Featured Content

JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

Ucapan AidilFitri

Assalamualaikum WRT WBT


Dikesempatan ini, Team ABJZ Negeri Johor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya; Eid Mubarak buat semua adik2 dan kawan2.

Semoga selamat pergi dan balik kampung masing2.

Jaga diri, jaga maruah, jaga solat.

Salam Sayang,
Team ABJZ Johor

Renungan Ramadhan 29



Renungan Ramadan 28

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Esok, lusa, kita dijangka menyambut 1 Syawwal, di mana kita merayakan Aidilfitri.

Aidilfitri adalah hari raya khusus untuk orang yang bertakwa selepas sebulan berpuasa.

Aidilfitri juga hari perayaan iman. Bagi setiap orang yang benar-benar memahami serta menghayati Islam akan menginsafi dan merasai bahawa betapa gembiranya mereka pada hari ini.

Allah menetapkan Aidilfitri sebagai hari kegembiraan dan kemenangan bagi orang beriman. Kita perlu merasakan hakikat nikmat Allah yang lengkap dan sempurna ketika menyambut hari lebaran ini.

Betapa agungnya Aidilfitri jelas dilihat apabila Rasulullah saw melarang umatnya (haram) daripada berpuasa pada hari itu.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak boleh berpuasa pada dua hari tertentu iaitu Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari berbuka daripada Ramadan (Aidilfitri).” (Hadis Riwayat Muslim).

Kenikmatan berhari raya hanya dapat dirasakan oleh orang yang berpuasa Ramadan dalam erti kata sebenar saja. Maksudnya, orang yang melaksanakan ibadat puasa semata-mata kerana tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Bukan mulut mereka saja berpuasa, malah anggota badan lain seperti telinga, mulut, hidung dan mata dipelihara daripada melakukan perkara keji dan kotor.

Orang yang hanya sekadar “puasa-puasaan” atau tidak berpuasa dengan sengaja tanpa sebab dibenarkan syarak, bagi mereka hari raya tidak mempunyai sebarang erti dan nilai.

Sesungguhnya, kegembiraan berhari raya itu bukan diukur dan bergantung kepada kehebatan pakaian atau hiasan serta banyaknya makanan pada hari raya. Ia terletak kepada sejauh mana bertambahnya ketakwaan dan keimanan seseorang itu.

Kedatangan Aidilfitri hendaklah disambut dengan ucapan takbir dan tahmid.

Takbir dan tahmid yang kita ucapkan pada malam dan pagi hari raya mengandungi dua makna.

Pertama, menyambut kedatangan Syawal yang mulia dan kedua, menunjukkan kesedihan di atas pemergian Ramadan al-Mubarak.

Dalam kemeriahan menyambut hari raya, janganlah sekali-kali dilupai orang yang tidak berkemampuan. Sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, berilah bantuan kepada mereka dan binalah persaudaraan Islam sejati.

Kedatangan 1 Syawal tidak seharusnya dicemari dengan hiburan yang melampaui batas. Sebaliknya, perayaan Islam dimulakan dengan takbir dan tasbih memuji dan menyucikan Allah.

Rasulullah menyarankan agar umat Islam menyambut hari raya ini dengan banyak memuji kebesaran Allah. Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Hiasilah hari raya (Aildilfitri dan Aldiladha) kamu dengan takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (mengingati dan mengagungkan Allah)." (Hadis Riwayat al-Thabrani).

Laungan takbir yang berkumandang di seluruh pelusuk tanah air, pasti menyejukkan jiwa. Ia akan kembali menenangkan fikiran, melapangkan hati untuk bermaafan, menjalin dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang lama terjalin sesama umat Islam.

Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita.

Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara berterusan sepanjang tahun; biarpun sedikit sebagaimana di dalam hadis Aisyah (ra) yang berkata yang maksudnya "Ditanya Nabi (saw) tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit." (Hadis Riwayat Bukhari)

SELAMAT HARI RAYA.. Maaf Zahir Batin

Wabillahi taufik wal Hidayah.

Renungan Ramadhan 28



Renungan Ramadan 28

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Puasa mengandungi pelbagai hikmat dan prinsip agama yang dijangka mampu memandu manusia menghadapi hari-harinya di dunia untuk mendapatkan hasil lebih lumayan di akhirat kelak.

