JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Remaja ditikam teman lelaki bekas kekasih

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my

Kejadian di bilik hotel dipercayai bermotif cemburu

KUANTAN: Akibat kemaruk cinta, seorang remaja parah ditikam teman lelaki bekas kekasihnya ketika bergelut di dalam sebuah bilik hotel bajet, di Jalan Haji Junid di sini, malam kelmarin.

Remaja lelaki berusia 19 tahun terbabit dikatakan cemburu apabila mendapati bekas kekasihnya berdua-duaan dengan teman lelaki barunya di dalam sebuah bilik hotel pada kira-kira jam 7 malam.

Sebaik melihat bekas kekasihnya yang berusia 20 tahun bersama seorang lelaki di dalam bilik hotel, remaja terbabit bertindak memukulnya menggunakan cota selepas berlaku pertengkaran.

Dalam pergelutan itu, teman lelaki bekas kekasihnya berusia 26 tahun itu mencapai pisau pemotong sayur lalu menikam dada dan belakang mangsa.

Pasangan itu kemudian melarikan diri, manakala mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan bermotifkan cemburu dan perselisihan faham.

Beliau berkata, selepas mendapatkan rawatan di HTAA, remaja terbabit yang tidak berpuas hati ke kawasan bandar mencari pasangan berkenaan dengan bantuan beberapa rakannya.

Katanya, mangsa terlihat pasangan berkenaan tidak jauh dari kawasan hotel lalu berlaku lagi pertengkaran tetapi dapat dileraikan orang ramai di situ.

No Response to "Remaja ditikam teman lelaki bekas kekasih"