terkutuknya kepada sesiapa saja, terutama ayah dan ibu.“Begitulah yang dilakukannya ketika merogol saya. Seingat saya, empat kali dia merogol saya,” katanya. Selepas empat kali dirogol, dia berasa tidak sihat dan lemah hinggalah kelainan pada dirinya disedari ibu bapanya. Ibu Yanti kemudian membawanya ke klinik dan pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati dia mengandung.“Saya menceritakan perkara sebenar kepada ibu. Pulang ke rumah, ayah dan ibu bertanya adik dan dia mengaku. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun takkan mengubah apa yang berlaku,” katanya.Yanti berkata, adiknya seperti tiada perasaan kerana seolah-olah tidak rasa bersalah dengan perbuatannya.“Depan ibu dan ayah, dia menunjukkan rasa bersalah dan meminta maaf, tetapi dengan saya, dia buat seolah-olah tiada apa berlaku.“Hubungan saya dengan dia sebelum ini biasa saja, tetapi tidaklah rapat sangat. Mungkin kerana masih terlalu mentah, dia seperti tidak rasa bersalah,” katanya.

Menurut Yanti, sukar untuk dia memberitahu punca mengapa adiknya sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu.“Pada usia semuda itu, adik memang nakal. Bercampur dengan mat rempit dan kadangkala ponteng sekolah.“Barangkali kerana pengaruh rakan, adik jadi ‘lebih tahu’ mengenai hal berkaitan seks sehingga dia terdorong untuk mencuba. Namun saya langsung tidak menyangka adik sanggup merogol saya,” katanya.Yanti memberitahu, selepas disahkan hamil, ibu bapa terpaksa ‘menyembunyikannya’ di rumah seorang saudara mereka sebelum dihantar ke sebuah rumah perlindungan.“Saya akan ada di sini (rumah perlindungan) sehingga bayi yang dikandung lahir. Selepas itu saya akan menyerahkan anak saya kepada keluarga angkat.“Selepas ini saya mahu mulakan hidup baru. Saya mahu bersekolah semula dan belajar seperti rakan seusia yang lain,” katanya.Ditanya adakah dia memaafkan perbuatan adiknya, Yanti berkata: “Mulanya memang saya bencikannya, tetapi lama kelamaan saya terima hakikat. Dia bukan orang lain... dia adik saya.“Saya harap dia menyesali perbuatannya. Perkhabaran terkini yang saya dengar daripada ibu dan ayah, adik kini bersekolah di sekolah pondok. Semoga ilmu diperoleh menjadikannya adik yang soleh,” katanya.

Sumbang Mahram Membimbangkan

KUALA LUMPUR: “Menakutkan.” Itulah rumusan perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali, ketika mendedahkan statistik sepanjang 2008 dan 2009 berkaitan sumbang mahram yang dikumpulnya secara peribadi hasil aduan mangsa.Dari Januari hingga Disember 2008, beliau menerima 30 aduan daripada mangsa berbeza dan sepanjang 10 bulan pertama 2009, 15 kes dilaporkan kepadanya membabitkan sumbang mahram dengan mangsa paling muda berusia 14 tahun.“Itu semua yang didedahkan kepada saya sepanjang mengadakan sesi motivasi. Selain mereka, pasti ada lagi yang mendiamkan diri kerana takut atau malu untuk mendedahkan apa berlaku.“Gejala itu sungguh membimbangkan kerana ia kini bukan setakat haruan makan anak tetapi turut membabitkan adik, abang atau individu lain yang ada pertalian keluarga. Kebiasaannya pula, ia akan berulang,” katanya.

Menurut Md Izuddin, antara kes pernah ditanganinya ialah anak seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa abang kandung selepas berparti di kediaman mereka. Beliau berkata, ibu bapa mereka ke luar negara dan anak mengambil kesempatan mengadakan parti, termasuk mengambil minuman keras.“Apabila sedar daripada tidur keesokan hari, si adik mendapati abangnya tidur bersebelahan dan berlaku sumbang mahram. Bagaimanapun, perkara terbabit didiamkan bagi menjaga nama baik keluarga.“Satu lagi kes membabitkan bapa dengan anak. Alasan diberi bapa ialah dia yang membesarkan anaknya dan antara cara balasan budi selama ini ialah dengan mengadakan hubungan seks bersama,” katanya.

