JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Sumbang Mahram Membimbangkan

KUALA LUMPUR: “Menakutkan.” Itulah rumusan perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali, ketika mendedahkan statistik sepanjang 2008 dan 2009 berkaitan sumbang mahram yang dikumpulnya secara peribadi hasil aduan mangsa.Dari Januari hingga Disember 2008, beliau menerima 30 aduan daripada mangsa berbeza dan sepanjang 10 bulan pertama 2009, 15 kes dilaporkan kepadanya membabitkan sumbang mahram dengan mangsa paling muda berusia 14 tahun.“Itu semua yang didedahkan kepada saya sepanjang mengadakan sesi motivasi. Selain mereka, pasti ada lagi yang mendiamkan diri kerana takut atau malu untuk mendedahkan apa berlaku.“Gejala itu sungguh membimbangkan kerana ia kini bukan setakat haruan makan anak tetapi turut membabitkan adik, abang atau individu lain yang ada pertalian keluarga. Kebiasaannya pula, ia akan berulang,” katanya.

Menurut Md Izuddin, antara kes pernah ditanganinya ialah anak seorang ahli perniagaan yang menjadi mangsa abang kandung selepas berparti di kediaman mereka. Beliau berkata, ibu bapa mereka ke luar negara dan anak mengambil kesempatan mengadakan parti, termasuk mengambil minuman keras.“Apabila sedar daripada tidur keesokan hari, si adik mendapati abangnya tidur bersebelahan dan berlaku sumbang mahram. Bagaimanapun, perkara terbabit didiamkan bagi menjaga nama baik keluarga.“Satu lagi kes membabitkan bapa dengan anak. Alasan diberi bapa ialah dia yang membesarkan anaknya dan antara cara balasan budi selama ini ialah dengan mengadakan hubungan seks bersama,” katanya.

Md Izuddin berkata, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada ibu tetapi si ibu mendiamkan perkara itu kerana bimbang kehilangan tempat bergantung. Katanya, kejadian sumbang mahram itu berlaku berkali-kali hingga akhirnya mangsa terpaksa mengadu kepada pihak sekolah kerana tidak tahan diperlakukan seperti itu. Selain itu ada juga aduan membabitkan ayah cuba mengacah anak perempuan dengan sentuhan dan kata-kata meragukan ketika ketiadaan anggota keluarga lain di rumah.“Saya pernah bersemuka dengan lelaki terbabit dan memberinya kaunseling selain motivasi. Syukur, dia sedar dan berjanji akan menjadi ayah yang baik.“Selepas itu saya menghubungi remaja berkenaan dan dia memberitahu ayahnya sudah berubah dan tidak lagi mengacahnya,” katanya.
Bagi memastikan perkara seperti itu mampu ditangani, tiga perkara hendaklah dilakukan membabitkan keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa. Beliau berkata, didikan agama penting dan kerana itu seawal anak berusia 10 tahun, tempat tidur mereka hendaklah diasingkan.“Dalam masa sama, batasan hubungan antara adik beradik berlainan jantina juga perlu diambil kira kerana ada kemungkinan ia boleh menjurus kepada sumbang mahram.“Faktor ekonomi, latar belakang keluarga dan persekitaran juga memberi kesan dalam sumbang mahram. Kerana itu keluarga adalah pemain utama dalam membanteras gejala negatif terbabit,” katanya. Masyarakat pula hendaklah ‘jaga tepi kain’ jiran tetapi daripada sudut positif. Jika melihat anak jiran dalam keadaan bermasalah, cuba tanya apa berlaku supaya perkara seperti itu dapat dibendung. Selain itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pesalah dan tidak menganggapnya sebagai masalah keluarga kerana jika dibiarkan, pemangsa mungkin melakukan lebih teruk lagi terhadap wanita lain pada masa depan.

Metro Ahad 15/11/2009

No Response to "Sumbang Mahram Membimbangkan"