Puasa mempunyai waktu yang khusus untuk melakukannya. Puasa yang dilakukan tidak pada waktunya yang tepat akan terbatal. Ketepatan ini meliputi masa mengikut bulan dan hari. Puasa kita mengajar kita menepati masa, tarikh permulaan bulan Ramadan dan kedatangan Syawwal.

Puasa menyuruh kita menghormati ketepatan masa sahur dan masa berbuka.

Menepati janji dan masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset dan bernilai dalam hidup manusia.

Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa “masa itu emas”.

Kepentingan masa dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”

Kita perlu menyedari bahawa setiap detik yang dilalui adalah perjalanan hidup yang tidak akan kembali. Manusia kadang kala leka menyambut kedatangan musim baru, sedangkan di sebalik kelekaan itu ada panggilan ajal yang bakal menanti tidak lama lagi.

Demikianlah Ramadan yang kian menghilang. Kita kadang-kadang sibuk menyambut musim Raya yang kian menjelang, tetapi tanpa disedari masa yang ada bulan Ramadan untuk menimba rahmat dan keberkatan sudah tinggal sedikit untuk kita manfaatkan.

Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya diusaha dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Semoga Allah membolehkan kita mengurus masa kita dengan baik di hari akhir Ramdhan ini untuk menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik bagi kita.

Renungan Ramadhan 27



Renungan Ramadan 27

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita digalakkan membanyakkan do’a pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya nikmat yang Allah karuniakan kepada kita sebenarnya jauh lebih besar daripada nikmat yang kita minta.

Ketika kita meminta rezeki, ketika itu rezeki yang Allah curahkan jauh lebih melimpah.

Ketika kita meminta kebaikan, ketika itu kebaikan yang Allah berikan jauh lebih banyak dari yang kita duga. Hanya saja, keterbatasan ilmu dan ketertutupan mata hati, membuat kita jarang menyedari besarnya kurniaan Allah tersebut. Doa yang kita mohonkan kepada Allah terbagi ke dalam empat tingkat.

Tingkat pertama adalah doa meminta dunia. Inilah doa dengan tingkatan "terendah". Dalam doa ini, tidak ada yang kita minta selain dunia, termasuk minta harta berlimpah, minta kedudukan, minta berhasil dalam perniagaan atau pekerjaan, minta jodoh, dan sebagainya. Tidak salah kita berdoa seperti ini, bahkan dianjurkan dan bernilai pahala.

Tingkat kedua adalah doa minta pahala. Pada tingkatan kedua ini kita meminta agar Allah SWT membalas semua kebaikan kita dengan balasan berlipat.

Puncaknya, kita meminta dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari neraka. Doa tingkatan kedua ini lebih bernuansa akhirat, dan nilainya lebih tinggi dari sekadar meminta dunia.

Tingkat tertinggi dari doa adalah meminta rahmat dan keredhaan Allah. Inilah cita-cita tertinggi yang harus dimiliki seorang Muslim. Tentang hal ini, Imam Ibnu Athaillah dalam kitab Hikam mengungkapkan bahawa "sebaik-baik doa yang harus engkau panjatkan kepada Allah, adalah apa-apa yang Allah perintahkan kepadamu".

Jadi, doa terbaik yang harus kita panjatkan kepada Allah adalah doa minta dikuatkan iman, doa minta diberi ketaatan pada semua perintah dan larangan, serta istiqamah dalam pengabdian. Rasulullah SAW. mencontohkan sebaik-baik doa, yaitu: Allahumma inni as'aluka ridhaaka wal jannah wa 'audzubika min sakhaathika wannaar. Artinya, "Ya Allah aku memohon kepada-Mu, keredhaan-Mu dan syurga; dan aku berlindung kepada-Mu dari murka-Mu dan api neraka".

Saat kita meminta keredhaan Allah, maka saat itu kita telah meminta hal paling berharga dalam hidup. Sebab, tidak ada gunanya harta, pangkat, jabatan, ketampanan, atau apa pun, bila Allah tidak redha kepada kita.

Tetapi bila Allah sudah redha, maka semuanya akan jadi mudah. Dunia insya Allah akan kita dapatkan, dan akhirat pun akan kita rangkul.

Karena itu, di samping berdoa minta kecukupan, kita mintajuga tawakal; di samping minta nikmat, kita minta supaya kita dibantu untuk bersyukur; di samping berdoa minta terlepas dari musibah, kita pohonlah agar kita sabar, dsb.

