JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Kecuaian Ibu Bapa

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kejadian seorang adik sanggup memperkosa kakak sendiri sehingga hamil membuktikan kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan gagal mengesan dan memperbetulkan ciri-ciri kerosakan akhlak yang mula ditunjukkan anak mereka. Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata pada usia 14 hingga 16 tahun, seseorang anak itu sudah menunjukkan pemikiran mereka sama ada ke arah kebaikan atau keburukan dan ibu bapa perlu mengambil pendekatan menasihat serta mendampingi mereka bagi mengelak perkara tidak diingini.“Apabila perkara sebegini berlaku, saya lihat anak bukan saja hilang kewarasan disebabkan ‘miskin’ ilmu mengenai apa yang baik dan buruk, malah ibu bapanya juga ‘miskin’ ilmu dalam mendidik anak menjadi orang baik,” katanya, semalam. Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun yang sanggup memperkosa kakaknya setahun lebih tua sehingga hamil.

Disebabkan perbuatan terkutuk adiknya, mangsa yang dikenali sebagai Yanti, 15, tertekan dan terpaksa ditempatkan di sebuah rumah perlindungan sehingga bayi dikandung dilahirkan.

Ghafar berkata, ada banyak punca menyebabkan seorang kanak-kanak mendapat maklumat salah mengenai seks sama ada menerusi rakan dan bahan lucah yang semakin mudah diperoleh.“Dia terangsang selepas dipengaruhi bahan lucah yang mudah diperoleh sama ada di Internet, telefon bimbit atau video cakera padat.“Saya lihat ibu bapa cuai mengesan perubahan anak sama ada penampilan, percakapan dan gaya hidup sehingga menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara terkutuk,” katanya. Menurutnya, pada usia sedemikian, kebiasaannya golongan itu sudah boleh berfikir tetapi ia perlu ‘diperkayakan’ lagi dengan nilai mulia yang perlu diterapkan ibu bapa.“Di peringkat awal lagi ibu bapa perlu melindungi pemikiran anak mereka dan tanamkan rasa kotor terhadap perbuatan maksiat,” katanya. Beliau berkata, kejadian itu amat menyedihkan kerana Islam sepatutnya menjadi modul terbaik untuk mendidik anak.“Ibu bapa perlu bertindak bukan saja memperkayakan anak dengan material tetapi ilmu kerana ia adalah aset terpenting mereka di masa depan,” katanya.

No Response to "Kecuaian Ibu Bapa"