CURRENT CONTENT
ABJZ Semakin Rancak di Johor
Zulkifli Khair
PONTIAN, 7 Julai – Suatu program kesedaran kendalian Dr Shaharuddin Mohd Said telah berjaya dilangsungkan di SMK Benut di sini. Kempen “Anda Bijak Jauhi Zina” (ABJZ) yang bermula pada jam lapan pagi dan berlangsung selama empat jam itu dihadiri kira-kira 250 orang pelajar dari tingkatan satu hingga lima yang rata-rata dari kelas E dan F.
“Saya tidak sangka ada pelajar tingkatan satu yang hadir. Sepatutnya, ia dihadiri oleh pelajar menengah empat dan lima,” jelas Shaharuddin. “Pada awalnya ada yang kelihatan dipaksa hadir, lalu kami sediakan beberapa aktiviti seperti permainan.” Menurut beliau, kempen ABJZ bukanlah bersifat monotonous dengan pengisian ceramah semata-mata.
ABJZ tajaan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Johor membabitkan dua pakej program: Program selama 4 jam dan program selama 29 jam (membabitkan dua hari). Buat masa ini, ia lebih difokuskan kepada golongan remaja. Antara sekolah yang pernah terlibat termasuklah SMK Permas Jaya 3, SMK Dato' Menteri (Ayer Hitam), SMK pasir Gudang 3, MRSM Batu Pahat, SMK Batu Anam (Segamat) dan banyak lagi.
Program ini turut berjaya menarik golongan dewasa sebagaimana yang diadakan untuk sebuah kumpulan Yasin kaum wanita. Malah, ia pernah juga dihadiri golongan bukan Islam sepertimana pada 19 Jun lalu di SMK Tunku Abdul Rahman Putra (STARP). Dalam kempen tersebut, seramai 116 pelajar prauniversiti menyertainya termasuk 39 orang bukan Islam.
Sehingga 3 Julai 2009, seramai 7,788 orang telah menyertai kempen ABJZ membabitkan 31 kempen. Bermula hujung minggu ini (11 Julai 2009) hinggalah ke bulan Ogos, pihak sekretariat sudah pun menerima lapan tempahan daripada pihak sekolah dan masyarakat kampung bagi mengadakan kempen ABJZ di tempat mereka.
Dua objektif utama kempen ABJZ adalah:
- Memberi pendedahan dengan lebih mendalam tentang punca dan perkara-perkara yang membawa seseorang itu terjebak dengan gejala zina.
- Mengendalikan satu program untuk generasi muda bagi membina jati diri, seterusnya boleh dijadikan panduan untuk membentengi diri daripada terlibat dengan gejala sosial khususnya zina.
Kempen ABJZ dilancarkan secara besar-besaran di peringkat negeri Johor pada 28 Februari 2009 di Pusat Islam Iskandar. Johor tidak terlepas daripada masalah zina yang kronik. Dianggarkan seramai lapan bayi luar nikah dilahirkan setiap hari di negeri Johor Darul Takzim pada masa ini. Maklumat lanjut lagi terkini mengenai ABJZ boleh diakses di http://abjzjohor.blogspot.com/.
2 Response to Berita di Malaysia Harmoni
bagus! keep it up~
***
semoga kesedaran bersama mereka+kita.
Post a Comment