JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

'Cari makan' usia senja

Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my


PELACUR kelas murahan dikenali Mimi dari Pontianak cuba menawarkan khidmat seks dengan harga antara RM20 hingga RM100.

Bayaran antara RM20 hingga RM100 bergantung kepada jenis perkhidmatan

KUCHING: Ketika usia beranjak senja, masih ada lagi golongan wanita tua, malah ada yang sudah layak bergelar nenek, sanggup menjaja tubuh dengan bayaran serendah RM20, di bandar raya ini.

Mereka ini terjebak atas pelbagai alasan untuk 'cari makan', sama ada kerana himpitan hidup, terdesak untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak atau ada yang sukar untuk kembali ke pangkal jalan selepas sekian lama hidup mewah hasil menjaja tubuh.


Bayaran dikenakan kepada setiap pelanggan bermula dari RM20 hingga RM100, bergantung kepada jenis perkhidmatan diberi termasuk tempahan satu malam, tidak termasuk bayaran hotel yang ditentukan serta ditanggung sendiri oleh pelanggan.

Pelacur tua berkenaan boleh mencadangkan beberapa hotel murah di sekitar bandar raya ini yang boleh disewa mengikut jam tertentu atau serendah RM40 semalam, bergantung kepada kemahuan pelanggan.

Tinjauan Berita Harian di satu lokasi pelacur tua terkenal di sini, mendapati ada lima wanita dianggar berusia antara 30 hingga 45 tahun menunggu pelanggan di kaki lima bangunan yang tidak dipasang dengan lampu luar oleh pemiliknya.

SONIA cuba berunding dengan pelanggan mengenai tawaran serendah mungkin bagi setiap khidmat diberikan.

Golongan pelacur selalunya dikategorikan sebagai muda apabila berusia antara belasan tahun hingga awal 20-an, pertengahan apabila usia sudah mencecah lewat 20-an ke atas akan dikategorikan sebagai pelacur tua.

Mereka yang kebanyakannya berpakaian seksi, masih mampu menarik pelanggan daripada lelaki tua dengan operasi di kawasan berkenaan dikatakan bermula seawal jam 7.30 malam hingga jam 2 pagi bergantung kepada sambutan dan cuaca.

Pelacur tua yang dikenali sebagai Sonia, 37, berkata dia menjalankan kegiatan menjual tubuh sejak berusia 25 tahun dan kini mempunyai seorang anak luar nikah yang kini dijaga keluarganya di kampung.

Katanya, dia sudah cuba mencari pekerjaan lain namun kebanyakannya tidak sesuai selain gaji ditawarkan adalah kecil menyebabkan dia kembali ke lorong berkenaan menyertai beberapa rakan lama.

"Ketika muda saya boleh hidup mewah termasuk mendapat pendapatan hingga RM10,000 sebulan dan mempunyai kenderaan sendiri, namun lama kelamaan akibat sikap boros saya terpaksa beralih ke sini.

"Saya pernah cuba membuka kedai runcit di kampung namun kerana pertikaian dengan keluarga, saya lebih rela hidup bersendirian di bandar dan hanya sesekali pulang menjenguk ibu bapa," katanya.

Ditanya mengenai jumlah sebenar pelacur tua di kawasan berkenaan, Sonia berkata, setiap malam tidak kurang 20 wanita menawarkan khidmat seks dan selalunya mereka dijemput pelanggan sebelum jam 9 malam lagi.

Dia berkata, kadangkala ada pelanggan bermurah hati membayar lebih dari yang dijanjikan, namun ada ketika mereka ditipu pelanggan yang tidak berduit tetapi masih mahu melanggan mereka.

"Dalam sehari saya melayan antara empat hingga lima pelanggan dengan pendapatan sekitar RM300 dan perlu membayar 'kangtau' kepada beberapa 'kaki' yang menjaga kawasan ini.

"Saya nekad akan berhenti melakukan kerja ini dalam tempoh tiga tahun lagi dan pulang ke kampung untuk membesarkan anak yang kini sudah berusia sembilan tahun," katanya.

Bagi Mimi, 42, yang berasal dari kawasan Utara Sarawak berkata, sikap sesetengah pondan yang masuk ke kawasan mereka menjejaskan pendapatan mereka kerana pelanggan lebih mudah tertarik kepada golongan itu yang lebih muda sehingga boleh mengalahkan wanita tulen.

Katanya, pernah berlaku kumpulan pelacur tua menyerang kumpulan pondan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mereka turut sama menunggu pelanggan di kawasan berkenaan.

"Pelanggan ketika ini sudah pandai memilih hanya mahu perempuan cantik tetapi dengan harga murah dan akhirnya mereka memilih pondan sedangkan kami yang lebih dulu mencari pelanggan di lokasi ini.

"Saya diberitahu rakan ada pondan sanggup melakukan pembedahan semata-mata mahu menjadi seperti kami tetapi mereka tidak perlu berada di sini kerana ia mengganggu pelanggan kami," katanya.

Ditanya mengenai operasi pihak berkuasa, Mimi berkata, dia sudah beberapa kali ditahan polis namun akibat tidak mempunyai bukti lengkap, dia dibebaskan sebelum kembali menjalani kerja berkenaan seperti biasa.

"Apa boleh buat, kami cuma cari makan saja," katanya sebelum berlalu pergi sebaik jurugambar Berita Harian meminta kerjasama untuk merakamkan gambarnya.

No Response to "'Cari makan' usia senja"