CURRENT CONTENT
Oleh Rabi'Atul Ada'wiyah Ismail
bhnews@bharian.com.my
ANTARA aksi pasangan kekasih yang dapat dilihat di Hutan Lipur Lenggeng. |
LENGGENG: Hutan lipur dan taman rekreasi dimajukan pihak berkuasa bagi memudahkan orang ramai bersantai serta berkelah, terutama bersama keluarga sambil menikmati keindahan flora dan faunanya.
Tetapi bagi pasangan kekasih yang tengah hangat bercinta, kawasan yang tersorok dan sunyi, terutama pada hari bekerja itu adalah ‘pangkalan’ atau ‘port’ terbaik untuk memadu kasih serta bercumbu bagi melepaskan kerinduan masing-masing.
Keadaan itu dapat disaksikan di Hutan Lipur Lenggeng, di sini, yang dijadikan sarang maksiat oleh pasangan kekasih kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar dan tersorok tanpa pengawasan serta ‘mata’ pihak berkuasa agama.
Tinjauan mendapati beberapa pasangan ‘Laila dan Majnun’ tanpa segan silu memadu kasih, termasuk baring di atas riba pasangan, berpelukan dan tidak kurang juga melakukan aksi ‘berani’ berkucupan mesra.
Seorang pengunjung, Mohd Adam Mohd Yaacob, 33, mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera menghentikan kegiatan maksiat di kawasan itu.
HUTAN Lipur Lenggeng yang sunyi menjadi pilihan pasangan memadu asmara. |
“Ia bukan saja berlaku pada hari bekerja tetapi juga pada Ramadan lalu. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas menanganinya.
“Saya juga meminta pihak berkuasa, terutama jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan pelbagai kegiatan berfaedah, terutama untuk golongan remaja dan belia, di sini supaya kawasan ini menjadi tumpuan ramai dan tidak lagi sunyi,” katanya.
Mohd Fairuz Rosli, 23, berkata beliau jarang berkunjung ke kawasan rekreasi dan mengaku terkejut apabila kunjungannya di hutan lipur berkenaan ‘disajikan’ dengan ‘lakonan percuma’ oleh pasangan kekasih.
“Memang lokasi hutan lipur ini terpencil tetapi ia tidak harus dijadikan alasan kepada pihak berkuasa untuk tidak mengawasinya. Sesekali mereka perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap pasangan yang merosakkan imej hutan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, mengingatkan orang ramai, terutama golongan muda supaya tidak menyalahgunakan hutan lipur dan rekreasi dengan menjadikannya sebagai tempat melakukan maksiat.
“Perbuatan tidak bermoral yang dilakukan itu adalah menyimpang daripada matlamat asal kemudahan itu disediakan untuk membolehkan orang ramai beriadah dan bersantai bersama keluarga.
“Saya kecewa kerana perbuatan itu bukan saja akan menjejaskan imej kawasan berkenaan sebagai lokasi pelancongan tetapi juga meningkatkan masalah sosial di kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi menangani kegiatan tidak bermoral itu, termasuk melakukan pemantauan dan pengawasan lebih kerap.
“Kita juga berharap orang ramai bekerjasama dengan memainkan peranan, termasuk menegur dan memberi nasihat kepada pasangan yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu. Ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
No Response to "Taman maksiat"
Post a Comment