Sementara kita masih berada pada bulan Ramadan, berdoalah sebanyak mungkin kepada Allah. Sebab Allah tidak akan menolak doa orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan. Dan sebaik-baik doa adalah meminta redha dan kasih sayang Allah.

Renungan Ramadhan 26



Renungan Ramadan 26

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya bulan Ramadan itu bulan yang berganda kerana segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang berganda-ganda.

Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan Ramadan itu juga, nafsu kita berganda.

Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk berbuka, berganda dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan berganda dengan sifat membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri. Dari sifat buruk dan tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti sebenarnya KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100 markah puasanya?

Bulan Ramadan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad saw. yang bakal kita tinggalkan lagi beberapa hari lagi, hanya datang sekali dalam setahun. Tanya diri kita sendiri sahabat, di dalam 30 hari Ramadan itu tidak semuanya benar-benar menghayati Ramadan. Orang awam seperti kita adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi 23 hari Ramadan sahaja.

Kerana pada waktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum Ramadan lagi. Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadan tetapi kita sibuk di gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya.

Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih, biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita.

Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya. Kita sibuk meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan tetapi hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya. Memang secara teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar.

Allah swt. mengharamkan jasad umat-Nya yang gembira dan senang dengan ketibaan Ramadan daripada api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadan. Kerana itu, kalau kita dapat lihat siaran langsung solat di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Bagi mereka, tidak ada bulan lain yang menyamai bulan Ramadan. Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan dukacita meninggalkan Ramadan atau sebaliknya?

Sementara masih ada sisa Ramadan ini, sama-samalah kita cuba mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita menikmati kerberkatan dan hikmah berpuasa dan cuba menghidupkan malam Lailatul Qadar, jika mampu.

Biarlah Ramadan yang cuma sekali dalam setahun itu benar-benar memberi kesan yang keinsafan dan ketakwaan terhadap diri kita.

Renungan Ramadhan 25



Renungan Ramadan 24

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita masih menjalani malam 10 terakhir Ramadan yang banyak kelebihannya.

Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan adalah;

1. Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksud nya;

2. “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. - Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak).

4. Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)

Ibn Abbas berkata : “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 23 tahun.

5. Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara ini seperti firman Allah bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadar, ayat 3)

6. Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

7. Pada malam ini juga turunnya malaikat. Malaikat turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.

8. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah bermaksud : “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)

9. Maksud “urusan yang penuh hikmah” adalah pada malam itu Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.

10.Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.

- Bilakah Lailatul Qadar? Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Rasulullah bersabda lagi bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satumalam pada Ramadan. Ia adalah sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan almubarak.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam.

Sama-samalah kita mempertingkatkan amalan kita. Semoga amalan-amalan kita diterima oleh Allah sebagai amalan soleh yang diredhai dan bertepatan pula dengan LailatulQadar. Amin

Renungan Ramadhan 24



Renungan Ramadan 24

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ruang-lingkup sedekah seperti yang kita sebutkan malam tadi amat luas. Ia meliputi segenap perbuatan dan usaha untuk memanfatkan diri sendiri dan juga orang lain. Secara spesifik, kita boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan memudahkan seseorang, meringankan penderitaannya, atau membantunya ketika ia dalam kesusahan, atau sekurang-kurangnya mengelakkan dari menimbulkan musibah atau kesengsaraan ke atasnya.

Termasuk di dalam takrifan sedekah tersebut di dalam hadis yang dibaca semalam ialah berlaku adil. Ini bermakna sekiranya kita memastikan kita berlaku adil kepada orang lain, ianya dianggap sedekah. Kita perlu berlaku adil; adil mungkin dari segi hukuman jika kita menghukum, atau adil dalam membahagi jika kita orang yang tugasnya membahagi, dan juga adil dalam membuat kesimpulan, keputusan atau telahan dari apa yang kita dengar, atau baca atau lihat. Ini kerana jika kita tidak berlaku adil, kita menimbulkan kesulitan dan kesengsaraan kepada orang lain.

Ayat 6 Surah al-Hujurat diturunkan mengenai insiden di mana Muslimin bersedia mengambil tindakan terhadap sebuah kabilah kerana mendengar satu berita daripada seorang tanpa meneliti kesahihan berita tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik dengan sesuatu berita, selidikilah, agar kamu tidak mendatangkan musibah kepada sesuatu kaum dalam kejahilan dan kemudian kamu menyesali kesan tindakan kamu tersebut." (surah al-Hujurat:9)

Dalam ayat ini, kita tidak dibenarkan membuat sebarang judgement, apa lagi tindakan terhadap seseorang individu atau sesuatu kaum (atau organisasi atau badan) tanpa kita memastikan kesahihan maklumat yang diberikan kepada kita.

