JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Renungan Ramadhan 7, 8 & 9



Renungan Ramadan 7


Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama.

Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima malannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

------------------------------------------

Renungan Ramadan 8

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Di dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda:

"Tidaklah berpuasa itu dari makan-minum semata, tetapi berpuasa itu adalah dari perbuatan kosong dan perkataan keji. Maka jika kau dicaci orang atau diperbodohnya, hendaklah kamu mengatakan: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”
(Hadis Riwayat Ibnu khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jelas kepada kita bahawa puasa yang berkualiti bukan sekadar menahan diri dari dari makan-minum. Tetapi kita perlu juga menahan diri dari perbuatan kosong (lagha). Cuba bayangkan berapa banyak perbuatan lagha yang kita buat hari ini; dari berbual kosong sehingga kepada bermain computer games atau menonton television. Sebaliknya kita perlu sibukkan harian kita dengan kerja-kerja yang produktif; untuk dunia dan akhirat kita. Jika mempunyai luang dari waktu bekerja mencari nafkah kita, sibukkan diri dengan membaca al-Quran, terjemahannya atau berzikir atau i’tikaf atau menghadiri majlis ilmu atau membaca buku-buku agama dan seumpamanya.

Satu lagi adab penting orang berpuasa ialah mengawal lidah dan perasaan. Orang yang berpuasa adalah seorang yang tenang, sabar dan berhati-hati dalam percakapannya. Puasa itulah membolehkan beliau untuk mengawal diri dari memberi tindak balas negatif apabila diuja dengan perkara-perkara negatif oleh orang lain.

Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

Dan puasa itu merupakan perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”.
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Annisa’i)

Begitu kuat tuntutan kita menjaga lidah ini ditekankan lagi dalam sebuah hadis lain pula di mana Nabi (saw) bersabda:

Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu, maka Allah tidak merasa perlu ia meninggalkan makanminumnya.
(Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Muslim)

Marilah kita berusaha dan berdo’a agar Allah swt mempermudahkan kita menjalani ibadah puasa kita dengan paling sempurna. Semoga puasa kita hari ini lebih baik dari semalam, dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

------------------------------------------

Renungan Ramadan 9

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Salah satu roh yang penting dalam puasa ialah mewujudkan rasa kebersamaan dengan orang yang kurang bernasib baik. Puasa membolehkan kita yang berkemampuan (secara sukarela) merasa apa yang dirasai (secara terpaksa) oleh golongan yang tidak berkemampuan menikmati makanan dan minuman yang mencukupi setiap hari. Bayangkan, kita menahan diri secara sukarela sedangkan peti-sejuk kita dipenuhi makanan, kabinet dapur kita sendat dengan pelbagai bahan, tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli walaupun makanan yang asas seperti beras dan minyak. Kita masih boleh bergembira kerana kita tahu, lapar kita sekadar adalah seketika, sementara menunggu berbuka tetapi bagi mereka entah malam ini, entah esok belum pasti ada cukup makanan untuk seisi kel uarga.

Memberi makan kepada orang yang lapar adalah tugas mulia. Dari Abdullah bin Amr ra ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah (saw).

"Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik". Rasulullah saw menjawab: "Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal".
(Hadis Riwayat Bukhari).

Jangan kita anggap bahawa golongan yang sebegini hanya wujud di Palestin, Kashmir atau di Somalia. Golongan yang kurang bernasib baik sedemikian mungkin wujud di kawasan atau daerah kita.

Sebaik-baiknya kita cuba dapatkan maklumat keluarga atau orang perseorangan yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian di kejiranan atau dalam kariah masjid/surau kita dan sampaikan kepada Jawatankuasa surau/masjid untuk diambil tindakan sewajarnya.

Dua hadis berikut ini ini boleh menjadi motivasi kita:

“ Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar dan di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar”.
(Hadis Riwayat Tabarani)

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

“ Apabila anda memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiranmu dan berikanlah kepada m,ereka sebahagian darinya denan baik.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun orang yang memerlukan mungkin bukan jiran sebelah rumah kita tetapi mereka mungkin jiran se kariah, sedaerah, senegeri, senegara dengan kita.

Marilah sama-sama kita merealisasikan salah satu ruh puasa ini dengan menyumbang sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Pelbagai cara boleh dilakukan; banyak peluang kini dibuka. Pokoknya tepuk dada.. tanyalah iman kita.

No Response to "Renungan Ramadhan 7, 8 & 9"