Md Izuddin berkata, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibu tetapi si ibu mendiamkan perkara itu kerana bimbang kehilangan tempat bergantung. Katanya, kejadian sumbang mahram itu berlaku berkali-kali hingga akhirnya mangsa terpaksa mengadu kepada pihak sekolah kerana tidak tahan diperlakukan seperti itu. Selain itu ada juga aduan membabitkan ayah cuba mengacah anak perempuan dengan sentuhan dan kata-kata meragukan ketika ketiadaan anggota keluarga lain di rumah.“Saya pernah bersemuka dengan lelaki terbabit dan memberinya kaunseling selain motivasi. Syukur, dia sedar dan berjanji akan menjadi ayah yang baik.“Selepas itu saya menghubungi remaja berkenaan dan dia memberitahu ayahnya sudah berubah dan tidak lagi mengacahnya,” katanya.
Bagi memastikan perkara seperti itu mampu ditangani, tiga perkara hendaklah dilakukan membabitkan keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa. Beliau berkata, didikan agama penting dan kerana itu seawal anak berusia 10 tahun, tempat tidur mereka hendaklah diasingkan.“Dalam masa sama, batasan hubungan antara adik beradik berlainan jantina juga perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia boleh menjurus kepada sumbang mahram.“Faktor ekonomi, latar belakang keluarga dan persekitaran juga memberi kesan dalam sumbang mahram. Kerana itu keluarga adalah pemain utama dalam membanteras gejala negatif terbabit,” katanya. Masyarakat pula hendaklah ‘jaga tepi kain’ jiran tetapi daripada sudut positif. Jika melihat anak jiran dalam keadaan bermasalah, cuba tanya apa berlaku supaya perkara seperti itu dapat dibendung. Selain itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah dan tidak menganggapnya sebagai masalah keluarga kerana jika dibiarkan, pemangsa mungkin melakukan lebih teruk lagi terhadap wanita lain pada masa depan.

Metro Ahad 15/11/2009

Mayat Bayi Ditemui Dalam Surau

KUALA TERENGGANU: Penduduk kampung Budiman, Batu Buruk di sini gempar dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam Surau Budiman petang ini. Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui bilal surau berkenaan, Mohamed Embong, 60, yang datang datang pada jam 4.10 petang untuk melaungkan azan dan menunaikan solat Asar. Katanya, semasa beliau membuka pintu surau, beliau ternampak satu benda seperti anak patung dibungkus dengan sehelai tuala yang diletakkan di tengah dewan pelbagai guna surau itu.

"Setelah diperiksa saya terkejut mendapati benda yang disangkakan anak patung itu adalah mayat seorang bayi lelaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Mohamed berkata, beliau yakin mayat bayi itu diletakkan di situ selepas waktu Zohor kerana semasa beliau datang untuk mengerjakan solat Zohor dewan itu masih kosong. Katanya, beliau terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mhd Khani Mhd Biku, memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi itu.

Mohd Khani, 57, ketika ditemui, berkata beliau berada di pusat Dewan Undangan Batu Buruk tidak jauh dari surau berkenaan semasa dihubungi Mohamed. "Saya kemudiannya terus menghubungi polis," katanya. - Bernama

Rama-rama & Wanita

Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda – warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.

Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan-tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar.Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci. Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan.

Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka. Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar – indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan. Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada taraf A1, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan.

Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya.Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki. Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna-warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati.




Kepala Bayi Berulat Dalam Tong Sampah


KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Penduduk Kampung Banggol di Permaisuri, Setiu terkejut apabila kepala seorang bayi yang sudah berulat ditemui dalam sebuah tong sampah di kampung itu awal pagi ini.Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang penduduk kampung berkenaan keluar membuang sampah dan menemui kepala bayi tersebut dalam tong sampah itu.Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, selepas menemui kepala tersebut, penduduk kampung berkenaan membuat laporan di Balai Polis Permaisuri kira-kira 45 minit kemudian. Berikutan laporan itu katanya, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu diarahkan ke tempat kejadian.
''Pasukan forensik hanya menemui kepala bayi yang dipercayai sudah berusia seminggu berdasarkan keadaannya yang berulat di dalam tong sampah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak polis masih menyiasat mengenai punca kematian bayi tersebut.
Katanya, seorang wanita berusia 41 tahun dipercayai ibu bayi berkenaan ditahan di rumahnya di Kampung Banggol kira-kira pukul 3.30 pagi ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.''Wanita berkenaan yang sebelum ini merupakan seorang ibu tunggal telah rujuk semula dengan bekas suaminya beberapa bulan lalu.''Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," ujarnya. Sementara itu beliau berkata, kes rogol di negeri ini menunjukkan peningkatan dengan 140 kes dilaporkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 128 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas. Beliau meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak-anak mereka terutama dalam musim cuti persekolahan tidak lama lagi.
''Jangan biarkan mereka terlalu bersosial dan pastikan mereka tidak keluar pada waktu malam bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku," ujarnya.
Utusan Malaysia : 3 November 2009


Bahana Zina


BAHANA ZINA

Pemeliharaan kehormatan nasab (keturunan ) itu menjadi antara lima objektif penting (Al-Kuliyyatul Khams) bagi agama Islam, maka ia dengan sepenuh ketegasan melarang umatnya daripada melakukan zina. Kenapa? Kerana ZINA adalah perbuatan sangat keji, hina menurut pandangan Allah dan Rasul-NYA manakala mereka yang melakukannya mendapat dosa besar.