Kadang-kadang kita tidak berlaku adil dalam menyebarkan berita. Kita mendengar berita melalui saluran-saluran tertentu dan terus menyebarkannya tanpa usul periksa, tanpa menyemak kesahihannya. Padahal kita dilarang dari menelan bulat-bulat apa yang kita baca, dengar atau lihat. Sebaliknya, kita diminta menyiasat dan menimbangkan dengan teliti sebelum menerimanya; apa lagi menyebarkannya. Dalam bulan Ramadan al-Mubarak ini pun kadangkala terjadi kita sering terlalu cepat kita menyebarkan berita mengenai sesuatu
sebelum kita memastikan kesahihannya.

Contoh yang ketara yang sering berlaku ialah kisah-kisah sensasi yang sering dilaporkan di media cetak. Ia mungkin berbentuk ‘skandal’ yang seringkali melibatkan artis dan ahli-ahli politik. Kita perlu bersabar mengekang semangat kita yang mahu terus menghukum individu berkenaan tanpa memastikan kesahihan berita berkenaan.

Begitu juga dengan kisah-kisah pelik, aneh dan menakjubkan seperti yang sebahagiannya sering diceritakan oleh sebahagian guru-guru agama dan pendakwah. Berhati-hatilah ketika menerima, mempercayainya, membuat kesimpulan atau menyebarkannya kisah-kisah sedemikian. Biar siapapun yang mula mencetuskannya, kita mengundang dosa sekiranya kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar-benar berlaku.

Dalam zaman canggih ini, kita boleh menyebarkan berita melalui internet ke seluruh dunia hanya dengan memetik beberapa butang papan-kunci komputer.

Oleh itu, kita lebih perlu berhati-hati kerana berkemungkinan kita menyebarkan pendustaan yang akan disebarkan pula oleh orang lain dan seterusnya.

Misalnya, terdapat manusia atau organisasi yang dizalimi kerana penyebaran maklumat tanpa sandaran; apa lagi melalui internet. Misalnya sebuah institusi kewangan Islam pernah difitnah di internet sebagai terlibat dengan perusahaan arak. Penyebaran berita sedemikian akan menyebabkan kita melakukan ketidakadilan kepada institusi kewangan berkenaan dan menimbulkan keraguan di kalangan pelabur.

Sempena bulan Ramadan ini, marilah kita bertekad untuk berlaku adil dengan segenap perkara. Sempena memburu lailatul Qadr ini, marilah kita berusaha untuk memastikan kita lebih berhati-hati dalam menyebarkan berita; agar kita tidak sampai menzalimi orang lain. Sempena malam-malam akhir Ramadan ini, marilah kita berdo’a agar Allah menyerlahkan keadilan dan kebenaran dan melenyapkan kezaliman dan ketidakadilan.

Renungan Ramadhan 23



Renungan Ramadan 23

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan Sedekah, seperti yang telah disebutkan dalam Siri ini (Renungan Ramadan 15). Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadan ada dinyatakan bahawa “Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahawa sedekah adalah untuk orangorang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain.

Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:

Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kami sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:
Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah.
(Hadis Riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah teruatma pada bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadan yang mulia ini.

Renungan Ramadhan 22



Renungan Ramadan 22

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadan.

Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia daripada api neraka. Peluang untuk bebas daripada api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan siksa api neraka yang disebutkan oleh Allah:
“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas daripada api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada pada bulan Ramadan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini, Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia kita di mukabumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian dalam bulanmulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda: Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tin ggal bersamanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu.

Mereka juga akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda: Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu terus menghubunginya setelah dia meninggal. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita pada bulan Ramadan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan
didiklah anakanak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita apabila amalan lain kita telah terputus. Semoga dengan itu, Allah memberi rahmah, keampunan dan seterusnya membeaskan kita dari azab api neraka.


Renungan Ramadhan 21



Renungan Ramadan 21

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Perang Badar begitu bererti bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya imuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran“ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah.

Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:
Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat:

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut".
(surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk bekorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.

Renungan Ramadhan 20



Renungan Ramadan 20

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan beberapa malam lepas, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, dengan kommunikasi langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw).

Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia.

Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satusatunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta.

Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwanhaiwan kenderaan tersebut.

Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesomobongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”

Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)

Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.

Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan memberi kemenangan kepada mereka.

Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.

Perkembangan Kempen

Blog Kempen Anda Bijak Jauhi Zina kini telah dimasukkan ke dalam database Local Blog Directories Johor.

Semoga dengan usaha ini, kempen ABJZ semakin mendapat sambutan dan sokongan di seluruh negeri Johor, InsyaAllah.



10 Malam Terakhir

Assalamualaikum WRT WBT

Alhamdulillah kita semua masih berpeluang untuk terus beribadah pada Ramadhan kali ini. Namun, kita sudah sampai ke 10 mlm terakhir. Selalunya kite ni seronok sbb Raya dah nak dekat.

Tapi kawan2 dan adik2 yang di sayangi kerana Allah, ingatlah, pada 10 hari terakhir inilah kita sepatutnya tingkatkan amal dan kita berusaha mengejar Lailatul Qadar. Kita tepuk dada dan tanya Iman, mana yang lebih baik.. berseronok memikirkan raya atau mempergunakan Ramadhan ini dengan sebaik2nya.

Selamat menambahkan amal semua. Semoga Allah Taala menerima segala taubat dan memberikan pengampunanNya kepada kita semua.

Renungan Ramadhan 19



Renungan Ramadan 19

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadan di Gua Hira’ merupakan titik tolak penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna yang mendalam.

Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur.

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah al-Isra’: ayat 106)

Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana ia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepad/daripada Allah melalui Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan.

Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.

Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamaddunnya yang gemilang.

Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membuat tekad dan azam untuk membaca al-Quran,Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang diberikan di dalam Renungan Ramadan 17, semoga Allah merahmati kita.

Renungan Ramadhan 18



Renungan Ramadan 18

Oleh Dr Omar Yaakob

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam pada bulan Ramadan, ketika Nabi (saw) sedang bermunajat di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang men gajar (manusia) dengan perantaraan kalam.
(surah al-Alaq:1-4)

Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung,Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdilan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (care) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan.

Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani. Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw).

Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).” Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi.

Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.


Renungan Ramadhan 17



Renungan Ramadan 17


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan; bahkan sepanjang hidup kita seharian.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.

Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa pra-syarat asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan kita hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.

Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ia adalah kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia fana ini.

Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, untuk menunjuk-nunjuk, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuk-nunjuk, maka sekadar itulah yang kita akan dapati.

Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan pengajaran yang terkandung d dalam ayatayatnya.

Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setaiap ilmu dan petunjuk yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya, maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu mengenai itu.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha memalingkan kita dari cuba mamahami dan mengahyati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca, memahami dan memperolehi hidayah darinya.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.

Renungan Ramadhan 16



Renungan Ramadan 16

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:
“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:
“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.

Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:
“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).”
(surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadan menjadi kian jelas. Dalam hadis yang telah di sebut di dalam semalam juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadan.

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita pada bulan Ramadan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan banyaknya ayat yang dibaca tetapi juga mutu bacaan kita. Kita perlu memnjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur. Allah berfirman:
“Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya”
(surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:
“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr:
“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”.
(Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejarkejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini.

Renungan Ramadhan 15



Renungan Ramadan 15

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Sifat pemurah merupakan salah satu daripada sifat-sifat orang beriman dan lebih-lebih lagi oleh kerana bulan Ramadan merupakan bulan kebajikan, maka sifat pemurah telah menjadi lebih terserlah. Rasulullah (saw) yang menjadi ikutan kita telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Kedermawanan beliau pada bulan Ramadan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (r.a.) bahawa:
“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedermawanan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Ta’ala Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar Allah Ta’ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah niscaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan.

Membantu orang-orang yang berpuasa dan berdzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka iamemperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang.

Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi (saw) beliau bersabda:
“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya.“
(Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama merupakan sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadis Ali radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi(saw) bersabda:
“Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. “ Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badui seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,?jawab beliau: “Untuk siapa saja yang berkata baik, memberi makan, selalu berpuasa dan shalat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. “ (Hadis Riwayat. At-Tirmidzi)

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan daripada api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi shalat malam.

Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (saw)bersabda:
“Puasa itu perisai dan benteng kokoh yang melindungi seseorang daripada api Neraka” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, dari Mu’adz(ra) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Kita maklum bahawa adalah sukar untuk menjaga puasa yang sempurna. Biasanya tentu terdapat kesilapan atau kekurangan. Maka sedekahlah yang bakal menampung kekurangan atau ketidak-sempurnaan ini.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan keikhlasan untuk beramal.

Janji Syaitan untuk Menyesatkan Manusia

"Kami tidak berzina!!’

Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya berbual, borak-borak kosong, bincang-bincang sikit, bertanya khabar, minum-minum….adakah itu menghampiri zina? Takkanlah nak berbual-bual pun tak boleh..itu zina ke?...

Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah PERZINAAN..

Tapi ..kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu...

Mungkin hari ini, iya.... Tapi apa jaminan untuk esok..lusa...tulat..dan hari-hari seterusnya..
Mungkin esok kamu akan kecundang. ..

-----------------

Bahaya..bahaya...kamu dalam bahaya.. Kenapa mesti menempah bahaya???

Bukankah syaitan dan iblis sudah berjanji akan menyesatkan kita...Mengapakah kita mesti menjadi pengikut mereka????..Bukankah mereka ini akan memerangkap kamu...

Kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik..mustahil rasanya bila sudah berdua-duaan, tiada rasa apa-apa..betulkan??? Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat-ingat, terasa rindu selalu..terasa seperti dunia ini kita yang punya..tentang si dia semuanya dilihat indah belaka...

Kemudian diatur pertemuan.. tidak cukup sekali berjumpa..akan terjadinya perjumpaan yang berkali-kali..bila sudah berjumpa..kemudian duduk berdua-dua..Kemudian mencari tempat yang sunyi sedikit...(kononnya maukan privasi)..

Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, sudah berani berpegangan tangan, duduk makin dekat...

Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam…Adakah ketika ini masih tidak sedikit pun perasan terusik???..Bermula dengan hanya berbual sahaja..berlanjutan sehingga seperti pengantin baru..Tidak bergetarkah naluri dan nafsu kita..

Tepuk dada tanyalah iman...

Masa ini..syaitan dan iblis..mengadakan parti besar-besaran..seronok meraikan kejayaan mereka dapat menipu kita....”kahhhkahh..kita menang lagi kali ini...yehhhhhh!!!!!!!”
Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran...

Mereka ini tersangatlah bijak...Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama. Nabi Adam dan Hawa. Jangan pula kita terlupa... Siapalah kita jika dibandingkan dgn Nabi Adam dan Hawa...

Amat licik iblis dan pengalamannya amat banyak. Ia ada lebih 1001 cara...kalau dengan Plan A tidak berjaya..digunakan Plan B...malah konco-konco mereka ini tidak pernah letih dan penat untuk mendampingi kita...

Ingat, pesanan Rasulullah SAW:

Janganlah engkau bersendirian dgn seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (Tabrani).

Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis...

Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dgn perzinaan???..Adakah syaitan dan iblis akan berhenti di situ sahaja...

Tidak!!!!...mereka tidak akan letih dan penat untuk terus menggoda kita ke langkah seterusnya.

Penghujung jalan cinta adalah perzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai org yang bercinta telah sampai kepada daerah perzinaan dan kesengsaraan.

Renunglah wajah ayah dan ibu kita...Ibu yang melahirkan kita dalam keadaan bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!..Ayah yang bertungkus lumut memerah keringat untuk membesarkan kita....Sanggupkah kita memalukan mereka hanya tertipu dengan iblis dan syaitan yang dilaknat itu...Nampaknya cinta kita teralih arah...Budget cinta kita telah diagihkan kepada mereka yang tidak sepatutnya....

Semenjak awal penciptaan manusia..Allah telah mengingatkan manusia bahawa kita ini tidak tahan akan ujian walaupun ujian tersebut kecil...Allah mentakdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia...

Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dr makanannya sepuas-puasnya apa shj kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari org-org yg zalim.(al-A’araf:19)

Sesungguhnya manusia itu sangat lemah..namun kita diberi akal untuk mengawal hati dan nafsu kita...Adakah kita masih berfikir panjang untuk terus-terusan menghampiri zina??..Setelah melihat betapa gembiranya syaitan dan iblis apabila kita berjaya ditundukkannya...setelah melihat betapa buruknya kesan zina...Sanggupkah kita mengecewakan ibu dan ayah kita...

Jangan menghampirinya kerana bermula dengan HAMPIR sahaja akhirnya ianya akan menjurus kita ke lembah PENZINAAN..Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memelihara kita daripada menghamipri Zina...

