JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Padah mudah terperdaya

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
bhnews@bharian.com.my


REMAJA (kiri) dan rakannya disoal-siasat penguat kuasa pejabat agama di Tanjung Dawai, dekat Sungai Petani.

Remaja akui gugur anak luar nikah tiga kali

SUNGAI PETANI: Dia baru berumur 14 tahun, namun sudah tercicir daripada sekolah dan dalam usia semuda itu dia sudah tiga kali gugur dan kini hamil tiga bulan.

Bagi remaja seusianya, waktu malam mereka seharusnya dihabiskan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran, tetapi remaja perempuan ini ditemui di sebuah kedai makan pada awal pagi bersama dua rakannya oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Unit Gejala Sosial Negeri Kedah (Unggas) yang mengadakan operasi sekitar Tanjung Dawai dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketika ditemui, dia juga tidak menunjukkan sebarang tindakan untuk melarikan diri ketika dihampiri pihak berkuasa.

Ketika disoal, dia yang bersekolah hanya setakat Tahun Enam, mengaku sedang hamil tiga bulan.

Ketua operasi pejabat agama daerah itu, Zaiferi Zainol Abidin, berkata operasi di kawasan itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat yang tidak tahan melihat kegiatan maksiat dilakukan penduduk luar di kampung mereka.

“Kedudukan Tanjung Dawai di pinggiran pantai menyebabkan ia menerima kehadiran pengunjung luar setiap malam.

“Operasi bersama Unggas dilakukan bagi membendung dan mencegah aktiviti maksiat sekitar kawasan ini agar mereka yang datang ke sini menghormati perasaan penduduk kampung,” katanya kepada Berita Harian.

Zaiferi berkata, remaja perempuan itu mendakwa dia menjadi mangsa keadaan sosial di kawasan itu dan mengaku pernah keguguran sebanyak tiga kali sebelum ini.

Katanya, selain diperdaya lelaki yang mengambil kesempatan ke atas remaja perempuan itu, latar belakang keluarganya turut menyumbang kepada cara hidupnya.

“Ibu bapanya didakwa kerap bergaduh akibat masalah kewangan menyebabkan dia hilang arah dan tiada tempat untuk mengadu masalah.

“Sebab itu dia mudah terpedaya dengan nasihat salah daripada lelaki yang sengaja ingin mengambil kesempatan ke atasnya,” katanya.

Katanya, remaja perempuan itu juga memberitahu dia gugurkan anak kali pertama ketika berusia 12 tahun selepas didakwa dirogol dan kali ketiga pada April tahun ini.

Zaiferi berkata, remaja perempuan itu diminta hadir ke pejabat agama bagi diberi kaunseling sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Sementara itu, Penyelaras Unggas, Kamaruddin Kassim, berkata semua pihak terutama masyarakat sekeliling mesti berperanan dalam usaha membantu pihaknya membendung gejala tidak bermoral generasi muda.

“Unggas yang banyak terbabit dengan aktiviti pencegahan perlakuan tidak sopan di sesuatu komuniti akan berusaha mencegah perlakuan berkenaan, sekali gus mengekalkan suasana selesa penempatan tertentu,” katanya.

No Response to "Padah mudah terperdaya"