CURRENT CONTENT
Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
Metro : 28 Disember 2009
KUALA LUMPUR: Masih ada manusia yang tidak berhati perut apabila tergamak mencampakkan janin yang bertali pusat bersama sampah sebelum ia ditemui di atas lantai konkrit berhampiran Sungai Klang, Jalan Jelatek Datuk Keramat, dekat sini, semalam.
TEMPAT dibulatkan menunjukkan lokasi bungkusan berisi janin yang ditemui di Sungai Klang dekat Jalan Jelatek, Kuala Lumpur semalam
Difahamkan, individu yang membuang janin itu menyangkakan mayat terbabit sudah hanyut dalam sungai berkenaan namun sangkaan itu ternyata meleset apabila bungkusan itu terjatuh di lantai konkrit sebelum ditemui seorang wanita yang mahu membuang sampah di kawasan terbabit.
Wanita berkenaan yang terkejut apabila menemui janin yang masih bertali pusat dan dipenuhi darah itu memberitahu seorang lelaki sebelum dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan dimaklumkan berhubung kejadian terbabit.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata janin terbabit ditemui kira-kira jam 1 tengah hari selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.
“Hasil siasatan awal kita mendapati ia mungkin dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu dan jantinanya dipercayai perempuan dan dianggarkan berukuran lapan hingga sembilan sentimeter.
“Mayat sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut Zakaria, polis menyifatkan kes pembuangan janin terbabit sebagai tidak berperikemanusiaan dan kejam.
“Setakat ini, kami masih menyiasat sama ada janin terbabit dibuang di lokasi lain sebelum hanyut atau mungkin ada individu yang memang meninggalkan janin berkenaan di situ,” katanya.
Orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Akhbar kelmarin turut melaporkan penemuan mayat bayi perempuan oleh seorang lelaki yang pada mulanya disangka bangkai ayam di kawasan rekreasi Hutan Lipur Lata Renyut, Kuala Balah, Jeli.
Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui dalam keadaan ngeri apabila kepalanya didapati hancur.
No Response to "Buang janin bagai sampah"
Post a Comment