JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

21.05.2009: Pasangan remaja khalwat dihukum penjara 7 hari

Berita Harian
Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my

Hukuman tambahan 20 bulan jika gagal bayar denda RM3,000

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih remaja yang ditangkap sedang memadu kasih masing-masing dipenjara tujuh hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di sini, tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Radzi Abd Latif menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Ridhwan Tokiri, 19, seorang pembantu kedai dan pasangannya, Iffa Islah Ab Rashid, 21, pelajar kolej, jika mereka gagal membayar denda itu hukuman tambahan penjara 20 bulan dikenakan ke atas tertuduh.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi menasihatkan kedua-dua tertuduh supaya bertaubat dan menginsafi perbuatan mereka yang bercanggah hukum syarak.

Pegawai Pendakwa Syarie, Abdul Halim Abdulah pula memohon kepada mahkamah supaya memenjarakan kedua-dua pasangan itu kerana melakukan perbuatan yang boleh menjurus kepada zina.

"Kedua-dua tertuduh masih muda tetapi nafsu mereka perlu dikawal apatah lagi perlakuan mereka itu mendorong kepada zina. Muda-mudi Islam kita punah disebabkan maksiat.

"Mereka seronok melayan naluri seks melampau sehingga sanggup melakukan adegan termasuk cium-mencium, peluk-memeluk serta raba-meraba.

"Kejadian ini (khalwat) dirancang mereka kerana sebagai warga kota, tiada alasan untuk berada dalam penginapan terbabit. Hotel mahupun tempat penginapan adalah tempat musafir bermalam ataupun persidangan bukannya tempat melakukan maksiat," katanya.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu supaya hukuman diringankan tetapi dibantah oleh Abdul Halim yang menyatakan mereka seharusnya dipenjarakan serta dikenakan hukuman setimpal.

Muhammad Ridhwan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, manakala Iffah Islah mengikut Seksyen 27(b) akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang melakukan operasi cegah maksiat di Bilik C8, Welf West International Youth Hotel, Jalan Merpati off Jalan Raja Laut di sini, kira-kira 1.15 pagi pada 25 Oktober 2008.

Muhammad Ridhwan yang berpakaian baju-T pendek dan seluar jeans manakala Iffah berbaju sejuk serta jeans berada dalam bilik gelap ketika serbuan dibuat.

1 Response to 21.05.2009: Pasangan remaja khalwat dihukum penjara 7 hari

May 21, 2009 at 2:51 AM

baru macam ada kaitan.