Agar terhindar dari zina, Allah SWT sekali lagi menegah hamba-hamba-NYA daripada terjebak kepada ‘mukhadimah’ atau ‘perkara-perkara’ yang menjadi pendahuluan zina. Mukhadimah zina merujuk kepada pergaulan bebas tanpa batasan, berkhayal dan berimaginasi perkara-perkara lucah, membaca bacaan lucah, melihat gambar atau VCD lucah, menonton filem porno, berdua-duaan di tempat sunyi, berdating tanpa mahram, berpegangan tangan, berpelukan dan berciuman. Inilah yang disebutkan mukhadimah zina yang mana akhirnya bakal mencetuskan zina yang hina-dina.


Firman Allah: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesunguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk". (al-Isra: 32).

Kerana jahil dan lemah iman, ramai yang beranggapan pertunangan adalah 'lesen' untuk melakukan adegen-adegen yang ‘ringan’ sebagimana yang dinyatakan di atas tadi. Ampun maaf, banyak kes penzinaan berlaku di dalam fasa pertunangan. Sikap meremehkan yang ‘ringan-ringan’ itu hasilnya membuahkan penyakit-penyakit hati yang baru. Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin mencatatkan di dalam artikelnya seperti berikut: Ia berdalilkan firman Allah SWT: Ertinya“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya”. (al-Baqarah:10).

BENCANA AKIBAT ZINA

Maka sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan era mudanya dicerami dengan ‘ringan-ringan’ dan zina, ia membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah SWT akan membiakkan lagi peluang dan ruangnya untuk menjadi orang yang celaka, dan mendapat keluarga yang bakal runtuh, kecoh dan hancur. Keluarga yang berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan zina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain bencana keluarga yang pastinya diakhiri dengan penceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya si ibu dan bapa ini kelak, mungki diiringi dengan celaan atau sorakkan oleh anak-anak peninggalannya. Ohh..sungguh menakutkan.

Andai benar-benar ingin menjadi umat Nabi Muhammad SAW, maka jauhilah zina. Berjanjilah sepenuh hati untuk sedaya upaya menjauhi zina termasuklah segala mukhadimahnya. Rasulullah SAW, ketika mengikat janji setia dalam satu perjanjian bersama sahabat Baginda, sama ada lelaki atau perempuan, meminta supaya kalangan sabahat lelaki dna perempuan, tidak melakukan syirik, penipuan, mencuri dan berzina.

Allah memberi amaran, bahawa balasan-NYA ke atas orang yang berzina tidak lain daripada neraka, yang Allah jadikan untuk menyeksa manusia yang ingkar terhadap larangan-NYA. Di dalam wahyu-Nya yang suci Allah mengingatkan bahawa, mana-mana umat Islam yang melakukan zina, hendaklah dihukum 100 kali dera (sebatan) terhadap pasangan terbabit.

Firman Allah : “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kedua-duanya didera, Masing-masing 100 kali dera (pukulan), janganlah sayan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan agama Allah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Hendaklah hadir ketika menyeksa kedua-duanya , satu golongan daripada orang Mukmin.” (an-Nur:2).

Pernahkan anda terbaca bagaimana Amirul Mukminim, Syaidina Umar al-Khattab r.a telah menjalankan sendiri hukuman sebat ke atas anak lelakinya yang terjebak dengan zina?. Ya, sememangnya dugaan yang maha besar. Namun, dia akur dan pasrah pada kehendak Allah dari kehendak dirinya sendiri. Begitulah kepatuhan beliau yang tuntas kepada Allah dan Rasul-NYA walaupun melibatkan anak beranaknya sendiri. Dia telah meletakkan hukum Allah di atas segala-galanya. Redha Allah untukmu duhai al-Faruq!.

Thabrani’an Ibni Ababs meriwayatkan, daripada hadis Rasullullah SAW, BAginda bersabda ‘ Jauhilah oleh kamu akan zina kerana kecelakaannya empat macam, iaitu hilang seri pada mukanya, disempitkan rezekinya, kemurkaan Allah kepadanya, dan ia berkekalan dalam neraka”.

Menurut satu riwayat, Rasulullah bersabda: “Takutlah kamu berbuat zina, kerana bagi orang yang mengerjakan perbuatan zina itu, akan diberi enam macam bala oleh Allah. Tiga daripadanya seksa sewaktu berada di dunia, iaitu mengurangkan rezekinya, menghilangkan keberkatan umurnya, sewaktu dicabut nyawanya kelak, tidak ada rahmat dan belas kasihan terhadap dirinya”..


Oleh : Amal Islamy (Anis Oktober 2009).