JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Tinggal Anak di Pusat HIV

Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
5 Januari 2010

KUALA LUMPUR: “Tuhan saja yang tahu betapa terseksanya saya apabila terpaksa menyerahkan lima anak kesayangan kepada pusat perlindungan untuk kanak-kanak HIV. Mungkin ini balasan dosa silam saya,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaila, 34.

Katanya, dia terpaksa menyerahkan semua anaknya berusia 11, sembilan, tujuh, lima tahun serta yang bongsu 10 bulan, sejak sebulan lalu kerana tidak mampu menyara mereka selepas ditinggalkan suami. Lebih malang, keluarganya juga tidak menerima mereka enam beranak. Sejarah hitam Suhaila bermula seawal usia enam tahun apabila diperkosa rakan abangnya yang juga seorang penagih dadah.
Ketika berusia 14 tahun, dia mendakwa diperkosa guru dalam kelas ketika mengemas bilik itu selepas habis waktu belajar. Perbuatan terkutuk itu didiamkan pihak pengurusan dengan alasan mahu menjaga nama baik sekolah. Tindakan yang diambil hanya menukar guru terbabit ke sekolah lain. Akibat peristiwa itu dan pelbagai masalah dalam keluarga, persekolahannya hanya diteruskan setakat tingkatan tiga sebelum dia mengenali seorang lelaki yang kemudian menjadi kekasihnya.

Bagaimanapun, kekasihnya menemui ajal setahun kemudian akibat kemalangan jalan raya.
“Pada masa itu dunia saya terasa gelap. Saya yang cetek ilmu agama beberapa kali cuba membunuh diri. Dalam usaha mencari ketenangan jiwa dan mengikut kata hati, saya tergamak menemui pemimpin sebuah agama sebelum menganut ajaran itu. “Mujur saya cepat tersedar dan kembali bertaubat selepas menemui tiga ustaz di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Ingatkan penderitaan akan berakhir, rupa-rupanya saya menghadapi cabaran lebih hebat sebaik berkahwin, iaitu selepas enam tahun kejadian saya menukar agama itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, suami yang diharapkan dapat membimbingnya bertukar sikap menjadi kaki perempuan dan panas baran sejurus kelahiran anak ketiga mereka.
Katanya, sikap suami berterusan sehingga dia melahirkan anak kelima, Mac lalu.
Tanpa mengetahui punca sebenar, si suami menghalaunya dari rumah sewa bersama lima anak ketika dia masih dalam pantang. Dia mendakwa, suaminya berpindah ke Kedah bersama kekasih baru. Suhaila berkata, dalam tempoh perkahwinan sejak tahun 1997, dia dan anak kerap dipukul suami. Terbaru, sebelum suami menghalaunya keluar rumah, dia sempat memukul anak-anak tanpa sebab.
Selepas ditinggalkan suami, dia dan anak-anak terpaksa menumpang di rumah keluarga, namun tidak disenangi saudara lain hingga dimaki-hamun kerana dikatakan hanya menjadi bebanan mereka. Berikutan tidak sanggup dicaci anggota keluarga, Suhaila dengan berat hati membawa lima anaknya keluar dari rumah berkenaan sebelum menumpang di rumah beberapa rakannya.

Dia kemudian menyerahkan anaknya ke pusat perlindungan HIV terbabit ketika umat Islam bersiap mahu merayakan Aidiladha lalu. “Ketika itu saya tercari-cari tempat untuk anak saya berlindung, tapi semua rumah kebajikan yang saya pergi enggan menerima lima anak sekali gus. Hanya pusat perlindungan untuk kanak-kanak HIV saja yang sanggup menerima mereka. “Mengalir air mata ketika menandatangani tiga dokumen perjanjian penyerahan anak. Tetapi saya terpaksa berkorban demi masa depan mereka. Saya tiada rumah, tiada wang,” katanya sayu. Ketika meninggalkan lima anak di pusat perlindungan itu, anak sulungnya menyatakan kemarahan terhadap nasib menimpa mereka.
“Saat kata-kata itu dilafazkan, saya tak tahu bagaimana nak menggambarkan betapa pilunya hati,” katanya.

Kini Suhaila hanya mampu menziarahi anak-anaknya di pusat perlindungan berkenaan apabila ada kelapangan dan berusaha mencari wang mengikut kemampuannya sebagai sumbangan kepada pusat itu selain untuk perbelanjaan diri dan anak-anak.

No Response to "Tinggal Anak di Pusat HIV"