JOM JADI BIJAK HARI INI!





CURRENT CONTENT

Mayat Dibekal Ubat Semut

Oleh Fuad Hadinata Yaaco
2010/02/09

BUKIT MERTAJAM: Tindakan mencurigakan dua lelaki yang membawa cangkul dan memecut laju motosikal melalui jalan tanah merah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di Lorong Perusahaan Maju Lapan, berdekatan Juru Autocity, di sini, semalam. Lebih memeranjatkan, penjenayah berkenaan boleh dikatakan ‘baik hati’ apabila meletakkan ubat anti semut, gunting selain membungkus bayi berkenaan menggunakan kain lampin.


Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum ditanam di belakang sebuah kilang.

Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari orang ramai selepas mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis MZ 125 dalam keadaan mencurigakan melalui jalan tanah merah itu.


Beliau berkata, kedua-dua lelaki tidak diketahui bangsa itu didakwa membawa cangkul dan menunggang motosikal dalam keadaan laju. “Apabila orang ramai ke tempat dua lelaki terbabit dipercayai menanam sesuatu, mereka menemui mayat seorang bayi lelaki dengan separuh badannya dari paras leher ke bawah tertanam.


“Berdasarkan fizikalnya, bayi ini cukup sifat dan berambut nipis, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Menurutnya, bayi itu sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.


Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 atau balai polis berhampiran.

No Response to "Mayat Dibekal Ubat Semut"