JOM JADI BIJAK HARI INI!
CURRENT CONTENT
KEMPEN Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) anjuran Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM) amat dialu-alukan ketika masyarakat digemparkan dengan insiden pembuangan bayi yang seolah-olah tiada kesudahan. Setelah lebih dua dekad isu pembuangan bayi yang disyaki dilakukan oleh remaja, kempen ABJZ JIM memang tepat pada waktunya.Mengapa?
Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah kalangan kumpulan remaja dan awal dewasa. Menurut JIM bilangan kelahiran bayi luar nikah dilakukan oleh pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) meningkat. Ini merupakan satu jumlah yang amat menggerunkan. Dalam memperkatakan ABJZ, JIM menggunakan terma zina. JIM menolak penggunaan terma seks bebas, seks rambang, hubungan luar nikah dan terlanjur. Penolakan kepada terma-terma yang menjurus kepada perspektif psikologi Barat itu adalah tindakan berani JIM.
Terma zina lebih berat kerana ia merangkumi isu moral, sahsiah, hukum hakam, dosa dan hukuman di dunia dan di akhirat. Malah, zina turut diiringi dengan konsep taubat yang dapat membersihkan diri daripada dosa selagi perbuatan itu tidak diulangi.
Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah.
Pasca pemodenan
Ada juga yang mengatakan gejala pembuangan bayi kesan akibat pembangunan pasca pemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Setakat ini, JIM dengan Rumah Perlindungan Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah di Sungai Buluh, Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang termasuk Kem Modal Insan Pusat Kebahagiaan Wanita Remaja (Kewaja) di Gombak dan Baitul Figh di Hulu Langat, Selangor begitu proaktif dalam mengurus remaja dan gadis-gadis malang yang trauma, ketakutan dan kebimbangan akibat keterlanjuran seksual.
Ketiga-tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu bertungkus- lumus mengurus dan membimbing remaja serta gadis malang yang mengandung luar nikah bagi meneruskan kehidupan semasa, sewaktu dan selepas melahirkan anak menerusi pendekatan Islam.
NGO itu ternyata menzahirkan keprihatinan mereka dalam bentuk tindakan. Isu pembuangan bayi di kemuncaknya apabila berlaku kes bayi yang dibuang kemudian di bakar di tempat pembuangan sampah. Adakah persatuan-persatuan profesional dan kementerian terbabit masih dilihat lambat menangani situasi itu? Atau mungkinkah disebabkan dana kementerian atau jabatan terbabit makin berkurangan akibat kegawatan ekonomi global yang menghindar mereka daripada terus bertindak proaktif?
Realitinya, persatuan-persatuan dan agensi-agensi terbabit tidak mempunyai rumah-rumah perlindungan. Mereka juga tidak mempunyai pusat bantuan dengan kakitangan-kakitangan yang boleh mengurus remaja dan gadis mengandung luar nikah dalam masa terdekat.
Dalam keadaan mendesak dapatkah ahli persatuan, graduan profesional dan kakitangan kementerian terbabit menguruskan kes-kes kehamilan luar nikah sehingga saat mereka melahirkan anak?
Dalam memperkatakan tentang tindakan membuang bayi itu, kita mungkin terlupa malah mengenepikan sama sekali salah satu punca utama bencana musibah kehamilan luar nikah itu. Tumpuan lebih kepada bayi malang yang mati dibuang dan dosa kesilapan yang dilakukan oleh gadis yang terlanjur.
Kita alpa kepada lelaki durjana yang bertanggungjawab di atas bencana keterlanjuran seksual itu. Mereka perlu diburu, dipertanggungjawabk an di atas apa yang telah dan sedang berlaku. Tidak adil dengan hanya menyalahkan gadis perempuan yang menanggung beban penderitaan keterlajuran seksual ini.
Lelaki itu wajar diheret ke muka pengadilan di atas perbuatan salah laku seksual mereka. Gadis-gadis malang itu ditinggalkan menanggung trauma mengandung luar nikah dengan sokongan sosial yang lebih banyak mencemuh, mencerca daripada membantu.
Memandangkan perbuatan zina kebanyakannya dituruti dengan pembuangan bayi dalam kalangan remaja sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT), peranan kaunselor amat penting. Di Amerika Syarikat (AS), di samping kaunselor, jawatan pekerja sosial diwujudkan di sekolah bagi meluaskan lagi peranan proses bantuan. Kepekaan, kesanggupan, kerelaan berkerjasama, memberi sumbangan dalam apa juga bentuk amat diperlukan tanpa mengharapkan pengiktirafan.
Persoalannya, sanggupkah kita?
RUJUK: http://www.kosmo.com.my/kosmo/
No Response to "Resolusi Pembuangan Bayi"
Post a Comment