JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Isu Pembuangan Bayi

Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta anak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu.

Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senarionya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas masyarakat pada hari ini.

Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak di luar nikah, maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Beberapa kajian yang dilakukan di negara ini juga menunjukkan 27 peratus daripada remaja kita hari ini mengadakan hubungan seks luar nikah.

Majlis HEWI PKPIM juga melihat senario pembuangan bayi yang berlaku sejak akhir-akhir ini sangat kritikal dan perlu ditangani habis-habisan oleh semua pihak. Sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis.

Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin.

Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT). Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga tahun lalu, dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes). Tahun lalu sahaja, daripada 83 kes di seluruh negara, Selangor mencatatkan 24 kes, Johor (21 kes), Sarawak (12 kes), Sabah (11 kes), Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang (masing-masing tiga kes), Perak dan Melaka (dua kes) serta Kelantan dan Terengganu (satu kes).

Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Untuk janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.

Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit. Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang.

Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

Sumber 1 :- Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid, Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor : Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia : Seminar Kaunseling Keluarga 2008

Sumber 2: http://www.kpwkm.gov.my. Statistik.
----------------------------------------------------------------
Jika anda berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Kempen Anda Bijak Jauhi Zina sila hubungi :

Tn Hj Aminuddin Alias - 019 7309065
Email: aminjb1401@yahoo.com

Saudari Rafidah Mahat - 013 7097052
Email : rafidahmahat_jb@yahoo.com.my

No Response to "Isu Pembuangan Bayi"