CURRENT CONTENT
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Metro :31/12/2009
AMPANG: Bagaikan terpukau, seorang pelajar kolej swasta hanya menurut kehendak seorang lelaki yang baru dikenalinya melalui laman sembang beberapa jam sebelum dia dirogol tiga kali dalam tempoh 18 jam di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, di sini, baru-baru ini.
Lebih mengerikan apabila sepanjang tempoh itu, mangsa berusia lingkungan 20-an berada dalam keadaan ketakutan ‘dikurung’ dalam rumah itu selain dijadikan tempat melempiaskan nafsu lelaki terbabit sebelum dihantar pulang ke asramanya keesokan harinya.
Difahamkan, mangsa yang baru menetap di sini sebaik memulakan pengajiannya beberapa bulan lalu tidak menyedari dia sedang jatuh ke dalam perangkap kenalan barunya itu.
Semuanya bermula apabila mangsa yang baru berhubung melalui laman sembang dengan lelaki itu beberapa jam sebelum dirogol dipelawa bertemu di Bukit Bintang, dekat sini, untuk menonton wayang.
Walaupun ragu-ragu, mangsa bersetuju menemui lelaki itu kerana tempat pertemuan yang dijanjikan adalah kawasan tumpuan ramai dan yakin suspek tidak akan dapat mengambil kesempatan terhadapnya.
Sebaik bertemu kira-kira jam 3 petang, lelaki terbabit mendakwa filem yang bakal ditonton mereka adalah pada jam 11 malam dan memberitahu mangsa dia terpaksa pulang ke rumah terlebih dulu bagi mengambil beberapa dokumen penting miliknya yang tertinggal selain meminta pelajar malang itu mengikutinya.
“Mangsa menolak pada mulanya, namun dia bagaikan terpukau dan mematuhi semua arahan lelaki terbabit. Sebaik tiba di rumah suspek, mangsa dirogol buat kali pertama,” katanya.
Sumber berkata, lelaki terbabit turut mengunci pintu rumah dan bilik yang didiami mangsa bagi mengelakkannya melarikan diri.
“Selepas itu, mangsa dibawa keluar menonton wayang seperti dijanjikan lelaki terbabit. Mangsa yang meminta dihantar ke asramanya selepas habis menonton tidak diendahkan.
“Sebaliknya, lelaki itu membawa mangsa pulang ke rumahnya semula dan merogolnya kali kedua kira-kira jam 2 pagi. Malah, mangsa yang tidak berpakaian juga ‘dikurung’,” katanya.
Mangsa cuba melepaskan diri namun usahanya tidak berjaya dan diugut dicederakan lelaki itu.
Sumber berkata, keesokannya mangsa yang mengejutkan suspek meminta dihantar ke asrama sekali lagi dirogol.
“Suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke asrama kira-kira jam 8 pagi,” katanya.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Perdana, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian namun enggan mengulas lanjut.
No Response to "Dinoda Rakan Laman Sembang"
Post a Comment