JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Rendam bayi: Teman lelaki wanita akan diburu

Kiri: TANDAS di mana seorang wanita ditemui bersama bayi perempuannya yang mati dipercayai lemas di dalam baldi cat di tingkat tiga Wisma Bola Sepak Pahang di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 30 Jun - Polis akan memburu teman lelaki kepada seorang wanita yang merendam bayi perempuannya hingga mati di dalam baldi cat di sebuah rumah sewa di Wisma Bola Sepak Pahang, di sini semalam.

Bagaimanapun, suspek hanya akan dikenal pasti selepas polis selesai menyoal siasat wanita berkenaan yang kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki terbabit dicari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Wanita yang terlibat dalam kejadian itu kini masih dalam keadaan trauma dan kesihatannya belum stabil," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang wanita berusia 26 tahun yang tertekan dengan teman lelakinya nekad merendam bayi perempuan yang baru dilahirkan di dalam baldi cat kira-kira pukul 6.30 pagi di dalam tandas bilik sewaannya di wisma itu.

Wanita berkenaan yang baru dua hari menyewa di situ ditemui oleh rakan penghuni rumah sewa tersebut selepas mereka terdengar tangisan bayi yang datang dari arah tandas berkenaan.

Menurutnya, soal siasat ke atas wanita yang berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah dekat Rompin itu akan dibuat selepas dia disahkan sihat sepenuhnya.

"Kita masih menunggu sehingga dia benar-benar sihat sepenuhnya untuk disoal siasat," jelasnya.

No Response to "Rendam bayi: Teman lelaki wanita akan diburu"