JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Renungan Ramadhan 3




Renungan Ramadan 3


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):

“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tin ggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”.
(Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para saha bat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-o rang yang paling bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya”
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya.

Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya.

Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:

“ Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu hari telah mulai terang.”
( Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan dirinya telah kuat.

Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yang
mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yang begitu besar ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya

No Response to "Renungan Ramadhan 3"