Jadilah orang yang BIJAK JAUHI ZINA kerana ketika itu syaitan dan iblis pasti akan pening dan runsing dengan KEBIJAKSANAAN kita.

Salam Sayang,
Kak Ani

Renungan Ramadhan 14



Renungan Ramadan 14

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Negara haram Israel ditubuhkan melalui mandat PBB pada 1947. Pada tahun 1947 juga, sebuah tanahair Islam lain turut tergadai sehingga hari ini.

Jammu dan Kashmir adalah sebuah wilayah yang terletak di sempadan utara India dan Pakistan. Ia terkenal sebagai satu kawasan mempunyai kawasan mulajadi yang amat cantik dan menarik.

Semasa kemerdekaan India pada 1947, negara Pakistan ditubuhkan untuk rakyat benua kecil tersebut yang beragama Islam. Setiap wilayah yang mempunyai kerajaan sendiri ketika itu diberikan pilihan sama ada mahu bergabung dengan India atau Pakistan. Bagi wilayah yang majoriti penduduknya menganut seagama dengan pemimpinnya, itu tidak menjadi masalah.

Tetapi bagi Kashmir, lebih 70% penduduknya beragama Islam manakala pemimpinnya ketika itu ialah Maharajah yang beragama Hindu. Beliau telah memilih untuk bergabung dengan India manakala majoriti penduduknya mahu bersama Pakistan. Gabenor British di India telah meminta pemilihan muktamad diadakan berdasarkan satu pungutan suara. Majlis Keselamatan PBB dalam Resolusi no 47 (1948) telah bersetuju dan dengan jelas mengarahkan supaya antara lain:

“The Government of India should undertake that there will be established in Jammu and Kashmir a Plebiscite Administration to hold a plebiscite as soon as possible on the question of the accession of the State to India or Pakistan”

Maksudnya:

“Kerajaan India mesti menjamin penubuhan satu pentadbiran sementara di Jammu dan Kashmir yang akan menganjurkan pungutan suara bagi menentukan samada penduduk Jammu dan Kashmir mahu bergabung dengan India atau dengan Pakistan”

Masalah terbesar ialah, sehingga kini India enggan dan menafikan hak rakyat Kashmir untuk menentukan masa depan mereka. Sehingga kini, India tetap bertegas mengaku bahawa Kashmir adalah sebahagian dari negara India.

Sehingga kini pungutan suara yang diputuskan oleh PBB lebih 54 tahun yang lalu masih belum dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, India telah mengukuhkan cengkaman kuku-besinya ke atas Kashmir. Pelbagai cara telah dibuat oleh pihak berkuasa India untuk menghapuskan gerakan pembebasan Kashmir. Pejuang dan keluarga telah ditangkap, dipenjara, dibunuh dan dicabuli. Kini, lebih 500,000 askar India kini menduduki Kashmir menjadikan wilayah tersebut seperti negara polis.

Sehingga kini PBB meletakkan status Kashmir sebagai ‘wilayah yang dipertikaikan’; yakni PBB sendiri tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian daripada India. Namun, polisi ‘double standard’ PBB jelas kelihatan kerana berbeza dengan Iraq contohnya, PBB tidak pula menguat-kuasakan resolusinya sendiri.

Demikian sepintas lalu berkenaan dengan sebuah wilayah umat Islam yang dijajah, sehinggakan umatnya menjadi pelarian di tanahair sendiri. Semoga kita lebih prihatin dengan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di tempat lain.

Marilah sama-sama kita mendo’akan Allah memberi jalan keluar terbaik bagi mereka.

Renungan Ramadhan 13



Renungan Ramadan 13

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka. Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.

Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as), kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah milik umat Islam.

Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan surat pendek oleh Lord Balfour pada 1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit Zionis telah ditubuhkan. Pada 1922, Yahudi merupakan 11 % daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah Palestin. Regim haram kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa menjadi pelarian.

Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949 atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun 1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita. Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri, berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.

Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh.

Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita menjayakan program boikot barangan Amerika.

Jika terdapat alternatif, maka tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; sama ada yang diimport terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbucks Coffee yang jelas memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain juga mempunyai saham dengan membayar cuka kepada kerajaan Amerika. Jika kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah ia pilihan terakhir; buy American last.

Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di Palestin.

Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat.
Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka!

Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu,
hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka!