JOM JADI BIJAK HARI INI!
CURRENT CONTENT
Renungan Ramadan 4
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:
“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadan kerana iman dan men gharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”
Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu.
Saudara-saudari yang budiman,
Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita.
Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana“ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.
Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Perbincangan ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau
merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat.
Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.
Saudara-saudari yang budiman,
Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa.
Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wah tisaaban” bukan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.
--------------------------------
Renungan Ramadan 5
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah. Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:
“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat pada waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau larang ia tidur pada waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
(Hadis Riwayat Ahmad)
Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:
“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)
Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga.
Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.
Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.
----------------------------------------
Renungan Ramadan 6
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Saudara-saudari yang dirahmati Allah, Orang-orang yang berpuasa nanti akan mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki. Selain itu orang yang berpuasa juga dijanjikan kemapunan bagi dosa yang lalu. Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah (saw) telah bersabda:
“ Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)
Kalau dilihat bentuk hadis ini, ianya seakan sama dengan hadis mengenai keutamaan solat tarawih (lihat Renungan Ramadan 4). Di dalam hadis ini bukan sahaja disebutkan janji keampunan dosa bagi orang yang berpuasa tetapi juga syarat untuk mendapat anugerah ini iaitu berpuasa dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Puasa kita bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan
kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan.
Tetapi kerana keazaman kita memenuhi tuntutan iman dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah.
Niat dan keazaman yang sedemikian akan menyebabkan kita tekun menjaga syarat-syarat dan adab-adab dalam puasa kita; bagi melayakkan kita mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita yang lalu. Abu Said al-Khudri berkata bahawa Nabi (saw) pernah bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan mengetahui batasbatasnya dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosanya yang sebelumnya.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)
(Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Saudara-saudari yang budiman,
Jelas kepada kita bahawa hanya puasa yang terjaga dari batas-batasnya sahaja yang akan diterima dan layak untuk menerima keistimewaan yang dijanjikan.
Sebab itu Nabi (saw) memberi kita peringatan, sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memperolehi apa-apa dari puasa dan solat tarawih mereka.
Abu Hurairah berkata Nabi (saw) bersabda:
“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersembahyang malam, tetapi tiada yang ia perolehi selain dari rasa mengantuk”
(Hadis Riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)
(Hadis Riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)
Yang dimaksudkan oleh Nabi (saw) ialah orang yang berpuasa hanya dengan berlapar tetapi tidak kerana mencari keredhaan Allah serta tidak kisah dalam menjaga adab-adab dan batasbatasnya yang lain. Semoga Allah menjauhi kita dari termasuk ke dalam golongan ini; golongan orang yang berlapar dahaga tetapi tidak memperolehi apa-apa; puasa tidak diterima; dosa tetap tidak berampun.
Semoga Allah swt menerima puasa kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan membantu kita ke arah meningkatkan mutu puasa kita.
No Response to "Renungan Ramadhan 4, 5 & 6"
Post a Comment