JOM JADI BIJAK HARI INI!



CURRENT CONTENT

01.06.2009: Geram berbadan dua

Berita Harian
Oleh Mohd jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KAJANG: Berang kerana ditinggalkan kekasih selepas dihamilkan, seorang wanita mengamuk dengan menikam dan membelasah bekas kekasih yang didakwa pernah menidurinya sehingga parah.

Difahamkan, wanita berusia 20-an itu yang hamil tiga bulan, mempamerkan kegagahan luar biasa, bukan setakat menggunakan pisau menikam bekas kekasihnya itu, malah turut bersenjatakan kayu dan besi yang biasa digunakan ketika menukar tayar lori untuk menyerang mangsa.

Sumber polis berkata, wanita itu sebelum ini berang selepas menyedari bekas kekasihnya itu muncul di rumahnya berhampiran Bandar Teknologi Kajang di sini, jam 12 tengah malam kelmarin.

Menurutnya, wanita itu yang tidak dapat menahan dendam dan marah berikutan apa yang berlaku terhadap dirinya kemudian mencapai pisau di dapur sebelum menerkam bekas kekasihnya yang bekerja sebagai tukang kayu.

“Akibat serangan itu, mangsa cedera di beberapa bahagian tubuhnya kerana ditikam dan dihiris dengan pisau.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan itu cuba menghubungi seorang rakan lelakinya bagi mendapatkan pertolongan,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa yang dihubungi bagaimanapun enggan membantu kerana beranggapan ia masalah peribadi yang perlu diselesaikan lelaki itu sendiri.

“Berikutan itu, mangsa terpaksa menggagahkan diri bergelut dengan bekas teman wanitanya bagi mengelak dia terus bertindak ganas.

“Selepas bergelut hampir 10 minit, mangsa akhirnya berjaya merampas pisau berkenaan sebelum melarikan diri ke arah lori miliknya yang diletakkan tidak jauh dari pekarangan rumah bekas teman wanitanya itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba menghidupkan enjin lori untuk menyelamatkan diri bagaimanapun terkejut apabila wanita itu meloncat dan memanjat belakang lori dipandu lelaki berkenaan.

“Wanita terbabit yang tidak putus asa mencapai batang besi yang digunakan untuk menukar tayar lori sebelum memukul mangsa.

“Mangsa yang terhoyong-hayang mempertahankan diri bagaimanapun dipukul berulang kali,” katanya.

Katanya, tidak puas hati dengan tindakan itu, wanita berkenaan mencapai sebatang kayu dan memukul mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya berjaya menolak wanita itu keluar dari lori sebelum memecut kenderaan itu untuk melarikan diri.

“Mungkin akibat keletihan ‘dikerjakan’ wanita berkenaan, mangsa tertidur dalam lori berhampiran Taman Jasmin di sini,” katanya.

Beliau berkata, mangsa sekali lagi terkejut apabila dimaklumkan rakan Perodua Kancil miliknya dirosakkan termasuk semua cermin tingkap dipecahkan.

“Berikutan itu, mangsa mengesyaki wanita itu yang masih tidak puas hati menghentam keretanya kerana gagal membunuhnya.

“Berikutan itu, lelaki berusia 30-an berkenaan yang bimbang terus diburu bekas teman wanitanya itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini,” katanya.

Berdasarkan soal siasat, mangsa mendakwa bekas teman wanitanya seorang penipu dan materialistik serta didakwa pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata sebelum ini.

Polis sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

1 Response to 01.06.2009: Geram berbadan dua

June 1, 2009 at 3:24 AM

hoho.22 kena.